Arus pengundian kian menjauh daripada pembangkang

Arus pengundian kian menjauh daripada pembangkang

SEWAKTU Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Pas memenangi kawasan Permatang Pasir dengan majoriti 5,433 undi. Barisan Nasional (BN) pula hanya memperoleh 33.6 peratus daripada keseluruhan undi yang sah dikira.

Memandangkan calon Pas pada pilihan raya kecil (PRK) kali ini bukan penyandang kerusi, mengikut perkiraan, undi majoriti kemenangan Pas sepatutnya merosot kepada 4,633 undi sahaja, sekiranya faktor-faktor lain tidak berubah.

Angka undi majoriti 4,633 ini boleh dijadikan tanda aras bagi menunjuk arus pengundian sama ada menuju ke arah BN atau sebaliknya kepada pakatan pembangkang pada PRK ini.

Bagi mengatasi tanda aras ini, BN perlu melebihi 33.6 peratus daripada keseluruhan undi yang sah dikira pada PRU 2008.

Dengan keputusan pengundian yang kini menunjukkan majoriti Pas hanya sejumlah 4,551 undi sahaja, BN telah memperolehi 34.5 peratus daripada keseluruhan undi yang sah dikira.

Ini menunjukkan satu peningkatan, sekali gus membuktikan arus pengundian di kawasan ini sedikit berubah ke arah BN. Keadaan itu berlaku walaupun BN mempertaruhkan seorang calon yang hebat dipertikaikan.

Dengan keputusan yang dicapai di Manek Urai, ini merupakan tanda cukup kukuh bahawa sikap pengundi di Semenanjung Malaysia mulai berubah dan mulai kembali kepada UMNO dan BN.

Perlu diingat, di Permatang Pasir, jumlah undi Melayu ialah 73.3 peratus, Cina 25.9 peratus dan undi India, 1.6 peratus.

Ketika ini mungkin masih terlalu awal untuk mengetahui arus pengundian secara terperinci bagi setiap kaum.

Tetapi daripada jumlah undi yang diperoleh dan daripada keputusan di Manek Urai, ada kemungkinan undi Melayu untuk BN telah meningkat sekurang-kurangnya 5 peratus.

Ini bererti ada kemungkinan undi Cina untuk BN di Permatang Pasir telah merosot melebihi 10 peratus.

Jika jangkaan di atas terbukti betul, ini bererti arus undi masyarakat Melayu sudah mulai beralih ke pangkuan UMNO. Ia merupakan satu tamparan kepada Anwar Ibrahim di kawasan Permatang Pauh – home ground beliau sendiri.

Ini sekali gus memberi implikasi yang kurang baik untuk PKR dan pakatan pembangkang di Semenanjung Malaysia pada masa depan.

Bagi undi Cina pula, penulis berpendapat, sungguhpun mereka menghargai dasar baru Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam kes ini nampaknya mereka lebih mementingkan pengukuhan kerajaan yang kaum mereka kuasai di Pulau Pinang.

Jadi, keputusan di Permatang Pasir tidak semestinya mencerminkan pendirian masyarakat Cina di seluruh Malaysia.

Faktor peratusan yang turun mengundi juga perlu diambil perhatian, berkurangan 9 peratus daripada 2008.

Salah satu sebabnya kerana tarikh pengundian jatuh pada hari bekerja, tetapi pasti ada juga sebab lain. Adakah ini disebabkan ramai penyokong pakatan pembangkang tidak turun mengundi kerana mereka sudah yakin menang, atau ramai pengundi atas pagar tidak berminat mengundi kerana kecewa dengan tahap kemajuan kawasan itu di bawah Anwar?


Kuching, Sarawak">

0 comments: