Taubat politik Umno, Pas mampu satukan orang Melayu dan agama Islam

Taubat politik Umno, Pas mampu satukan orang Melayu dan agama Islam

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Kerajaan perpaduan wajar dimulakan dengan ketepikan perasaan ego, dendam antara dua parti dominan demi capat satu matlamat

KERAJAAN perpaduan yang pernah diutarakan baru-baru ini, kini sudah tidak ditimbulkan lagi dan bagai ditenggelami isu lain seperti selesema babi, pilihan raya kecil Permatang Pasir, pergolakan dalam Pakatan Rakyat terutama di Selangor dan pelbagai isu lain.

Namun hakikatnya, kerajaan perpaduan mungkin relevan, sekurang-kurangnya sebagai penyelesaian jangka panjang kemelut yang melanda politik tanah air sejak kebelakangan ini.

Justeru, kerajaan perpaduan mesti dimulakan oleh dua parti politik dominan � Umno dan Pas dengan mengetepikan perasaan ego atau dendam selama ini kerana kerajaan perpaduan tidak akan ada selagi ego terus menguasai orang Melayu.

Jika tidak mahu berbincang mengenai kerajaan perpaduan, sekurang-kurangnya dua parti dominan bagi orang Melayu dan umat Islam itu boleh duduk bersama untuk memikir serta membincangkan masa depan orang Melayu dan agama Islam yang kini terus terancam.

Keperluan itu dilahirkan Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Ridhuan Tee Abdullah yang turut yakin hanya perkara mengenai bangsa dan agama yang boleh membuatkan ego orang Melayu turun.

"Sebagai pemerhati, saya kecewa dengan apa yang berlaku. Sekarang ini kita berpecah kerana dendam dan ego sedangkan akhirnya yang rugi kita juga. Oleh itu, kerajaan perpaduan tidak akan wujud selagi tidak turun ego demi agama dan bangsa," katanya.

Beliau yang menjadi ahli panel forum 'Sesi Bicara Melayu Kerajaan Perpaduan: Di Manakah Permulaannya' di ibu negara baru-baru ini berkata, orang Melayu sepatutnya meniru sikap orang Cina yang percaya, walaupun di mana mereka berada, mereka adalah orang Cina.

Forum yang diadakan di Wisma Sejarah, di Kuala Lumpur anjuran bersama Pertubuhan Menjana Tindakan Pemikir (Mantap), Pertubuhan Alumni Kelab Umno Luar Negara, Kelab Warisan Malaysia dan Alumni Melayu Amerika Utara itu bertujuan menyambut usaha merealisasikan kerajaan perpaduan sebagai peluang keemasan untuk melihat orang Melayu tanpa dipengaruhi semangat kepartian atau fahaman politik bersatu hati memperjuangkan nasib bangsa serta agama.

Berbeza dengan orang Melayu yang sepatutnya ada satu, iaitu satu Melayu yang beragama Islam, tetapi mereka dipecah-belah mengikut semangat kedaerahan, kumpulan, bahasa, parti politik dan ideologi.

Itu tidak ada pada orang Cina, walaupun di kalangan orang Cina itu sendiri ada pelbagai agama seperti Buddha, Confucius, Toaism, Kristian dan Islam (ini tidak termasuk kelainan bahasa, dialek dan sebagainya), tetapi mereka berpegang kepada semangat 'satu Cina'.

"Sebenarnya, orang Melayu lebih mudah, sebab mereka hanya ada satu, 'Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu', iaitu Melayu Islam. Jika mereka mempunyai pemikiran dan wawasan berjuang atas nama 'satu Islam' maka banyak masalah yang boleh diselesaikan," katanya.

Ridhuan berkata, negara lain susah hendak meletakkan ketuanan kepada negara mereka, tetapi tidak bagi orang Melayu di negara ini dan justeru itu, orang Melayu sepatutnya mempertahankan terma ketuanan Melayu supaya kekal.

Beliau berkata, ketuanan Melayu itulah kini menjadi lambang bahawa negara ini sebuah negara Melayu kerana perkara itu akan menjadi mudah jika nama Tanah Melayu tidak ditukar sebab ia jelas menunjukkan identiti negara berkenaan seperti negara China dan India.

Justeru katanya, rundingan antara dua parti dominan mesti diteruskan untuk kepentingan umat Islam dan ia perlu berpaksikan kepada Perlembagaan yang sudah jelas menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu.

"Agenda perbincangan tidak perlu jauh, sebaiknya agenda bertumpu kepada perkara sedia ada dalam Perlembagaan. Jika kita tidak bincang dan masing-masing buat hal sendiri, takut 'tidak Melayu hilang' yang kita pegang itu akan hilang nanti," katanya.

Bagi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Yusri Mohamad, pula sikap tidak tegas orang Melayu menampakkan mereka lemah dan keadaan itu menyebabkan ada pihak lain yang mengambil kesempatan.

Beliau berkata, jika orang Melayu yang menjadi umat teras di negara ini menjadi lemah, ia bukan saja akan mengancam negara, malah masyarakat lain dan keadaan itu tidak baik untuk semua.

"Orang Melayu walaupun lemah, mereka tidak akan mengalah dan apabila mereka tidak mengalah, suasana akan menjadi tegang. Kita tidak mahu suasana tegang kerana ia tidak bagus untuk semua," katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan supaya orang Melayu tidak tamak, sebaliknya memikirkan kepentingan semua dengan mengadakan perbincangan secara jujur serta berdasarkan fakta, mencari persamaan bukan perbezaan yang hanya akan menggagalkan usaha itu.

Yusri berkata, ibarat orang Quraisy pada zaman dulu yang menetapkan hanya orang Quraisy boleh menjadi pemimpin mereka, begitulah semangat yang perlu ada pada orang Melayu kerana mereka adalah Quraisy masa kini.

"Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, timbul perselisihan dalam memilih pengganti untuk menjadi Khalifah kerana macam mana pun, yang layak menjadi pemimpin adalah orang Quraisy. Di Malaysia, Quraisy itu adalah umat Melayu," katanya.

Beliau berkata, jika sekarang belum sampai ke tahap untuk mewujudkan kerajaan perpaduan, tetapi sekurang-kurangnya pintu perbincangan tidak ditutup dan perlu ada komunikasi berterusan antara kedua-dua pihak.

Katanya, Pas dan Umno sepatutnya boleh bertemu dan bersembang tanpa ada persepsi atau sangkaan bahawa ada udang di sebalik batu kerana timbul keperluan untuk mereka menekankan pendirian yang sekata pada waktu tertentu.

"Musim pilihan raya kita masih boleh bersaing, tetapi dalam keadaan yang memerlukan di mana kepentingan bangsa serta agama menjadi keutamaan kedua-dua pihak perlu menghantar satu mesej yang jelas," katanya.

Sebagai permulaan katanya, biarlah perbincangan antara Pas dan Umno dilaksanakan secara semula jadi, bukan dipaksa dan jika perlu taubat politik, itulah sewajarnya dilakukan demi masa depan umat Melayu dan Islam.

0 comments: