Mohamad Sabu
Soalan:
Setiap kali menjelang Muktamar Pas, pasti ada isu melanda parti dan kali ini mengenai pertembungan di antara kumpulan pro ulama dan profesional atau kumpulan Erdogan. Adakah memang wujud keadaan ini atau ia diada-adakan?
Bagi saya, isu itu sengaja dicipta oleh pihak tertentu. Kita dalam Pas tidak ada masalah pun sebenarnya.
Kita ada Majlis Syura dan Jawatankuasa Eksekutif untuk bekerjasama menentukan dasar parti dilaksanakan. Macam saya, saya tidak layak berada dalam Majlis Syura kerana bukan bidang saya. Kalau dilantik pun, saya tak mahu kerana memang tidak layak.
Ada yang meramalkan kepemimpinan ulama dalam Pas mungkin terhakis kerana pengaruh profesional semakin berkembang. Bagaimana saudara menilai ramalan berkenaan dan melihat masa depan Pas dalam suasana politik di Malaysia yang kian mencabar?
Dasar Pas tetap dasar Islam dan ia memang terkandung dalam perlembagaan parti. Seperti saya sebut tadi, kita terima kepemimpinan ulama dan kita juga ada Majlis Syura untuk memastikan dasar perjuangan Islam dalam Pas tetap kita laksanakan, tidak ada masalah kalau ada gandingan pemimpin profesional dan ulama.
Kita ada Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis Syura, tetapi mungkin orang tidak begitu nampak peranan Majlis Syura.
Pengaruh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan semakin meluas dalam Pas, benarkah dakwaan itu?
Saya tidak nampak perkara ini (pengaruh Anwar semakin berkembang dalam Pas)... bagi saya, tak ada pun.
Pada pemilihan ini saudara dicalonkan bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas. Apakah sudah ada keputusan untuk menentang penyandang, Nasharuddin Mat Isa?
Tunggulah...saya akan umumkan pendirian dan keputusan rasmi saya nanti.
Apa yang sebenarnya mendorong saudara menawarkan diri merebut jawatan kedua tertinggi dalam parti itu?
Saya menawarkan diri kerana ingin membantu Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kerana saya percaya boleh menyumbang ke arah itu.
Saya akan membantu untuk memastikan Pas terus mendapat sokongan daripada orang Islam dan bukan Islam serta badan bukan kerajaan (NGO). Saya rasa boleh memberi sumbangan untuk membawa NGO dan bukan Islam bersama Pas.
Selama ini, saudara lebih dilihat sebagai orang di barisan hadapan Pas sehingga pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tidakkah saudara berasa seperti menjadi beban kepada Pas?
Kerja macam itu akan saya teruskan kerana saya lihat orang NGO, belia dan bukan Islam memang lebih suka cara macam itu... kena tangkap polis, berlawan dan bercakap mengenai isu yang ada kepentingan umum... mengenai rasuah, keadilan dan juga ISA kerana saya ada pengalaman dalam bidang macam ini. Kalau nak bercakap pasal agama, ia bukan bidang saya... jadi, saya kurang bercakap hal itu.
Saudara mahu teruskan cara saudara berpolitik, tetapi ditakdirkan saudara jadi Timbalan Presiden, kemudian ditahan pihak berkuasa untuk satu tempoh. Tidakkah saudara berasa ia merugikan Pas kerana tidak dapat menggunakan khidmat Timbalan Presiden?
Dalam berpolitik, kita tak boleh berfikir begitu. Kadangkala kita fikirkan A tetapi ia jadi B. Saya akan teruskan cara saya sebab kelebihan saya di situ.
Kita ambil contoh kes mata lebam Anwar Ibrahim. Kes itu menyebabkan berlaku satu kebangkitan di kalangan rakyat. Apa pun, saya akan memberikan sumbangan kepada parti mengikut apa yang saya tahu dan boleh lakukan.
Bagaimana saudara melihat peluang untuk menang jawatan Timbalan Presiden kerana penyandang jawatan itu dan seorang lagi calon juga bukan calang-calang orang?
Tak apalah... saya tak boleh komen mengenai perkara ini, tapi kalau saya bertanding (jawatan Timbalan Presiden), adalah orang akan sokong saya.
0 comments:
Post a Comment