Petunjuk di sebalik hukuman 18 bulan ke atas Suu Kyi

Petunjuk di sebalik hukuman 18 bulan ke atas Suu Kyi

Oleh ROHANI IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

HUKUMAN tahanan rumah selama 18 bulan ke atas pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi oleh sebuah mahkamah di Yangon tidak dilihat secara negatif oleh semua pihak. Ini kerana keputusan berkenaan tidaklah seteruk seperti yang dijangkakan oleh masyarakat antarabangsa selama ini.

Hukuman ke atas Suu Kyi pada asalnya adalah penjara tiga tahun dengan kerja berat. Bagaimanapun, ia kemudiannya diringankan kepada tahanan di rumah selama setahun setengah apabila Ketua Junta, Jeneral Kanan Than Shwe menandatangani perintah khas meringankan hukuman berkenaan.

Ini bermakna Suu Kyi, 64 yang sememangnya berada dalam tahanan rumah selama 14 tahun akan terus berada dalam tahanan rumah semasa pilihan raya berbilang parti yang dijadualkan oleh junta tentera tahun depan.

Bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang juga bekas Utusan Khas PBB ke Myanmar, Tan Sri Razali Ismail menyifatkan hukuman tahanan rumah itu mengambil kira banyak faktor selain melegakan penyokong Suu Kyi di Myanmar dan seluruh dunia.

"Tidak dinafikan banyak pihak akan berasa kecewa dengan hukuman berkenaan tetapi tahanan di rumah selama 18 bulan bermakna beliau akan terus berada di rumah seperti sebelum ini.

"Jelaslah junta tentera mengambil kira beberapa faktor dalam menjatuhkan hukuman ke atas beliau dan salah satu daripadanya ialah Suu Kyi dihormati oleh masyarakat di Myanmar dan di luar Myanmar. Jadi bagi junta tentera tidak perlulah Suu Kyi dipenjarakan atau dilenyapkan dari pandangan masyarakat sama sekali," katanya.

Razali berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada sesi Perbincangan Meja Bulat di antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) dan Forum Hubungan Antarabangsa Malaysia (MIAF) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebagai Utusan Khas PBB ke Myanmar, Razali merupakan orang tengah di antara kerajaan Myanmar dan Suu Kyi pada Oktober 2000. Bagaimanapun pada tahun 2006, Razali memutuskan untuk berundur daripada jawatan itu selepas mendapati usaha menamatkan kemelut politik di Myanmar menemui jalan buntu.

Ini kerana junta tentera menghalang beliau daripada melawat Myanmar dua tahun lalu menyebabkan Razali mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui kontrak sebagai Utusan Khas PBB ke negara tersebut.

Ditanya mengenai hukuman ke atas Suu Kyi baru-baru ini, beliau melahirkan rasa gembira kerana hukuman yang dijatuhkan menggambarkan junta tentera mengambil kira populariti Suu Kyi biarpun selama beberapa tahun banyak tuduhan negatif yang dilemparkan ke atas pemimpin prodemokrasi berkenaan.

"Saya rasa ada sesuatu yang boleh diterjemahkan daripada hukuman tahanan rumah selama 18 bulan itu. Kini junta tentera mula mengambil kira pandangan masyarakat.

"Mengenai Suu Kyi yang hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya, ia bukanlah satu perkara baru kerana selama ini beliau memang tidak layak untuk bertanding kerana bersuamikan seorang warga asing. Saya rasa Suu Kyi juga menyedari hakikat itu," jelasnya.

Tambah Razali, tempoh 18 bulan tahanan rumah Suu Kyi tidak harus dilihat secara negatif tetapi cuba mencari jalan untuk berunding dengan junta tentera ke arah proses damai.

"Pada pandangan saya, jika dua pihak yang bertelagah di Zimbabwe boleh melakukan sesuatu untuk memastikan wujud keadaan damai di negara mereka maka tidak mustahil bagi junta tentera untuk bekerjasama dengan masyarakat sivil dan puak minoriti di Myanmar untuk mewujudkan perdamaian.

"Biarlah tempoh 18 bulan hukuman ke atas Suu Kyi menjadi proses membina damai. Saya rasa mengenali Suu Kyi sedikit dan saya tahu beliau akan turut menyokong sebarang proses ke arah perdamaian biarpun beliau terus ditahan," katanya.

Razali berkata, Suu Kyi akan terus menjadi individu penting di pentas dunia dan tidak ada siapa yang boleh menghapuskan beliau begitu sahaja daripada perhatian masyarakat antarabangsa.

"Saya berharap tidak akan ada pihak yang melihat hukuman tahanan rumah selama 18 bulan ke atas Suu Kyi dari sudut negatif semata-mata," tambah beliau.

Katanya, proses demokrasi tidak berlaku dalam sekelip mata atau begitu sahaja tetapi perlu diusahakan oleh pelbagai pihak.

"Jika saya diberikan peluang, saya akan meletakkan seluruh jiwa dan raga saya dan mencuba sedaya upaya untuk melihat bagaimana boleh mewujudkan perdamaian di bumi Myanmar.

"Saya rasa kita kini sedang menuju ke arah perdamaian. Ada kemungkinan untuk proses damai berlaku dan tidak semua perkembangan di Myanmar pada masa ini bersifat negatif," jelas beliau.

Kata Razali, para pemimpin dalam ASEAN perlu tampil dan mengambil tindakan secara bijak untuk menyelesaikan kemelut politik di Myanmar dan bukan hanya mengeluarkan kenyataan untuk tajuk utama akhbar.

"Langkah-langkah serius perlu dirangka sebagai usaha awal untuk mewujudkan kerajaan sivil di Myanmar. Saya rasa pemimpin ASEAN perlu berbincang dengan China, India dan Amerika Syarikat (AS) mengenai perkara ini.

"AS mempunyai pengaruh yang besar dan sebarang usaha yang inginkan kejayaan perlu melibatkan negara tersebut," tambahnya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang turut ditemui pada majlis yang sama berkongsi pandangan dengan Razali mengenai hukuman ke atas Suu Kyi.

"Saya lihat proses pendemokrasian di Myanmar sudah bermula. Sebelum ini proses berkenaan seolah-olah terhenti sama-sekali. Saya berharap proses pendemokrasian di Myanmar akan berjalan lebih cepat.

"Saya fikir ini sahajalah yang dapat saya katakan kerana saya tidak mahu meletakkan Wisma Putra dalam masalah," jelasnya.

0 comments: