Anugerah iktiraf ikon negara

Anugerah iktiraf ikon negara

Oleh NIZAM HAMID

JIKA ditanya kepada generasi muda tentang ikon dalam industri hiburan, mudah sahaja untuk mereka menyebut beberapa nama sama ada artis tempatan atau luar negara.

Bukan salah mereka jika hanya mengenali ikon hiburan tersebut kerana nama-nama artis berkenaan sememangnya sentiasa bermain di bibir dan minda mereka.

Malangnya tokoh-tokoh lain yang juga hebat dan mencapai kecemerlangan unggul di dalam kerjaya masing-masing, tidak dikenali ramai. Malah ada di antaranya yang tenggelam sama seperti peranan mereka yang banyak bermain di belakang tabir.

Tiada siapa yang peduli dengan Kumpulan Pengkaji Ensefalitis Nipah ketika wabak itu mengganas di Negeri Sembilan pada 1998.

Begitu juga dengan Profesor Datuk Dr. Khalid Abdul Kadir yang terlibat dengan kajian terhadap penyakit kencing manis atau diabetes serta Datuk Leslie Davidson, seorang rakyat Britain yang menjadi pencetus terhadap kejayaan penanaman kelapa sawit secara besar-besaran di negara ini. Jasa mereka begitu besar terhadap negara ini sehingga merentas masa dan sempadan negara.

Atas kesedaran bahawa mereka telah memberi sumbangan besar yang dapat dikongsi bersama dalam pembangunan negara yang baru setengah abad mencapai kemerdekaan itu, tiga syarikat minyak iaitu Petronas, ExxonMobil dan Shell tampil dengan Anugerah Merdeka sebagai penghargaan terhadap tokoh-tokoh itu.

Dr. Khalid dan Davidson merupakan antara penerima Anugerah Merdeka 2008. Hari ini, selepas setahun anugerah tersebut diberikan kepada kumpulan pertama penerimanya, Sekretariat Anugerah Merdeka akan mengumumkan pula para penerima Anugerah Merdeka 2009.

Pengumuman itu dijadual disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Tan Sri Mohd. Hassan Marican yang juga Presiden Petronas bersama Ahli Lembaga Pengarahnya, Hugh W. Thompson (Pengerusi Subsudiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia) dan Datuk Saw Choo Boon (Pengerusi Shell Malaysia).

Ketiga-tiga syarikat minyak itu komited terhadap usaha tersebut dengan menubuhkan sebuah Tabung Amanah bersama dana sebanyak RM50 juta untuk penganugerahan tersebut dan ia dikendalikan oleh Sekretariat Anugerah Merdeka.

Anugerah Merdeka diwujudkan pada 27 Ogos 2007 untuk mengiktiraf dan menghargai individu dan organisasi yang telah memberi sumbangan unggul ke arah pembangunan dan kemajuan negara lantas menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mencapai kecemerlangan.

Melalui anugerah itu, adalah diharapkan semangat merdeka akan terus menyala dan dihayati oleh rakyat Malaysia sepanjang zaman. Anugerah itu memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap kecemerlangan dalam lima kategori iaitu Pendidikan dan Komuniti; Kesihatan, Sains dan Teknologi; Alam Sekitar; Pencapaian Cemerlang Akademik dan Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia.

Penerima anugerah bagi setiap kategori dihadiahkan wang tunai RM500,000, piala dan sijil.

Hadiah tersebut sudah cukup untuk menjadikannya sebagai satu anugerah yang begitu berprestij dan menjadi harapan syarikat minyak terlibat agar para penerimanya akan dianggap sebagai ikon dalam bidang masing-masing sama seperti penerima Hadiah Noble.

Anugerah Merdeka terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang masih hidup. Bagaimanapun mereka yang bukan warganegara juga layak untuk dicalonkan bagi kategori Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia.

Ia juga terbuka kepada institusi dan organisasi kecuali kategori Pencapaian Cemerlang Akademik yang hanya terbuka kepada individu.

Anugerah ini juga mencerminkan komitmen industri minyak dan gas dalam usaha pembangunan negara dan pembinaan bangsa Malaysia yang progresif lagi dinamik.

Pengarah Eksekutif Sekretariat Anugerah Merdeka, Datuk Khalid Mohd. berkata, pemilihan para penerima Anugerah Merdeka 2009 telah bermula sebaik sahaja penerima kumpulan pertama menerima anugerah itu pada Oktober tahun lalu.

"Sesiapa sahaja boleh dicalonkan untuk menerima anugerah ini termasuk orang politik sekiranya dia difikirkan telah memberi sumbangan yang tidak ternilai besarnya kepada rakyat dan negara ini," ujarnya.

Menurut beliau, jawatankuasa pencalonan akan memilih calon-calon penerima tersebut dan akan membuat penilaian berdasarkan profesionalisme mereka dalam bidang yang berkenaan.

"Pencarian itu bukan mudah kerana kita tidak mahu keputusan tersebut dipertikaikan oleh mana-mana pihak," katanya.

Lebih-lebih lagi katanya, Anugerah Merdeka adalah anugerah berprestij negara dan menjadi sandaran untuk menentukan ikon Malaysia agar ia menjadi inspirasi kepada rakyat negara ini dalam menghambat kecemerlangan.

Sehubungan itu juga katanya, Sekretariat Anugerah Merdeka merancang pelbagai aktiviti berkaitan anugerah tersebut supaya ia sentiasa diingati rakyat Malaysia dan dapat menanam budaya unggul di dalam diri mereka.

Sebaik menerima anugerah itu, para penerimanya akan terlibat dengan program Siri Syarahan Merdeka terutama di universiti-universiti tempatan bagi membolehkan mereka berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan orang ramai.

Sekretariat Anugerah Merdeka juga kini sedang sibuk menganjurkan Festival Teater Pendek dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui pementasan teater bertemakan kemerdekaan negara. Ia akan disambung pula dengan persembahan Orkestra Simfoni Petronas.

Menurutnya, segala aktiviti itu diharapkan dapat mengukuhkan dalam diri setiap rakyat Malaysia tentang Anugerah Merdeka dan juga pencapaian besar anak-anak Malaysia terhadap pembangunan negara serta pengisian kemerdekaan tanah air sejak 1957.

0 comments: