Hapuskan ekstremis kaum

Hapuskan ekstremis kaum


JANGAN biarkan kelompok ekstremis kaum seperti Hindraf bertapak di negara ini.


NEGARA ini mencapai kemerdekaan dan kemakmuran sejak 52 tahun lalu, hasil daripada perpaduan serta hubungan erat pelbagai kaum. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, rakyat Malaysia memahami sebarang perkara berkaitan perkauman tidak harus dibangkitkan kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dan huru-hara.

Sejak itu rakyat Malaysia hidup dalam suasana aman dan damai, mereka menyatakan pendirian politik melalui proses demokrasi iaitu pilihan raya manakala bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) segala hasrat dan tuntutan mereka dilakukan secara perundingan dengan kerajaan.

Tetapi malangnya, kebebasan bersuara yang diberikan oleh kerajaan telah memungkinkan sekelompok manusia menyalah gunakan hak tersebut. Mereka turun ke jalanan sebanyak dua kali iaitu pada 15 November 2007 dan 25 November 2007 bagi menuntut hak perkauman dari sudut sempit. Itulah kebiadapan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) atau dalam bahasa Tamil Hindu Urimaigal Poratta Kulu.

Walaupun beberapa pemimpin utamanya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun kebiadapan kumpulan yang diharamkan itu tetap berterusan apabila mereka menyerbu Rumah Terbuka Aidil Fitri Perdana Menteri pada 1 Oktober 2008.

Melalui tindak-tanduk dan tuntutan mereka, jelas Hindraf dilahirkan daripada semangat perkauman sempit dan mereka adalah kelompok ekstremis kaum yang seharusnya tidak dibenarkan wujud di muka bumi Malaysia ini. Langkah kerajaan mewartakan Hindraf sebagai pertubuhan haram ternyata masih belum mampu memberikan keinsafan kepada pemimpin dan penyokong kumpulan berkenaan. Malah mereka terus melakukan tindakan seolah-olah ia adalah kumpulan yang tidak boleh disentuh. Ini terbukti apabila beberapa pemimpinnya yang dibebaskan daripada ISA terutama P. Uthayakumar dengan lantang memberitahu akan mengadakan demonstrasi haram pada pertengahan Jun nanti. Ertinya, mereka cuba mengulangi peristiwa hitam 25 November 2007.

Lebih memualkan, seorang lagi pemimpin pertubuhan haram itu, M.Manoharan baru-baru ini membuat tuntutan tidak masuk akal iaitu mahukan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum yang dilahirkan selepas 31 Ogos 1957 diiktiraf sebagai Bumiputera.

Tidakkah dua langkah terbaru Hindraf itu bertujuan menggugat keamanan dan menyinggung perasaan kaum lain?

Apakah tindak-tanduk seumpama ini hanya sekadar diberi amaran? Kalau pun kerajaan hendak berlembut atau ada pihak kononnya ingin berbaik dengan mereka, adakah kelompok berkenaan memahami erti perundingan dan tolak ansur?

Sejak awal kewujudannya lagi Hindraf menabur fitnah yang cukup besar bukan sahaja kepada kerajaan malah orang Melayu. Dalam memorandum kepada kerajaan British, mereka membuat beberapa dakwaan yang tidak masuk akal antaranya;

* Berlaku pembunuhan beramai-ramai ke atas kaum India.

* Sebanyak 10,000 kuil Hindu dirobohkan sejak merdeka.

* Kaum India menjadi mangsa diskriminasi kaum, agama, ekonomi dan sosial.

Tidak cukup dengan itu, Uthayakumar secara terus terang menyatakan musuh utama Hindraf bukannya orang Melayu tetapi UMNO. Kenyataan itu sekali gus boleh memicu kemarahan orang Melayu kerana UMNO adalah parti orang Melayu yang memerdekakan negara ini dengan kesepakatan bersama-sama kaum Cina dan India. Hakikatnya, segala tuduhan yang dilemparkan oleh Hindraf adalah fitnah, palsu dan penuh dengan pembohongan. Sejak merdeka lagi, kaum India tidak pernah ditindas oleh kerajaan yang sudah tentu Perdana Menterinya seorang Melayu.

Diskriminasi

Kalau amalan diskriminasi hendak dilakukan sudah lama ia boleh dibuat oleh kerajaan dan mungkin kalau ia benar-benar berlaku, kaum India di negara ini akan senasib dengan sesetengah kaum minoriti di sesetengah negara yang terpaksa menjadi pelarian. Tetapi semua itu tidak berlaku, kerajaan Malaysia di bawah teraju Barisan Nasional (BN) telah memastikan semua kaum mendapat faedah daripada kemakmuran negara, tiada kaum yang dipinggirkan termasuklah kaum India. Malah kaum India di negara ini bebas menubuhkan parti politik dan menikmati faedah daripada kemajuan sosial, ekonomi dan pendidikan negara. Masyarakat itu juga mempunyai sekolah jenis kebangsaan sendiri.

Kalau Hindraf hendak menuduh UMNO mengamalkan diskriminasi, bukankah melalui kerjasama dalam BN, UMNO (parti orang Melayu) membenarkan MIC yang mewakili kaum India bertanding di sesetengah kawasan yang majoriti pengundi Melayu? Justeru, dakwaan-dakwaan yang dilakukan Hindraf hanya akibat daripada sikap ekstrem puak berkenaan.

Dalam soal ini ketegasan kerajaan amat diperlukan, di negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia tidak boleh wujud walaupun sekelumit pun kelompok yang memperjuangkan kaumnya dari sudut sempit dan ekstrem. Jika ini dibiarkan sudah pasti, ia akan mencetuskan huru-hara dan boleh mengakibatkan ketegangan kaum berlaku.

Hindraf ibarat virus yang cukup berbahaya kepada perpaduan kaum. Kelompok berkenaan perlu dihapuskan sama sekali dari bumi Malaysia. Langkah itu bukanlah bermakna kerajaan menyekat suara kaum India, tetapi sebaliknya kaum berkenaan perlu menggunakan saluran yang lebih tertib untuk mengemukakan pandangan atau keluhan mereka, berbanding turun ke jalanan mengadakan demonstrasi.

Selama ini pun, suara kaum India tidak pernah dipinggirkan, mereka menyampaikan masalah mereka melalui parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan, malah mereka bebas mengamalkan adat resam, budaya dan agama yang mereka anuti. Oleh itu, Malaysia tidak memerlukan kelompok ekstremis seperti Hindraf kerana ia tidak akan mendatangkan sedikit pun faedah kepada negara. Kalau mereka boleh turun ke jalanan melakukan tindakan ganas bagi membuat tuntutan, bagaimana kalau ada puak ekstremis daripada kaum lain juga melakukan tindakan yang sama?

Kesudahannya, segala permasalahan atau suara rakyat pelbagai kaum di negara ini bukannya diselesaikan melalui pengundian dalam pilihan raya tetapi pertempuran di jalan raya. Atas sebab itulah sikap ekstrem yang diamalkan oleh Hindraf tidak boleh dibiarkan terus berkembang.

Tindakan setegas-tegasnya perlu diambil terutama ke atas pemimpin pertubuhan haram itu yang masih mahu menunjukkan kedegilan dan keangkuhan mereka melalui tindakan yang bertujuan mencabar undang-undang negara ini. Seharusnya tidak ada erti belas ihsan kepada kelompok ekstremis seperti Hindraf kerana mereka membawa 'penyakit' yang cukup berbahaya kepada perpaduan kaum negara ini. Atas sebab itulah, kita tidak mahu ada mana-mana parti komponen BN cuba mengamalkan sikap lidah bercabang dalam isu Hindraf. Jangan hari ini menyokong tindakan tegas kerajaan tetapi esok melahirkan pula perasaan simpati kepada kumpulan itu dan cuba ingin berdamai, kononnya ingin mengetahui apa masalah mereka. Kalau mereka adalah pemimpin dan parti komponen BN maka mereka perlu menghormati apa yang diputuskan oleh kerajaan bukannya mengamalkan sikap di depan bercakap lain, di belakang cakap lain.

