Pengundi muda, Cina beralih arah

Pengundi muda, Cina beralih arah

Oleh Kamal Ahmad
mohdkamal@bharian.com.my

Kempen 'bunuh' karakter Rohaizat punca Pas menang

SOKONGAN terhadap Pas menunjukkan tanda-tanda merosot manakala di pihak Barisan Nasional (BN) mula menampakkan peningkatan keyakinan akar umbi, demikian rumusan ringkas tetapi nyata daripada keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam. Calon BN, Rohaizat Othman, 38, yang didakwa mempunyai 'beberapa kes peribadi' masih mampu meraih 5,067 undi dan tewas kepada calon veteran Pas, Salleh Man, yang memperoleh 9,618 undi.

Buktinya, kemerosotan penduduk yang keluar mengundi daripada 82.57 peratus membabitkan 20,350 pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 kepada 73.1 peratus semalam (daripada 20,290 pengundi) berjaya menurunkan angka sokongan terhadap Pas sebanyak 1,386 undi berbanding 11,004 undi yang diperoleh calonnya ketika itu - Mohd Hamdan Abd Rahman.

Calon BN pada PRU yang sama, Ahmad Shahar Shuib pula meraih 5,571 undi sekali gus BN cuma kehilangan 504 undi kali ini.

Kalangan pemimpin Umno mengakui peningkatan sokongan pengundi Cina (lebih 25 peratus daripada keseluruhan pengundi) dan pengundi baru di Permatang Pasir, terhadap calon BN semakin meningkat sekali gus mengurang di pihak pembangkang.

"Pengundi muda kian meyakini BN dan perkembangan ini akan dimaklumkan kepada Kabinet dan Ibu Pejabat Umno esok (hari ini)," kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Pengundi Cina di Permatang Pasir turut memperlihatkan angin perubahan termasuk menerima Konsep 1Malaysia," kata Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, ketika diminta mengulas mengenai apa yang boleh dipelajari oleh BN daripada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir itu. Beliau turut mengakui rakyat mula faham dan menerima penjelasan hala tuju Umno serta kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak. Namun, keyakinan dan sokongan itu katanya, tidak boleh digapai sepenuhnya dalam masa sehari atau sebulan tetapi dijangka mencapai tahap maksimum dalam tempoh setahun dua ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, pula berkata: "Saya melihat kesedaran pengundi baru di Permatang Pasir turut mencerminkan aspirasi serupa di negeri lain."

Beliau berkata, mereka melihat sendiri kegagalan kerajaan Pakatan Rakyat membawa pembangunan di DUN itu sehingga begitu ketara ketinggalan dan diabaikan.

"Ada perubahan di kalangan pengundi terhadap kemampuan Pas. Mereka sudah nampak apa yang dilakukan oleh pembangkang terhadap keperluan pembangunan dan pembelaan terutama keluarga miskin di Pulau Pinang. Ini juga berlaku kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah yang tidak mampu membawa pembangunan dan perkembangan ekonomi," katanya.

Bagaimanapun Zahid yang mengharapkan angin perubahan seperti dipaparkan dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan baru-baru ini, terpaksa menggigit jari gara-gara keputusan di Permatang Pasir itu. Bermain dalam kubu kuat Pas di Pulau Pinang sejak tiga penggal lalu itu menyaksikan BN tidak dapat merapatkan jurang majoriti sokongan yang diperoleh Pas kerana calon BN berdepan dengan 'faktor tempatan' yang mana pengundi di situ diklasifikasikan oleh Zahid sebagai 'belum mahu memberi kemenangan' kepada Rohaizat. Namun kekalahan beliau itu terima dengan hati terbuka dan lapang dada walaupun sukar menerima hakikat pengundi Permatang Pasir 'mahu keadaan kekal seperti mana pilihan raya terdahulu' di bawah naungan wakil Pas.

"Calon bukan faktor utama kekalahan BN. Kita pun tahu calon Pas ada 'kes peribadi'. Dan soal calon selalu diperkatakan dalam mana-mana pilihan raya tetapi itu tidak menjadi perkara utama menentukan kemenangan," katanya lagi sambil mengakui satu laporan terperinci akan beliau kemukakan kepada mesyuarat Kabinet serta Ibu Pejabat Umno, hari ini. Antara yang akan beliau laporkan ialah 'sikap akar umbi' dan kebergantungan jentera pilihan raya BN kepada tenaga dari luar berbanding yang digerakkan oleh tenaga akar umbi tempatan.

Salleh sebenarnya boleh disifatkan hanya 'calon biasa' berbanding karisma calon Pas lain. Ini kerana beliau dikatakan pernah bertanding dalam enam kali pilihan raya dan tewas semuanya. Cuma untuk kali ke-7 melalui pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, beliau akhirnya lega dengan kemenangan semalam. Antara faktor yang dikatakan memihak kepada Salleh ialah serangan bertalu-talu terhadap peribadi Rohaizat selama tempoh berkempen lapan hari berturut-turut. Berkempen antaranya tiga hari dalam bulan Ramadan tidak menghalang serangan peribadi terhadap Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh itu.

Sudah menjadi budaya orang Melayu yang berminat dengan cerita peribadi dan mengambil pendirian terhadap isu itu. Dengan lebih 72 peratus pengundi di Permatang Pasir adalah Melayu, strategi 'menembak' Rohaizat dengan isu peribadi pasti berkesan untuk 'membunuhnya'. Jadi, yang perlu dipelajari BN apabila mahu menamakan calon dalam PRU atau mana-mana pilihan raya kecil akan datang ialah masing-masing mesti betul-betul bersih keperibadiannya. Individu yang 'ada kes' tidak wajar dijadikan calon kerana 'kes' itu akan memakan tuan apabila dimanipulasi walaupun hakikatnya ia sudah selesai. Pengundi khususnya Melayu tidak boleh menerima atau menyokong calon yang bermasalah atau 'pernah ada kes atau masalah peribadi'. Kajilah, berapa banyak kerusi BN ditawan pembangkang dalam PRU 2008 gara-gara 'tersilap memilih calon'. Kesilapan memilih calon turut menyaksikan BN tewas dalam beberapa siri pilihan raya kecil dalam tempoh terdekat ini.

Justeru, isu salah guna dana dan perkahwinan selain perilaku anak, adik beradik serta keluarga perlu diambil kira dalam menilai seseorang sebelum menjadi calon BN pada masa akan datang. Kehadiran calon bermasalah secara automatik menjadi modal dan bonus kepada pembangkang dalam meraih sokongan selepas mereka ketandusan modal kempen secara intelektual dan profesional. Insaflah, faktor peribadi dan keperibadian menyumbang kepada sebahagian besar sokongan dan undi selain gred atau prestasi perkhidmatan parti kepada mereka.

Kempen membunuh karektor Rohaizat bagaimanapun tidak berkesan di kalangan pengundi Cina yang berjumlah lebih 25 peratus. Mereka ternyata lebih cenderung dan yakin menerima jaminan kerajaan bahawa ekonomi semakin pulih sekali gus membuka ruang peningkatan dalam perniagaan dan kemakmuran hidup. Pengundi Cina juga cenderung dalam isu pendidikan, bahasa dan kesamarataan.

0 comments: