Idea bankrap populis
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
BUKANLAH suatu mengejutkan apabila melihat gelagat N. Gobalakrishnan mencetuskan provokasi di luar pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pagi kelmarin.
Itulah perangai Ahli Parlimen Padang Serai dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu. Imej itulah juga yang sering diperagakannya pada masa-masa lepas.
Rakyat barangkali pastinya tidak lupa tindakan spontan Gobalakrishnan terpacul di tempat duduk Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada sidang Parlimen tahun lalu.
Dalam situasi luar jangkaan itu, Gobalakrishnan dikatakan berbisik kepada Pandikar Amin bagi menjelaskan perkataan Tamil 'ukker' (bererti duduk) dalam satu perdebatan dengan seorang penyokong kerajaan. Insiden berakhir apabila Gobalakrishnan memohon maaf sambil mendakwa tindakannya itu dilakukan di 'luar sedar'.
Senario sama itulah diulangi oleh Gobalakrishan yang terkenal dengan ungkapan "lawan tetap lawan" pada siri perhimpunan jalanan. Kali ini di pekarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam. Tindak tanduknya dikatakan mencetuskan provokasi di kalangan penyokong pembangkang.
Ketika polis cuba membawanya masuk ke ruang yang ditetapkan, berlaku sedikit kekecohan antara Gobalakrishnan dan polis dengan gelagatnya yang cuba menumbuk seorang anggota keselamatan. Rakaman itu disiarkan di televisyen malam semalam.
Mengulas kekecohan itu, seorang pemerhati politik, Profesor Dr. Mohamad Mustapha Ishak mengakui rakyat tidak terkejut dengan kejadian itu.
''Dia memang terkenal tidak tahu adab, ingatkah anda dengan gelagatnya memanjat pentas Speaker Dewan Rakyat sebelum ini?
''Belum pernah berlaku dalam sejarah Parlimen, seorang anggotanya bertindak menghampiri Speaker dalam lagak samseng," katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, tindakan anggota pembangkang tersebut jelas langkah terdesak untuk meraih publisiti murahan.
''Ia bertujuan menunjukkan bahawa pihak berkuasa telah salah guna kuasa (dengan menahan Gobalakrishnan).
''Sebenarnya pakatan pembangkang kini berada dalam keadaan defensif berdasarkan senario keadaan pentadbiran mereka di beberapa negeri yang menampakkan kemelut tersendiri," katanya.
Dengan mendakwa diri teraniaya dan tertindas di Permatang Pasir, mereka akan cuba meraih simpati pengundi. Dan provokasi itu kemudian digunakan untuk 'mengumpan' tindak balas Barisan Nasional (BN).
Dalam aspek ini, Mohamad Mustapha menyelar provokasi berterusan yang cuba dicetuskan oleh Gobalkrishnan. Baginya, seorang ahli politik atau wakil rakyat berwibawa seharusnyalah menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat khususnya generasi muda.
Nada sama turut diluahkan oleh Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian. Katanya, provokasi dalam persekitaran politik hari ini jelas menampakkan seolah-olah tidak ada kematangan.
''Kalau masyarakat mengharapkan partiparti politik yang besar, sudah tentu juga mereka mendambakan para pemimpinnya memiliki nilai dan kepolitikan yang bermakna.
''Bagaimanapun jika dilihat hari ini, ia memang tidak selari dan bila ini berlaku, maka pemimpin tadi tidak mampu menjadi idola kepada orang lain apatah lagi generasi muda," katanya ketika dihubungi di Pulau Pinang.
Dalam aspek ini, Sivamurugan melihat provokasi yang dicetuskan oleh segelintir pemimpin semasa kempen pilihan raya lebih bersifat populis. Mengenai provokasi dicetuskan Gobalakrishnan kelmarin, beliau hanya tertawa kecil.
''Di Parlimen dia begitu juga, memang dia suka membuat bising dan sengaja melakukan adegan-adegan tertentu.
''Tetapi yang peliknya, masyarakat masih menerima tingkah laku tersebut. Seolah-olah ada pihak sengaja 'membenarkan' atau membiarkan tingkah laku serupa diulangi," katanya.
Sivamurugan secara peribadi berpendapat, tindakan populis seperti Gobalakrishnan sengaja dilakukan untuk membolehkan dirinya diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
''Bukan tingkah lakunya menjadi perhatian tetapi tindakan yang diambil terhadapnya meraih tajuk besar. Dan apabila ditahan, akhirnya yang menjadi perhatian negatif adalah pihak berwajib," katanya.
Apapun rakyat khususnya pengundi ketika ini menumpukan perhatian di Permatang Pasir.
Jika disorot sepanjang kempen pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lalu, laluan-laluan ke Permatang Pauh termasuk Permatang Pasir, ia begitu 'gegak gempita' alunannya dengan sepanduk, poster serta isi ceramah yang panas. Pondok-pondok panas merata.
Seringkali jika ada petugas dan peraih undi Barisan Nasional (BN) yang cuba melalui jalan raya biasa ke penempatan penduduk, mereka terpaksa berdepan dengan pekikan, jeritan dan kadang-kala kata-kata nista daripada pihak tertentu.
Ketika itu anggota polis berada di meratarata tempat dan beberapa trak merah pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) 'memerah kudrat' membelah kepekatan malam atas rondaan keselamatan, dikejutkan dengan jeritan daripada para penyokong beberapa parti yang begitu membingit.
Namun, senario sebegini kita harapkan tidak berlaku di Permatang Pasir yang memiliki masa panjang lagi berkempen menjelang pengundian 25 Ogos ini.
Kelmarin, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob ketika mengulas gelagat Gobalakrishnan memberitahu, proses mengawal para penyokong kedua-dua pihak seawal pukul 7 pagi berjalan lancar sehingga Ahli Parlimen PKR itu menghampiri kumpulan penyokong pembangkang dan membuat kecoh menggunakan pembesar suara.
''Beliau telah diberikan amaran sebelum itu lagi supaya berhenti berbuat demikian namun berdegil dan akhirnya polis terpaksa membawanya keluar daripada kawalan khas penyokong pembangkang kerana masih meneruskan 'misi solonya' itu," kata beliau.
Rakyat khususnya pengundi kini sudah bijak menilai mana yang tulen dan mana yang palsu. Jangan sampai seorang ahli politik itu dilabelkan bankrap idea hanya semata-mata provokasi melampau yang mudah 'dibaca' oleh pengundi.
PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia Putrajaya
0 comments:
Post a Comment