Minda Pengarang: Usaha memerangi arak, maksiat perlu usaha bersepadu

Minda Pengarang: Usaha memerangi arak, maksiat perlu usaha bersepadu

KENYATAAN Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, semalam bahawa pegawai masjid di Selangor diberi kuasa menahan tanpa waran terhadap umat Islam yang melakukan kesalahan membabitkan arak berkuat kuasa serta-merta, sewajarnya mendapat perhatian. Walaupun arahan itu mendapat sokongan, ia juga perlu dihalusi bagi mengelakkan 'ada undang-undang tetapi tanpa sebarang tindakan'. Yang menjadi mangsa ialah nazir, imam, bilal dan siak yang diberi kuasa menguatkuasakan Seksyen 18, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1985 itu. Mereka mungkin terperangkap dengan pelbagai kekurangan akibat ketiadaan persediaan rapi. Mereka perlu dilengkapi dengan maklumat perundangan sebelum membolehkan mereka bertindak. Bagi umat Islam, sesiapa saja yang membuat kenyataan seperti itu akan mendapat sokongan politik. Cuma kaedah menguatkuasakannya perlu dilakukan dengan terancang, berkesan, berwibawa malah adil. Mengambil tindakan terhadap orang Islam yang meminum arak mungkin mudah. Namun, dalam senario pasaran pekerjaan hari ini ada juga pelayan beragama Islam yang bertugas di tempat-tempat hiburan. Mereka terpaksa meletakkan jawatan sekiranya tidak mahu terbabit dalam kegiatan arak. Jika tidak ada kerja lain yang boleh menampung kehidupannya, ia boleh menimbulkan masalah sosial kepadanya dan keluarga. Jika kerjaya itu menyebabkan mereka dikenakan tindakan, maka Jabatan Agama Islam atau mana-mana pihak berkuasa agama Islam perlu mengeluarkan larangan supaya orang Islam tidak dibenarkan bekerja di kelab, restoran, kedai atau apa-apa premis yang turut menjual arak. Larangan itu perlu diiringi dengan hukuman setimpal jika mereka terus bekerja di premis berkenaan. Sudut ini juga perlu diambil perhatian supaya penguatkuasaan dan hukuman adalah bertepatan. Atau, mereka juga perlu menjawab persoalan bagaimana lesen perniagaan dibenarkan di negeri itu?. Beberapa tahun lalu, ada sebuah badan dikenali sebagai 'Badar' yang diberi kuasa untuk membanteras maksiat di Selangor. Namun disebabkan ada kes anggotanya menyalahgunakan kad kuasa untuk melakukan perkara yang tidak berakhlak dan menyalahi undang-undang, maka tanggungjawab itu dipindahkan kepada institusi masjid. Cuma, diharap perkara yang menimpa Badar tidak berulang di kalangan pegawai masjid terbabit. Tidak kira di Selangor atau negeri lain, tindakan memerangi gejala minum arak dan maksiat lain mesti dilakukan secara bersepadu dengan agensi berkaitan lain. Polis akan melindungi pegawai masjid yang melaksanakan penguatkuasaan berbanding jika mereka bertindak sendirian walaupun memiliki kad kuasa menahan tanpa waran. Bertindak bersama polis juga dilihat lebih bijak dan menyelamatkan mereka daripada sebarang tohmahan berkait kewibawaan dan ketelusan mereka.

0 comments: