Metamfetamin, sejenis dadah narkotik, boleh memberi kerosakan kekal pada otak. Disebabkan itu, tidak mustahil ia membuatkan penjenayah berasa kebal.
“ABANG, perompak masuk rumah!” mungkin itulah kata-kata terakhir pemilik salon, Wah Yah Mat Zi, 42, yang didengari suaminya, Jafri Tajul Aripin, 47, pada petang Rabu lalu.
Mendengar isteri menjerit di hujung talian telefon sebelum terputus, bapa kepada empat orang anak itu bergegas pulang ke rumah.
Runsingnya memikirkan keselamatan isteri dan anak di rumah.
Namun, kepulangannya cukup menghampakan. Biarpun sempat melihat kelibat perompak berlari keluar, ketibaan pekerja bank itu ke rumah teres satu tingkat di Taman Pinji Seni, Ipoh, Perak itu ternyata sudah terlambat.
Betapa luluhnya hati melihat tubuh si isteri terbujur kaku di ruang tamu. Berlumuran darah dan tidak bernyawa. Di sisinya pula tubuh pembantu rumah dalam keadaan yang sama.
Rasa perit menatap tubuh kecil anak bongsunya yang baru berumur lima tahun dengan kesan tikaman dan tetakan hanya Tuhan yang tahu.
|
|
Siapa dapat menjangka perompak berusia 26 tahun dan bertubuh sederhana itu tergamak membunuh sehingga tiga nyawa sekali gus? Selain Wah Yah, turut terbunuh ialah anak beliau yang berusia lima tahun, Ermin Denish dan pembantu rumah warga Indonesia, Dani Miasih, 21.
Bukan dengan satu tikaman, tetapi beberapa tikaman dan tetakan!
Jafri, memberitahu dia sempat menetak perompak itu menggunakan sebilah parang pada beberapa bahagian tubuhnya.
Peliknya, perompak berkenaan tidak menunjukkan rasa sakit langsung, jauh sekali mengaduh kesakitan. Dia seperti kebal daripada kesakitan.
Suspek yang cuba melarikan sebuah komputer riba itu bagaimanapun berjaya ditahan. Namun, yang pasti, tiada nyawa dapat dikembalikan.
Wah Yah meninggalkan tiga lagi anak iaitu Mohd. Aizat Adreen, 17, Nur Safura, 13, Nur Afini, 10.
Memiliki tiga rekod mencuri sebelum ini, suspek disyaki berada di bawah pengaruh dadah semasa melakukan rompakan yang bertukar menjadi pembunuhan kejam itu.
“Jika benar individu yang membunuh Wah Yah Mat Zi, Ermin Denish, dan Dani Miasih, merupakan seorang penagih dadah, maka tindakan agresifnya yang mengakibatkan kematian itu besar kemungkinan berlaku berikutan kesan gian atau tarikan daripada dadah jenis narkotik (opiat).
“Tetapi untuk 10 tahun terkini, dadah yang lebih hampir ialah metamfetamin atau meth yang lebih dikenali sebagai ice atau syabu dan beberapa nama lain.
“Sejak akhir-akhir ini dadah jenis ini memang banyak mendatangkan masalah kepada penggunanya,” ujar ahli terapi ketagihan dan ahli terapi psikologi Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur, Chris Sekar, 55, sekali gus menjelaskan perlakuan penagih dadah yang semakin hari semakin ganas.
Selain menyumbang kepada tingkah laku agresif, dadah jenis metamfetamin itu juga boleh menyebabkan keresahan, melonjakkan keghairahan seksual, lebih bertenaga, psikosis iaitu halusinasi, teruja, tingkah laku yang obses dan sangat berani sehingga sanggup untuk merompak atau membunuh.
Penagih tiada niat membunuh
Lebih teruk, pengambilan dadah jenis itu boleh menyebabkan kerosakan kekal pada otak.
Malah, kata Chris, ketika melakukan jenayah, minda penagih dadah berada dalam keadaan terdesak, sangat resah, hanya memikirkan satu perkara pada satu masa dan hanya memikirkan duit untuk membeli bekalan dadah yang seterusnya.
“Tetapi saya pasti mereka tidak berniat untuk membunuh langsung. Dalam kebanyakan kes jenayah, penagih tidak mempunyai sasaran khusus untuk menyerang mana-mana mangsa.
“Selalunya, wanita yang memiliki beg tangan atau mereka yang berada di luar bank akan menjadi sasaran mudah,” kata Chris, bekas penagih tegar yang sudah bebas daripada kesan ketagihan sejak 30 tahun yang lalu itu.
Apabila berada dalam keadaan di hujung tanduk dengan penagih dadah, Chris menasihatkan agar mangsa memilih untuk menyelamatkan nyawa daripada menghalang penagih dadah mendapatkan barangan yang mereka ingini.
“Dengan keadaan minda mereka yang sebegitu, langkah terbaik ialah untuk menyerahkan saja harta milik kita,” pesannya yang menambah kos dadah jenis meth ialah antara RM30 hingga RM50 per dos.
Bagaimanapun, Chris menegaskan, bukan semua jenis dadah boleh menyebabkan penagih menjadi ganas mahupun ketagihan.
Perkara pertama yang perlu diketahui ialah jenis dadah yang diambil. Ada dadah yang tidak menyebabkan ketagihan, ada yang tidak menyebabkan penagih menjadi agresif.
Pakar Runding Perubatan Ketagihan, Pusat Rawatan Pakar, Dr. Mahmud Mazlan, pula berkata kesan ketagihan metamfetamin berbeza berbanding heroin.
“Penagih heroin hanya sanggup melakukan jenayah apabila memerlukan wang untuk membeli dadah.
“Jenayah yang dilakukan hanyalah kecil-kecilan,” katanya yang menambah penagih heroin hanya bertindak agresif apabila mengalami tarikan yang teruk. – FATIMI NADIAH ZAINUDEEN
0 comments:
Post a Comment