ASEAN menuju Hijau

ASEAN menuju Hijau

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(Yang mengikuti sambutan Hari ASEAN di Jakarta dan Bangkok pada 8 Ogos lalu)

LUAR daripada kebiasaan, sambutan Hari ASEAN ke-42 pada 8 Ogos lalu diraikan tinggi di awan biru.

Di dalam sebuah pesawat khas Airbus A320 milik AirAsia, hampir 150 orang delegasi terdiri daripada wakil kerajaan, duta asing dan media massa dari 10 negara ASEAN menyambut hari ulang tahun pertubuhan itu dengan cara yang agak unik. Selain acara memotong kek, sambutan turut diserikan dengan pertunjukan fesyen pakaian kebangsaan negara anggota ASEAN oleh pramugari AirAsia.

Turut serta dalam penerbangan dari Jakarta menuju ke Kuala Lumpur sebelum ke Bangkok itu ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Seri Tony Fernandes.

Sambutan Hari ASEAN itu bagaimanapun bermula lebih awal dengan upacara menaikkan bendera di bangunan ASEAN, Jalan Sisingamangaraja, Jakarta Selatan.

Ia diikuti dengan penanaman pokok oleh Surin di laman bangunan ASEAN sebagai simbolik kepada tema sambutan Hari ASEAN kali ini iaitu Hijau.

Signifikannya AirAsia dalam sambutan Hari ASEAN kali ini adalah kerana peranan syarikat penerbangan tambang murah itu dalam menghubungkan kira-kira 600 juta penduduk di rantau ini.

Dengan 130 laluan merentasi 65 destinasi, syarikat penerbangan tambang murah itu juga menjadi simbol kepada kekuatan komuniti ASEAN dalam membawa rantau ini ke seluruh pelosok dunia.

Agak menarik ketika ASEAN masih lagi berdepan dengan cabaran yang lebih besar terutamanya kegawatan ekonomi global dan ancaman keganasan, Hijau dipilih menjadi tema sambutan kali ini.

Ternyata, tema Hijau itu tenggelam pada hari sambutannya apabila delegasi lebih banyak bercerita mengenai operasi pihak berkuasa Indonesia mengepung sebuah rumah di Temanggung, Jawa Tengah, pada hari yang sama.

Rumah itu disyaki dihuni pengganas paling dikehendaki di Asia iaitu Nordin Mat Top yang didakwa bertanggungjawab dalam dua siri pengeboman hotel mewah di Jakarta, 17 Julai lalu.

Di kalangan delegasi yang menyaksikan liputan secara langsung menerusi saluran Metro TV, Hijau ternyata tidak selari dengan keutamaan yang harus diberikan oleh ASEAN sekurang-kurangnya untuk ketika ini.

Apatah lagi Nordin pula dilaporkan berjaya meloloskan diri daripada kepungan itu sekali gus membayangkan bahawa perang terhadap pengganas belum berakhir.

Justeru mengapa Hijau? Tidak menolak hakikat kumpulan militan tidak hanya menjadi isu ASEAN malah global, namun Surin yakin setiap negara termasuk ASEAN, mempunyai mekanisme keselamatan tersendiri dalam mendepani ancaman itu.

Dalam masa yang sama jelasnya, ASEAN tidak boleh terlalu memberi tumpuan kepada ancaman yang nyata seperti kumpulan pengganas dan mengabaikan ancaman 'tidak nyata'.

Lebih lanjut, Surin menjelaskan Hijau juga dipilih sebagai tema berdasarkan kepada tiga cabaran utama yang perlu diberi perhatian oleh negara-negara anggota pada masa depan.

Pertama, cabaran dalam mengekalkan keseimbangan dan kelestarian alam sekitar yang bersih dan bermutu di sebalik pembangunan negara-negara anggota.

Menurut Surin, perubahan iklim melampau yang mencetus kepada fenomena alam luar biasa seperti taufan, kemarau, banjir besar dan sebagainya banyak disebabkan kerakusan manusia mengesampingkan alam atas nama pembangunan.

Malangnya, ASEAN tidak terkecuali daripada menerima impak buruk perubahan iklim itu yang mengorbankan jutaan nyawa penduduknya.

Justeru, sudah tiba masanya negara-negara ASEAN memberi keutamaan kepada aspek 'hijau' dalam setiap agenda pembinaan negara masing-masing.

Cabaran kedua ialah untuk 'menghijaukan' ekonomi rantau ini atau dalam erti kata lain menjadikannya lebih kukuh dan tahan terhadap krisis ekonomi global.

Kegawatan ekonomi yang bermula sejak awal tahun lalu dan masih membelenggu kebanyakan negara ASEAN ketika ini memerlukan rantau ini supaya lebih bersedia dengan model ekonomi tersendiri.

Hakikatnya, kebergantungan kepada negara-negara ekonomi utama menyebabkan ASEAN tidak mampu mengelak daripada turut terkena tempias krisis ekonomi meskipun yang tidak secara langsung berpunca dari rantau ini.

Hijau yang ketiga pula tambah Surin, untuk membawa ASEAN sebagai sebuah pertubuhan yang berorientasikan masyarakat seterusnya dihormati oleh seluruh penduduk dunia.

Surin dalam menegaskan cabaran ASEAN yang ketiga ini mempunyai impian yang lebih jauh iaitu untuk merealisasikan Komuniti ASEAN lebih awal daripada apa yang dihasratkan iaitu sebelum 2015.

Selepas lebih empat dasawarsa memperjuangkan usaha merapatkan hubungan, ASEAN hari ini ujar Surin seharusnya mampu menjadi sebuah platform dalam mewujudkan kesejahteraan di kalangan penduduk negara anggota.

Semangat ASEAN juga ujarnya, perlu melangkaui perhubungan antara kerajaan dengan kerajaan dan meluas dalam setiap lingkungan kehidupan masyarakat negara anggota.

Ia termasuk dalam kerjasama ekonomi, bidang swasta, media massa, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai lapangan lain.

''Seluruh masyarakat negara-negara ASEAN perlu merasakan bahawa ASEAN adalah sebahagian daripada mereka dan mendapat manfaat serta kelebihan secara langsung daripada kerjasama yang terjalin menerusi ASEAN ini," ujar beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vijjajiva dalam pidatonya yang bertajuk 'Peranan Thailand Dalam ASEAN' antara lain turut menyentuh mengenai sumbangan negara berkenaan sepanjang mempengerusikan pertubuhan itu.

Meskipun berdepan kelemut politik yang beberapa kali melumpuhkan kerajaan, namun ujar Abhisit, komitmen Thailand dalam menjayakan apa yang dirangka di bawah ASEAN tidak pernah diabaikan.

Malah, beberapa siri kejayaan juga berjaya dicatatkan hasil inisiatif yang digerakkan sama ada secara langsung atau tidak langsung oleh Bangkok.

Antaranya kejayaan menarik penglibatan masyarakat negara anggota dalam pembinaan komuniti ASEAN menerusi penganjuran persidangan dan sidang kemuncak termasuk di Cha-am, Hua Hin dan Pattaya baru-baru ini.

Thailand juga tambah Abhisit, memainkan peranan yang menyeluruh dalam memperkenalkan ASEAN di setiap lapisan masyarakat.

Ia termasuk di kalangan pelajar-pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi pelbagai program.

Malah, Thailand juga menjadi negara ASEAN pertama yang menggalakkan kerjasama antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat menerusi kerjasama yang dikenali sebagai Pertubuhan ASEAN-Thailand.

Thailand juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan interaksi dengan negara-negara rakan dialog sehingga ada yang bersedia menghantar wakil atau duta masing-masing di ASEAN.

Malah, Thailand juga sebelum menyerahkan tanggungjawab negara pengerusi kepada Vietnam hujung tahun ini, sekali lagi akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-15 pada Oktober ini.

''Thailand mempunyai keyakinan sepenuhnya terhadap ASEAN dan sentiasa meletakkan ASEAN sebagai peluang dan pilihan yang penting ke arah menjadikan rantau ini lebih stabil, bersatu dan sentiasa menyedari kelebihan yang ada," ujar beliau.

0 comments: