Minda Pengarang: Sokongan swasta bantu pacu sektor pertanian

Minda Pengarang: Sokongan swasta bantu pacu sektor pertanian

SEKTOR pertanian disenaraikan sebagai satu daripada teras ekonomi negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Bersama sektor perindustrian dan perkhidmatan, bidang pertanian dikenal pasti sebagai satu daripada tonggak utama ekonomi pada masa depan. Menerusi pelbagai inisiatif, kerajaan berharap sumbangan sektor pertanian dan industri asas tani, yang sebelum ini agak terkebelakang, dapat ditingkatkan. Tumpuan kepada sektor itu sebenarnya bukan saja untuk meningkatkan ekonomi tetapi lebih penting limpahannya dapat memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di luar bandar serta pedalaman. Pada masa sama, ia juga dapat merealisasikan hasrat kerajaan menyediakan dasar jaminan bekalan makanan, setanding yang diamalkan negara maju. Sejak beberapa tahun lalu, tumpuan terhadap sektor itu berkisar kepada usaha meningkatkan pembabitan rakyat. Pelbagai program seperti projek estet mini, pertanian berkelompok, skim siswazah tani dan penghasilan produk pertanian mengikut daerah, pesat berkembang. Manfaatnya jelas apabila saban tahun, jumlah mereka yang mengusahakan bidang pertanian secara komersial semakin meningkat manakala banyak tanah terbiar kini menjadi tapak projek pertanian. Rakyat yang dulu melihat pertanian sebagai kegiatan sampingan, kini berstatus jutawan tani. Tumpuan berterusan dalam sektor pertanian bernilai tambah seperti bioteknologi pula membuka pelbagai peluang ekonomi baru yang berjaya dimanfaatkan sehingga ke peringkat global.

Dalam usaha menyemarakkan lagi sektor pertanian, lonjakan perkembangan ke peringkat seterusnya memerlukan sokongan swasta. Ini bagi membolehkan industri pertanian diusahakan secara lebih sistematik sekali gus membolehkannya melakukan transformasi supaya mendatangkan peluang yang melimpah ruah. Sokongan dan komitmen swasta memacu pembangunan pertanian dapat mempercepatkan lagi peralihan sektor itu daripada kaedah tradisional kepada lebih moden, dinamik, komersial serta berteknologi. Iltizam kerajaan menarik pembabitan sektor swasta dibuktikan dengan pelbagai penambahbaikan dalam sistem penyampaian berkaitan. Usaha ini diharap dapat merangsang lebih banyak syarikat terbabit sama memajukan sektor pertanian sebagai strategi serampang dua mata iaitu menjana keuntungan komersial sambil meningkatkan taraf hidup masyarakat. Dalam persekitaran ekonomi global yang suram ketika ini, langkah memperkasa sektor pertanian tepat pada masanya. Ketika pelaburan dalam bidang perindustrian kian berkurangan dan pendapatan daripada industri perkhidmatan semakin susut, pengukuhan sektor pertanian memang sesuatu yang amat diharapkan bagi menjamin ekonomi negara terus stabil. Ia juga diharap mampu mengurangkan import hasil pertanian negara yang kini dianggar berjumlah RM13 bilion setahun. Ini tentunya dapat memperbaiki kedudukan imbangan pembayaran negara, sekali gus menyumbang ke arah kestabilan ekonomi. Pengukuhan sektor pertanian mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan mengelak mereka terlalu bergantung kepada kerajaan. Ia juga boleh membantu menerapkan budaya keusahawanan di kalangan masyarakat. Menyedari peluang yang terbuka luas dalam sektor pertanian, kita berharap sokongan sektor swasta untuk memacu pertumbuhannya, membawa manfaat besar kepada semua, seperti yang dijanjikan pepatah 'berbudi kepada tanah, lambat laun pasti mendapat faedah'.

0 comments: