Pengalaman digigit, ditendang kuda

Pengalaman digigit, ditendang kuda

Kerenah kuda menguatkan semangat Zulfakar Mohd. Derus untuk muncul sebagai tukang ladam mahir.




"ABANG, hati-hati buat kerja ladam tu. Jangan sesekali leka...." Itulah kata-kata nasihat isteri yang kerap didengar oleh Sarjan Zulfakar Mohd Derus, 47, sebelum memulakan tugas sebagai tukang ladam di Unit Berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Bagi Zulfakar, kerjaya sebagai tukang ladam tidaklah bahaya. Dengan pengalaman selama 19 tahun dalam bidang itu, dia kini lebih arif tentang apa yang perlu dilakukan terutama dalam aspek keselamatan.

"Kepala lutut seorang rakan saya pernah beralih akibat dihempap kuda ketika sedang meladam. Akibatnya, beliau tidak lagi menjadi tukang ladam dan kini melakukan tugas-tugas khas sahaja," katanya kepada Kosmo!.

Bapa kepada lima orang anak itu, berkata, dia meminati kerjaya tukang ladam sejak remaja dan apabila cita-cita itu berjaya dicapainya pada tahun 1990, dia tidak menoleh ke belakang lagi.

Zulfakar memberitahu, rutin hariannya bermula seawal pukul 6 pagi pada setiap hari bekerja dari Isnin sehingga Jumaat. Tetapi jika pihak majikan memerlukan khidmatnya pada hari Sabtu atau Ahad, terutama jika ada pertunjukan berkuda, dia akan bertugas pada hari-hari tersebut.

"Saya perlu sampai ke sesi taklimat tugasan setiap hari pada pukul 8.00 pagi di pejabat," katanya.


ZULFAKAR segak berpakaian seragam bersama kuda bernama Tuah.


Selesai mendengar taklimat, Zulfakar akan mengeluarkan kuda dari kandang untuk dibawa meronda di sekitar taman tasik.

Ketika dibawa meronda, dia boleh tahu sama ada ladam yang dipakaikan pada kuda tersebut masih elok atau perlu diganti baru.

Menurutnya, biasanya ladam yang perlu ditukar akan kelihatan haus dan longgar.

"Tengok kuku Tuah ni... dah panjang melebihi ladam. Ini juga petunjuk bahawa saya perlu menukar ladam baru untuknya," kata Zulfakar sambil membawa kudanya yang bernama Tuah ke tempat memasang ladam.

Jelas Zulfakar, jika ladam tersebut tidak ditukar baru, ia boleh menyebabkan kuku kuda melengkung melebihi ladam dan akibatnya kuda tersebut mudah terdedah kepada penyakit laminitis (radang pada kaki kuda).

Sebaik sahaja Tuah diikat di dalam kandangnya, Zulfakar membawa beberapa peralatan berupa pencungkil (hook pick) untuk mengorek dan menanggalkan kotoran dari kaki kuda, pisau bagi memotong kuku serta kikir untuk mengasah atau merata kuku yang sudah panjang.


UNTUK mengikir telapak kaki kuda, kaki depan haiwan itu perlu dikepit di celah kelangkang tukang ladam.


Selain itu, terdapat juga peralatan seperti penyepit, pencabut paku, penukul paku, penimbal dan ladam yang baru.

Apa yang menghairankan, kuda yang dipasangkan ladam tidak diberikan sebarang ubat pelali. Malah, pembantu bagi menenangkan kuda juga tidak ada.

Hanya Zulfakar bersama Tuah di situ. Barulah penulis sedar bahawa kerjaya itu berhadapan dengan risiko bahaya.

Kebarangkalian disepak, ditendang atau dipijak kuda boleh berlaku. Ia mungkin terjadi jika kuda berasa ngilu atau sakit semasa tukang ladam mengasah telapak dan memotong kuku terlampau dalam.


PELBAGAI saiz ladam.


Sesekali kedengaran dengusan kuda yang menunjukkan dirinya tidak selesa apabila kaki belakangnya diangkat.

"Kaki belakang kuda perlu dikepit pada lengan manakala, kaki di depan perlu dikepit pada kelangkang kaki tukang ladam.

"Kaki belakang kuda tidak boleh dikepit pada kelangkang kerana jika kuda marah, peluang untuk melarikan diri sukar. Kemungkinan ketika itu saya akan terjatuh dan dipijak kuda," kata lelaki yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu sambil menunjukkan teknik merias kuku kuda.




Menggembleng sepenuh tenaga untuk memegang kaki kuda sambil merias dan memasang ladam, tidak sampai 10 minit kemudian, manik-manik peluh kelihatan membasahi dahi Zulfakar.

Sesekali Tuah menarik kakinya dan bergerak-gerak untuk menyeimbangkan badannya. Situasi itu akan menyukarkan lagi Zulfakar untuk memasang ladam.

Namun, berkat kemahiran dan pengalaman yang lama, Zulfakar dapat melakukannya dalam masa yang sekejap.

Antara langkah-langkah pemasangan ladam adalah menanggalkan ladam, membersih dan mengasah kuku, menganggar saiz dan membentuk kuku, menganggar ketebalan telapak bagi tujuan memaku, mengukur saiz ladam pada kaki dan mengemaskini paku pada ladam.

Melihat butiran peluh pada dahi Zulfakar semakin deras menitik ke atas lantai tempat pemasangan ladam, penulis menyifatkan kerjaya itu memerlukan kemahiran dan kekuatan fizikal yang tinggi.

"Semakin lama saya asah dan corek, semakin lembut saya dapat merasakan permukaan telapak kaki kuda ini.

"Apabila sudah lembut, saya perlu berhenti. Jika saya teruskan juga, kemungkinan kuda akan merasa sakit. Keadaannya sama seperti manusia semasa memotong kuku iaitu jika terlebih potong, boleh menyebabkan luka," katanya.

Ladam dapat mengelakkan kuku kuda pecah atau retak, iaitu masalah biasa yang akan terjadi kerana kerap berjalan dan membawa beban di jalanan.

Ia juga boleh mengelakkan luka pada tapak kaki kuda. Penjagaan kuku yang tidak rapi boleh menjejaskan kesihatan sekali gus menyebabkan pergerakan kuda terbatas atau mungkin tempang.

"Kuda di unit ini bukan sahaja perlu membuat rondaan di sekitar tasik, tetapi turut terlibat dalam aktiviti pertunjukan. Jadi, kuku kakinya mesti dilindungi," katanya.

Selain itu, katanya, seni meladam kuda di Malaysia diperkenalkan oleh Majlis Ekuine Malaysia dengan kerjasama Institut TAFE Brisbane, Australia.

Berikutan kerumitan menggunakan khidmat tukang ladam asing, majlis itu melatih anak-anak Malaysia sebagai tukang ladam.

Mengulas lanjut, Zulfakar memberitahu, sebaik tamat tingkatan lima, dia melanjutkan pelajaran dalam bidang kimpalan gas di Institut Kemahiran Mara.

Tamat pengajian, Zulfakar mula mencari pekerjaan. Masih tidak bernasib baik dalam memperoleh pekerjaan, akhirnya bapa Zulfakar yang merupakan seorang jurulatih kawad rekrut penguatkuasa di Institut DBKL yang kini dikenali Pusat Latihan Penguatkuasaan (Pulatan), Sarjan Mejar Mohd. Derus Isa bertanya sama ada dia mahu bekerja sebagai tukang ladam di Unit Berkuda DBKL.

"Ibarat orang mengantuk disorong bantal, saya terima pelawaan bapa. Ketika itu, Unit Berkuda DBKL baru ditubuhkan dan kebetulan memerlukan tukang ladam.

"Majikan menghantar saya mengikuti latihan di Perth, Australia selama dua bulan.

"Selain itu, saya mengikuti kursus singkat yang dikendalikan tukang ladam (master farrier) dari Australia," katanya yang kini merupakan tukang ladam tahap ketiga.


KUDA yang dibawa meronda di sekitar tasik lebih kerap ditukar ladamnya berbanding dengan kuda yang hanya membuat pertunjukkan. - Gambar hiasan


Jelasnya, untuk bergelar master farrier, seseorang tukang ladam mesti berada di tahap kelima.

Ujarnya, jika tukang ladam ingin memiliki tahap tersebut, mereka perlu melepasi beberapa ujian tertentu.

Dalam dua atau tiga tahun sekali, jurulatih dari Australia akan datang ke unit tersebut mengendalikan kursus dan peperiksaan khas untuk tukang ladam.

Mengenang kembali latihan di Australia, Zulfakar dikehendaki memasang ladam pada seekor kuda yang agak liar.

Ketika itu dia tidak begitu mahir menangani kerenah kuda, tiba-tiba sahaja Zulfakar ditendang dan digigit kuda tersebut sehingga luka.

"Pengalaman itu tidak mungkin saya lupakan. Giginya yang tajam dan besar menyebabkan baju saya terkoyak dan belakang badan saya lebam," cerita lelaki itu yang pernah memenangi pertandingan tukang ladam peringkat Asia pada tahun 2000.

Malah ketika latihan juga, paha Zulfakar pernah terseret paku sepanjang dua inci semasa proses memaku kaki kuda dilakukan.

"Malang tidak berbau. Tiba-tiba kuda tersebut berasa tidak selesa dan menarik kakinya sebelum ketukan paku selesai dilakukan. Ini menyebabkan paku tersebut terkena pada paha saya,'' ujarnya.

Menurutnya, itulah cabaran awal yang perlu dia hadapi sebelum layak menjadi tukang ladam yang mahir.

Namun, katanya, pengalaman tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus bertahan sebagai tukang ladam sehingga hari ini.

0 comments: