1Malaysia harapan baru masyarakat India
Oleh Magendran Rajagopal
bhnews@bharian.com.my
MIC perlu perubahan segera bagi pastikan terus berpengaruh, relevan sebagai komponen BN
GAJAH sama gajah berperang, pelanduk mati tersepit. Itulah perasaan sebahagian masyarakat India ketika ini yang menganggap diri mereka pelanduk, sering menjadi mangsa keadaan, sama ada yang menyokong MIC dalam Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat, nasib mereka tidak banyak berubah.
Pada mereka, sejak kebelakangan ini MIC tidak banyak membawa perubahan bermakna kepada masyarakat India. Lebih mengecewakan harapan yang dipertaruhkan kepada Pakatan Rakyat juga gagal dilaksanakan seperti terbukti dalam isu pemilikan tanah di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang.
Sementara itu, kebangkitan besar-besaran masyarakat India menerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), yang diharapkan memberi kuasa politik juga tidak kesampaian.
Antara pemimpinnya yang begitu lantang bersuara pada bibit awal bertindak 'bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing' untuk kepentingan politik peribadi dan menjadikan Hindraf sebagai batu loncatan menubuhkan parti politik sendiri.
Namun, tatkala terkapai-kapai hampir lemas, ada yang menghulur tangan, sekali gus memberi harapan baru kepada mereka. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan konsep 1Malaysia menjanjikan kesaksamaan dan kesamarataan.
Kajian Merdeka Center baru-baru ini mendapati kira-kira 74 peratus masyarakat India yang ditemubual dalam satu kaji selidik menyatakan berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri keenam itu setakat ini.
Walaupun MIC selaku komponen BN mewakili masyarakat India, mereka yang ditemubual itu menyatakan sokongan terhadap Najib, bukan MIC atau Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu.
Jika diimbas beberapa insiden terbaru membabitkan Najib dan masyarakat India, memang jelas Najib yakin dapat meraih sokongan mereka kepada BN tanpa peranan MIC, selaku parti mewakili kaum India dalam BN.
Kurang 24 jam mengangkat sumpah selaku Perdana Menteri, Najib sudah turun padang bagi menyaksikan sendiri keadaan di Jalan Petaling atau China Town, kawasan majoriti penduduk Melayu di sekitar Vista Angkasa dekat Kampung Kerinchi dan penempatan masyarakat India di Brickfields. Nyata sambutan yang diberikan masyarakat pelbagai kaum di kawasan itu sangat memberangsangkan dan Najib yang turun dengan ramah tamah turut berjaya menarik hati masyarakat India.
Sekiranya ketiadaan Samy Vellu mengiringi lawatan Najib ke Batu Caves pada 9 Ogos lalu boleh dijadikan penanda aras, tidak keterlaluan jika dikatakan BN tidak lagi bimbang mengenai undi kaum India pada pilihan raya umum akan datang, walaupun tanpa MIC.
Pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN 10 Ogos lalu, ramai yang tersentak dengan jawapan Najib apabila ditanya kenapa kerajaan meluluskan banyak parti bagi kaum India sejak kebelakangan ini kerana beliau tidak langsung merujuk kepada MIC walaupun Samy Vellu duduk tidak jauh.
Mengapa agaknya Najib tidak mengesyorkan parti baru itu bergabung saja dengan MIC memandangkan semua mereka berikrar akan menyokong BN. Hanya Perdana Menteri tahu apa yang tersirat di hatinya.
Selain MIC, parti majoriti masyarakat India termasuk Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Barisan Progresif India Malaysia (IPF), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP), Barisan Tindakan Demokratik India Malaysia (Mindraf) dan Parti Makkal Sakthi Malaysia (MMSP) dan yang terbaru, Parti Hak Asasi Manusia (Paham).
Ini membawa kita kepada persoalan apakah MIC selaku komponen BN masih lagi relevan dalam peranannya selaku wakil masyarakat India dalam gagasan terbabit kerana ternyata ia bukan lagi pilihan majoriti 2.5 juta penduduk India negara ini.
Jika diteliti struktur MIC, hanya 1,464 perwakilan yang mengundi pada pemilihan parti 12 September ini. Sebahagian daripada mereka sudah pun meneka calon yang akan terpilih. Pastinya yang berpihak kepada Presiden parti itu.
Secara keseluruhan, semua parti komponen BN terpanggil atau terpaksa melakukan perubahan selepas prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum 2008, kecuali MIC yang dikatakan masih terkapai-kapai mencari hala tuju baru.
Pada mereka walaupun Samy Vellu mengumumkan penjenamaan semula parti dan suntikan darah muda dalam pergerakan itu, bak kata pepatah, 'kokok berdegar-degar tetapi ekor masih bergelumang tahi', tiada satu pun yang dikatakan itu dikotakan setakat ini.
Mungkinkah pemimpin tertinggi BN berasa serba salah untuk menegur Samy Vellu kerana tokoh veteran itu sudah lama berkecimpung dalam arena politik sejak Tun Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri antara 1970 hingga 1976.
Namun, beberapa pemimpin veteran MIC belum lagi melupakan kisah pada 1973 apabila Allahyarham Tun Abdul Razak (Perdana Menteri kedua) terpaksa campur tangan bagi memujuk Presiden MIC ketika itu, Tun VT Sambanthan, supaya bersara selepas 18 tahun berkuasa bagi mencegah kemelut dalaman parti itu melarat sehingga menjejaskan kedudukan BN.
Penggantinya, Tan Sri V Manic-kavasagam, yang menerajui parti sehingga 1978 berjaya membawa banyak pembaharuan dalam parti, termasuk menyatukan puak yang bertelagah selain menyuntik darah muda dari kalangan profesional.
Keinginan sama kini semakin membuak selepas senarai pilihan Presiden MIC bagi pemilihan kali ini diumumkan Samy Vellu sejurus selepas penamaan calon selesai Sabtu lalu kerana masih menyenaraikan beberapa pemimpin yang disifatkan sudah melampaui tarikh 'bersara'.
Antara lain, penyenaraian nama pemimpin seangkatan dengan Samy Vellu seperti Ketua MIC Perak, Datuk G Rajoo dan Ketua MIC Kedah, Datuk V Saravanan, yang sejak kebelakangan ini dirundung pelbagai masalah kesihatan, ternyata kurang disenangi perwakilan muda.
Samy Vellu sendiri memegang jawatan Pengerusi Pemuda MIC pada 1971 dan menyertai Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 1973 dan pada tahun sama, dilantik sebagai Ketua Pemuda MIC sebelum dipilih sebagai naib Presiden MIC pada 1975.
Namun, selepas 30 tahun Samy Vellu kekal sebagai Presiden MIC apabila menang tanpa bertanding pada pemilihan April lalu.
Sepanjang tempoh itu juga kita lihat pucuk pimpinan tertinggi MIC tidak banyak berubah, termasuk pemilihan parti 12 September ini yang dijangka menampilkan senarai pilihan Presiden yang tidak banyak menampilkan muka baru, seperti berlaku pada pemilihan sebelum ini. Mungkin Samy Vellu perlu memikirkan apa perubahan yang perlu dilakukan segera bagi memastikan parti itu terus berpengaruh dan relevan di kalangan masyarakat India di negara ini.
0 comments:
Post a Comment