Apa yang kerajaan lakukan ke atas Hindraf selama ini, bukannya untuk menganiaya sesiapa tetapi ia bertujuan bagi memastikan tidak ada kelompok ekstremis kaum wujud di Malaysia. Sejarah dunia sudah membuktikan, tiada mana-mana negara pun yang akan aman jika ada kelompok seumpama itu. Perjuangan kelompok berkenaan tidak akan ke mana sebaliknya ia akan ditolak tetapi apa yang dibimbangkan ialah kerosakan yang akan berlaku sebelum mereka ini dihapuskan.

Kita percaya dan yakin bahawa perjuangan Hindraf hanya disokong oleh sekelompok kecil sahaja kaum India, berjuta-juta lagi kaum India Malaysia menolak pendekatan ekstremis Hindraf. Atas sebab itulah seorang pembaca berketurunan India dalam satu surat kepada Utusan Malaysia menegaskan, Hindraf tidak patut menggunakan nama agama dalam pertubuhan mereka kerana tingkah laku mereka bercanggah dengan ajaran agama Hindu yang mengutamakan kasih sayang dan keamanan.

''Perbuatan Hindraf sejak mereka muncul, langsung tidak disokong oleh majoriti kaum India. Untuk makluman semua rakyat Malaysia, seseorang yang menganut agama Hindu mestilah mengamal dan mempromosikan keamanan dan kasih sayang dalam masyarakat dan negara yang dia berada dan ini tidak dibuat langsung oleh pertubuhan haram itu.

''Bukti kukuh ini dapat dilihat dalam doa orang Hindu di mana mereka mesti melafazkan dalam bahasa Sanskrit iaitu Lokas samastha sukhino bhavantu. Shanti, Shanti, Shanti yang bermaksud "Kita doakan untuk semua orang selamat dan gembira, aman, aman dan aman,'' kata pembaca tersebut dalam surat itu.

Kenyataan berkenaan membuktikan majoriti kaum India sebenarnya rimas dengan apa yang dilakukan oleh Hindraf. Ini kerana mereka memahami bahawa selama mereka hidup di Malaysia sejak lahir, kaum itu tidak pernah ditindas apatah lagi dianiaya oleh kerajaan biarpun mereka adalah kaum minoriti. Tetapi Hindraf cuba merosakkan itu semua melalui pendekatan yang ekstrem dengan melakukan fitnah terhadap kerajaan, bermusuh dengan UMNO dan menganggu ketenteraman awam melalui demonstrasi haram di jalanan. Mungkin mereka merasakan bahawa apa yang dilakukan oleh parti politik yang mewakili kaum India masih belum mencukupi tetapi masalah itu bukanlah diatasi dengan cara yang ganas dan tidak bertamadun. Negara ini mengamalkan demokrasi sesiapa sahaja boleh bertanding dalam pilihan raya hatta sebagai calon bebas sekalipun, oleh itu kenapa Hindraf tidak mahu memperjuangkan kaum mereka dengan cara sedemikian? Hakikatnya, Hindraf sendiri memahami bahawa majoriti kaum India tidak menyokong mereka, yang menyokong mereka adalah kelompok manusia yang mempunyai semangat perkauman yang tebal. Kesimpulannya, sudah pasti ramai rakyat negara ini yang mahukan nama Hindraf tidak lagi menjadi sebutan seolah-olah mereka wira kaum India sedangkan ia pertubuhan haram dan kumpulan ekstrem kaum yang mampu meranapkan tiang seri perpaduan kaum di negara ini.

Betul tu, UMNO sajalah parti yg memerdekakan negara haha

0 comments: