Realiti TV Islam

Realiti TV Islam

RANCANGAN realiti tv sememangnya sudah menjadi fenomena di seluruh dunia. Di mana-mana masyarakat dunia kini semakin teruja dengan rancangan televisyen yang menonjolkan kisah atau pertandingan realiti yang berlaku yang membenarkan orang ramai memberi pandangan atau sokongan mereka terhadap undividu yang bertanding.

Contoh terbaik di Malaysia pastinya Akademi Fantasia (AF7) yang baru melabuhkan tirainya minggu lepas.

Lambakan program sebegini bukanlah sesuatu yang baru dan ia kini semakin menular dan mendapat perhatian ramai bersesuaian dengan kehendak semasa dan kecanggihan teknologi sekarang.

Namun bukan semua masyarakat dan negara menerima perkara ini sebagai satu keperluan dan bagi negara-negara Arab mereka masih belum dapat menerima rancangan-rancangan sebegini untuk disiarkan di negara mereka.

Namun langkah sebuah stesen televisyen satelit Mesir, 4shbab menyiarkan sebuah program realiti yang dikenali sebagai Islamic Idol yang mengikut format American Idol dilihat cuba memecah dominasi konservatif.

Stesen 4shbab yang membawa maksud "Untuk Pe muda-pemudi" adalah hasil cetusan idea seorang petugas media Mesir, Ahmed Abu Heiba yang menegaskan misinya adalah untuk menyebarkan mesej bahawa orang Islam juga boleh menjadi moden dan berhubung dengan dunia hari ini.

Selain itu rancangan ini dilancarkan bagi mencari dan mempromosi bakat baru untuk saluran video berunsur Islam yang pertama dalam dunia Arab dan semua lagu yang disampaikan berbentuk keagamaan dan nasihat.

"Sebelum ini, kita gagal menyebarkan mesej ini. Apa yang saya cuba lakukan adalah menggunakan bahasa universal muzik untuk menunjukkan rupa sebenar Islam," kata Abu Heiba semasa ditemuramah baru-ba ru ini.

Saluran baru yang dilancarkan pada Februari lepas dan dapat ditonton di negara-negara Arab adalah satu usaha untuk menarik perhatian anak muda yang mementingkan agama namun pada masa sama, berhadapan dengan pengaruh pop Barat.

Dari segi konsep persembahan mereka mengikut rentak terkini dunia hiburan seperti hip hop serta rock namun lirik yang dinyanyikan cenderung kepada keagamaan seperti mengajak manusia berpakaian menutup aurat dan kesukaran dalam menunaikan sembahyang lima waktu, membantu ibu bapa membantu ahli keluarga dalam menyiapkan kerja rumah dan sebagainya.

Terdapat antara mereka yang berpakaian ranggi seperti seorang artis dan ada antara mereka yang berpakaian tradisi masyarakat arab.

"Saya mengakui Allah sebagai Tu han, agamaNya sebagai anutanku, dan Pesuruh-Nya sebagai ikutanku," demikian antara lirik nyanyian yang didendangkan oleh salah seorang peserta.

Bagaimanapun hakikat kehidupan kebanyakan penduduk masih dibayangi kelompok majoriti yang berpegang teguh kepada ajaran Islam konservatif dan golongan wanita masih lagi dilarang mengambil bahagian dan penonton wanita dipisahkan dengan lelaki.

"Saya cuba untuk memasukkan wanita dalam program sebegini namun saya percaya masyarakat kita masih belum bersedia untuk ini.

"Perkara ini merupakan sesuatu yang sangat serius namun perkara ini tidak mustahil untuk berlaku. Ia akan mengambil masa dan fasa tertentu dan ia akan mengambil masa yang sangat panjang," kata Abu Heiba. - Hafizahril hamid

0 comments: