Titisan harapan: Kerap sakit pinggang, sendi

Titisan harapan: Kerap sakit pinggang, sendi

Oleh Karim Sulaiman
sitikarim@gmail.com

SUDAH lama kena penyakit ini? Itulah soalan cepu gangsa - meminjam ungkapan sahabat baik yang juga pengacara televisyen dan penyampai radio, Abby Fana, yang sukar saya berikan jawapan tepat. Adakalanya saya terganggu dan bosan bila ramai bertanya soalan popular ini. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu sejak bila diserang scleromyxedema. Apapun, apabila doktor tanya, saya perlu memberikan jawapan hampir tepat kerana maklumat ini penting bagi mereka.

Berdasarkan simptom penyakit ini, saya mungkin mendapat scleromyxedema sebelum 2000. Pada waktu itu, saya kerap sakit sendi, terutama kaki dan pinggang. Bagi menghilangkan sakit, hanya perlu dipicit. Sakit sendi itu semakin teruk pada 2000 membuatkan saya keletihan dan ada kalanya hampir jatuh apabila lutut terlalu sakit. Apabila bertemu doktor, saya hanya diberikan ubat sapu untuk melegakannya. Doktor memberitahu mungkin kerana kepenatan dan tekanan.

Saya masih ingat sewaktu menjadi Pengarang Berita Harian Metro, beberapa kali meredah lorong gelap di antara bangunan China Press dan Mutiara Bangsar seorang diri pada awal pagi untuk ke klinik berhampiran apabila tidak dapat menanggung kesakitan. Sakitnya sukar dibayangkan. Lutut bagai hendak tercabut dan pinggang bagaikan hendak putus. Hanya suntikan dapat meredakan kesakitan. Memang biasa bagi kakitangan Harian Metro bekerja hingga selepas tengah malam kerana ketika itu ia akhbar tengah hari.

Ada waktunya bila diserang sakit sendi saya hanya mengambil Panadol dan berehat. Walaupun diberi ubat tahan sakit, saya terlalu jarang mengambilnya kecuali jika terlalu sakit. Saya tidak mahu terlalu bergantung kepada ubat penahan sakit yang terbukti mempunyai kesan sampingan. Hingga kini, saya tidak mengambil ubat penahan sakit, sekadar menelan sebiji Panadol bila perlu.

Sakit yang saya alami itu, mengingatkan peristiwa seorang rakan yang meninggal dunia secara mengejut. Rakan saya itu memang nampak sihat, tetapi bedah siasat kemudian mendapati beliau meninggal dunia kerana serangan jantung. Hal ini mendorong saya membuat pemeriksaan kesihatan menyeluruh. Mana tahu saya juga berpenyakit.

Seminggu selepas pemeriksaan itu, saya menerima panggilan daripada doktor untuk bertemu segera. Agak cemas, mesti ada yang tidak kena dengan hasil pemeriksaan itu. Doktor memberitahu hasil ujian darah mendapati 'ada sedikit kerosakan pada hati' saya. Doktor mengesyaki saya terkena Hepatitis B, tetapi pemeriksaan lanjut mengesahkan saya bebas penyakit itu. Saya kemudian dirujuk ke hospital swasta untuk menjalani pemeriksaan menyeluruh. Pemeriksaan kali ini mendapati tahap kerosakan hati tidak begitu serius dan saya diberi ubat untuknya.

Doktor memberi beberapa kemungkinan terhadap apa yang berlaku, termasuk tekanan, masa dan corak kerja berbeza daripada biasa. Saya disarankan supaya bekerja pada waktu pejabat biasa dan tidur secukupnya pada waktu malam . Atas nasihat doktor, saya mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai Pengarang Berita dan hanya mahu menjadi wartawan. Walaupun sayang meninggalkan Harian Metro, memikirkan masa depan dan keluarga terpaksa mengambil keputusan sukar itu. Pada masa itu, soal jawatan atau tiada jawatan tidak penting lagi. Kesihatan dan keluarga lebih penting daripada segalanya.

Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd ketika itu, Datuk Ahmad Rejal Arbee kurang bersetuju dengan keputusan itu dan menawarkan saya menjadi ketua di unit lain. Namun, saya tekad dengan keputusan itu dan berasa tidak mampu untuk menjadi ketua dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Akhirnya saya menjadi Penulis Khas di Berita Harian. Rezeki saya di situ dan saya reda dengan ketentuan-Nya.

Lain ceritanya apabila saya meninggalkan Harian Metro. Ada yang menuduh saya tidak suka bekerja di akhbar kecil. Ada juga yang kata saya dikenakan tindakan dan diturunkan pangkat. Itulah agaknya antara sebab Rejal kurang bersetuju ketika saya meminta untuk menjadi Penulis Khas dan menolak jawatan pengarang di unit lain. Saya masih ingat menerima pesanan daripada seorang rakan sekerja bertanyakan hal itu. Rakan itu sebelum itu sinis bertanya benarkah saya diturunkan pangkat. Saya tidak menjawabnya. Rakan itu kemudian meminta maaf selepas tahu keadaan sebenar dan saya memaafkannya. Begitulah resam hidup, tidak semua orang suka kepada kita.

Paling tidak seronok bila ada yang kata saya hendak kerja mudah. Ada yang menyindir saya sihat dan tidak nampak sakit pun bekerja di Berita Harian. Saya tidak tahu maksud sebenar mereka yang berkata demikian. Mungkin ingin menyatakan saya hanya pura-pura sakit supaya dapat lari daripada Harian Metro. Kesakitan itu bukan untuk ditunjuk-tunjukkan, seperti judul lagu popular Gaya Zakry, Derita Hati Ku Tanggung Sendiri.

Saya tidak peduli apa orang kata. Di unit baru, saya gembira kerana dapat aktif menulis semula. Saya berasa lebih sihat dan sakit sendi beransur kurang. Tetapi, saya menghadapi masalah lain apabila kulit menjadi kemerah-merahan dan gatal. Saya hanya menyedari perkara itu bila hidung tiba-tiba kemerahan-merahan. Awalnya, saya menyangka kulit terbakar kerana baru pulang daripada Hari Keluarga Berita Harian di Port Dickson, Negeri Sembilan tidak lama sebelum itu.

Kesan itu tidak kurang walaupun disapu krim. Kemudian timbul pula bintik-bintik kecil pada kaki dan tangan yang apabila digaru teramat gatal. Bintik-bintik kemudian membesar kehitam-hitaman. Apabila berpeluh, badan gatal. Pada waktu itu tidak boleh terkena panas. Terkena asap rokok pun badan akan gatal. Hingga kini pun saya menjauhi orang yang sedang merokok. Bintik-bintik itu hilang selepas disapu krim. Saya berpandangan, tiada masalah lagi. Tetapi, lain pula jadinya, kulit menebal. Hidung, telinga, tangan dan kaki menjadi besar. Keadaan pada masa itu cukup membimbangkan.

0 comments: