Menjana usaha perbanyakkan lagu patriotik

Menjana usaha perbanyakkan lagu patriotik

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

ALBUM berjudul Abadi yang dirakamkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad pada 1982 merupakan sebuah album berkonsepkan irama pop yang sarat dengan lagu berunsurkan patriotik.

Antara lagu yang dimuatkan menerusi album terbitan syarikat rakaman EMI itu berjudul 31 Ogos, Warisan dan Tegakkan Bendera Kita, yang merupakan lagu-lagu patriotik yang terus diminati sehinggalah kini.

Album dan lagu-lagu itu bukan sekadar berkonsepkan patriotik, malah ia juga diterima ramai pendengar sebagai lagu-lagu yang popular di kalangan pelbagai lapisan masyarakat dalam persada muzik arus perdana di negara ini.

Sayangnya, selepas 27 tahun penghasilan album itu, sehingga kini boleh dikatakan tidak ramai penyanyi popular atau komposer tanah air yang berani tampil mengetengahkan album yang berkonsepkan lagu-lagu sedemikian.

Penyanyi berasal dari Temerloh, Pahang, itu secara tidak langsung telah membuktikan bahawa lagu-lagu patriotik jika digubah melodinya mengikut arus muzik semasa, ia juga akan menjadi popular seperti genre muzik lain.

Patriotik misalnya daripada segi lirik lagu yang mampu membina jati diri agama dan bangsa boleh dipersembahkan menerusi gubahan pelbagai genre muzik yang segar dan diterima pendengar.

Bagaimanapun ia perlu selari dengan cita rasa para pendengar serta seiring perkembangan muzik semasa.

Dalam senario tersebut, penyanyi generasi baru sepatutnya mencontohi aspirasi Sudirman dalam menghasilkan album atau sekurang-kurangnya sebuah lagu patriotik dalam album-album yang mereka hasilkan.

Allahyarham Sudirman berjaya mempopularkan dirinya sebagai penyanyi lagu-lagu patriotik tempatan yang ulung.

Malah membawa semangan patriotik menerusi imejnya yang berpakaian corak Jalur Gemilang pada banyak persembahan pentas yang dijayakannya.

Selain itu, lagu-lagu patriotik baru yang akan dihasilkan juga setidak-tidaknya boleh dijadikan sebagai lagu-lagu pelapis untuk dihayati serta disesuaikan dengan cita rasa golongan generasi muda pada masa kini dan masa depan.

Sebab itu, tidak hairanlah pertandingan mencipta Lagu 1Malaysia Kita anjuran stesen radio Hot FM sedikit sebanyak bertujuan menyahut cabaran itu dalam usaha melahirkan lebih banyak lagu patriotik yang untuk generasi baru.

Pertandingan mencipta lagu patriotik generasi baru yang menawarkan hadiah wang tunai RM25,000 buat juaranya itu terbuka kepada komposer amatur dan profesional tanpa mengira genre muzik asalkan ia sesuai dan diterima oleh rakyat negara ini.

Bagi memperbanyakkan lagi lagu-lagu patriotik baru, para komposer, penyanyi dan syarikat-syarikat rakaman juga seharusnya lebih berani mengetengahkan lagu-lagu patriotik.

Bagaimanapun ia mesti berunsur popular serta boleh dihayati oleh segenap lapisan masyarakat kita.

Malah mereka juga haruslah kreatif dalam menghasilkan lagu-lagu yang bertemakan patriotik dan mempunyai irama yang menarik serta boleh dikomersialkan dalam industri muzik tempatan.

Allahyarham Sudirman berjaya membuktikan lagu nyanyiannya berjudul Warisan terkenal sebagai lagu patriotik malar segar.

Malah ia juga menjadi lagu pop yang tidak pernah jemu-jemu untuk dihayati sehingga kini.

0 comments: