Rakyat Malaysia wajar berpandangan lebih positif terhadap Indonesia

Rakyat Malaysia wajar berpandangan lebih positif terhadap Indonesia


SUASANA kesesakan jalan raya di Jakarta. Pertumbuhan ekonomi Indonesia memberangsangkan berbanding dengan tujuh tahun lalu. - AFP


PADA 8 Ogos lalu merupakan sambutan ulang tahun ASEAN. Menurut Sekretariat ASEAN di Jakarta, sebanyak 548 juta orang meraikan ulang tahun ke-42 itu. Sambutan itu mengingatkan kembali Deklarasi ASEAN yang dibuat di Bangkok, Thailand pada 1967 iaitu 10 tahun selepas Malaysia merdeka.

Selain itu ulang tahun berkenaan seharusnya dijadikan oleh para pemimpin dan rakyat di negara anggota ASEAN melihat kembali sejauh mana usaha dilakukan untuk memakmurkan rantau ini.

Apa yang menarik berlaku di Yogyakarta iaitu salah sebuah bandar utama di Indonesia terletak di Jawa Tengah, pada 8 Ogos lalu terdapat lapan agensi pelancongan dari Malaysia dan Indonesia telah menyatakan persetujuan untuk mempromosikan pakej pelancongan baru yang diperkenalkan iaitu Pakej Pelancongan Warisan UNESCO.

Pakej yang mengambil konsep 1, 2, 3 iaitu satu matlamat, dua buah negara dan tiga destinasi akan mempromosi Borobudur di Yogyakarta dan dua lokasi warisan UNESCO iaitu Pulau Pinang dan Melaka di Malaysia.

Ini bermakna Malaysia yang menjadi tumpuan pelancong dari China dan Jepun akan turut menggalakkan mereka melawat Borobudur, manakala Indonesia yang menjadi tumpuan pelancong Eropah turut mempromosi Pulau Pinang dan Melaka.

Idea pakej pelancongan itu dibangkitkan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Dr. Ng Yen Yen semasa lawatan pertama kali sebagai Menteri Pelancongan ke Indonesia dan bagi merealisasikan hasrat itu, Pengerusi Lembaga Penggalakkan Pelancongan, Datuk Dr. Victor Wee dan Timbalan Ketua Pengarah, Datuk Amiruddin Abu telah mengadakan pertemuan dengan agensi pelancongan yang berkenaan.

Semuanya berjalan lancar dan 16 agensi pelancongan terbabit tidak sabar untuk bekerjasama menjual pakej pelancongan tersebut yang turut mendapat sokongan Penerbangan Malaysia yang memberi tambang istimewa.

Langkah itu membuktikan bahawa Malaysia dan Indonesia dengan kedua-duanya anggota ASEAN mampu bekerjasama dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu yang tentunya menjejaskan semua sektor ekonomi terutama pelancongan.

Jadi tidak hairan ramai ahli perniagaan di Malaysia kini mulai membuka mata dan menyifatkan negara jiran Indonesia merupakan penyelamat kepada ekonomi rantau ASEAN. Ini jelas dilihat kerana ketika negara lain mengalami pertumbuhan negatif, Indonesia masih lagi mencatatkan pertumbuhan positif.

Seorang pengusaha restoran rakyat Malaysia di Jakarta menceritakan kepada penulis bagaimana perniagaannya di Malaysia terjejas kira-kira 40 peratus berikutan krisis ekonomi global, bagaimanapun perniagaannya di Indonesia sedikit pun tidak terjejas dan sekali gus menjadi penyelamat kepada perniagaannya keseluruhan.

Aktiviti perniagaan di Indonesia tidak terjejas kerana pasarannya tidak terlalu bergantung kepada eksport. Sebagai negara terbesar di ASEAN dan ketiga terbesar di dunia, Indonesia mempunyai pasaran domestik yang cukup besar dengan memiliki 280 juta penduduk.

Walaupun sebelum ini status negara ketiga di dunia paling berpotensi dari segi pelaburan asing selepas China dan India dianggap sebagai propaganda pihak tertentu, tetapi kini ia terbukti dengan jelas sekali.

Sudah sampai masanya rakyat Malaysia berpandangan lebih positif terhadap negara jiran Indonesia walaupun kira-kira dua juta rakyat negara itu bekerja sebagai buruh binaan, pekerja ladang dan pembantu rumah di Malaysia.

Mungkin panggilan 'Indon' perlu dikikis dari lidah rakyat Malaysia kerana panggilan itu cukup tidak digemari oleh rakyat Indonesia kerana dianggap sebagai merendahkan darjat mereka.

Lidah rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan panggilan itu perlu dilatih semula agar tidak mengecilkan hati rakyat negara serumpun.

Kepada majikan di Malaysia, berhentilah bertindak kejam dan menganiayai pekerja negara jiran hanya kerana salah faham dan kurang mengerti budaya serta adat resam masing-masing. Kerana tindakan tidak bertamadun segelintir majikan sedemikian akan menyebabkan hubungan kedua-dua buah negara menjadi renggang.

Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Tun Razak sendiri ketika baru memegang pucuk pimpinan negara menjadikan Indonesia sebagai negara pertama dilawatinya sebagai menunjukkan betapa pentingnya negara jiran itu.

Begitu juga Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono sendiri ketika menang pada Pilihan Raya Presiden baru-baru ini juga berharap supaya Perdana Menteri Malaysia adalah orang pertama yang mengucap tahniah kepada beliau dan ternyata hasrat Susilo itu tertunai apabila Najib merupakan orang pertama yang menelefon dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan Susilo mengekalkan pemerintahannya untuk penggal kedua.

Jika kita memandang negara jiran berkenaan dengan pandangan yang lebih positif maka akan dapat dilihat sebenarnya, banyak yang boleh dipelajari serta dikongsi demi kesejahteraan bersama.

0 comments: