Kaca Mata: 100 hari penuh pancaroba perkuatkan iltizam Zambry

Kaca Mata: 100 hari penuh pancaroba perkuatkan iltizam Zambry

Oleh Hishamuddin Aun
hisamaun@nstp.com.my


AHLI Umno Bahagian Tanjung Malim menjulang Zambry yang kekal sebagai Menteri Besar Perak apabila Mahkamah Rayuan kelmarin, membenarkan rayuannya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Saban hari helah pembangkang terdedah untuk penilaian rakyat Perak

WUJUD semacam pertikaian lebih seminggu lalu terhadap tarikh sebenar genapnya 100 hari Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selaku Menteri Besar Perak.

Tafsirannya haruslah berbeza-beza di antara pihak-pihak yang berlainan kepentingan, tetapi kepada tuan punya badan sendiri, ia tidak pun memberi apa-apa perbezaan.

Kepada Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar � apa saja tafsiran berbeza baik oleh Istana Perak, Dewan Undangan Negeri Perak mahupun mahkamah adalah tidak sah.

Di kalangan penyokong Barisan Nasional (BN) pula, 100 hari buat Dr Zambry jatuh pada Sabtu, 16 Mei lalu andainya tarikhnya mengangkat sumpah pada 6 Februari lalu dikira sebagai hari pertamanya dalam jawatan itu.

Dalam pada itu, ada pula yang beranggapan beliau terlucut jawatan buat sehari apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, 11 Mei lalu.

Keesokannya pula, Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Dr Zambry untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu. Ia bermakna Dr Zambry kekal sebagai Menteri Besar sehingga kes rayuannya diputuskan mahkamah.

"Ia tidak menjadi apa-apa beza kepada saya jika tempoh 100 hari itu genap pada 16 Mei atau 17 Mei," kata Dr Zambry semalam. "Kedua-dua hari itu berlalu tanpa sebarang acara untuk meraikannya."

"Saya tidak memerlukan 100 hari untuk penilaian dibuat ke atas saya. Dari mula lagi, saya mahukan pegawai kerajaan dan rakyat Perak menilai kerja saya dari hari pertama tanpa perlu terikat kepada tempoh khusus," katanya.

Lantaran itu, tiada pulut kuning tersaji untuk dijamu. Tiada juga majlis keraian untuk menandakan cukupnya satu tempoh singkat yang sebaliknya harus dirasakan teramat panjang.

Sebaliknya, pada ingatan Dr Zambry, hujung minggu lalu itu seperti biasa sarat dengan mesyuarat dan program bersama rakyat � berlawanan dengan dakwaan Pakatan Rakyat kononnya segala-galanya terhenti sejak beliau memegang tampuk kuasa.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak turut tidak terhindar daripada soalan berkaitan dengan pencapaiannya sepanjang tempoh berkenaan.

"Pertamanya, saya tidak berasa sudah melalui tempoh 100 hari sebagai Menteri Besar. Terlalu banyak untuk dilakukan dalam tempoh amat singkat hingga saya berasa segala-galanya baru berlaku semalam.

"Keduanya, sudah banyak yang dilakukan kerajaan BN dalam tempoh itu dan saya boleh senaraikannya satu-persatu. Pencapaian terbesar haruslah keupayaan menangani krisis di Perak yang saya sendiri dapati ada kalanya sukar difahami," katanya.

Saban hari, padanya, berlalu tanpa ada sehari pun yang tidak menonjolkan sesuatu yang baru � sama ada ia isu baru yang dibangkitkan pembangkang atau sekadar tuduhan baru yang tujuannya hanyalah untuk terus memporak-perandakan keadaan.

Benarlah jika ada tanggapan tidak ada pernah ada hari yang tidak menonjolkan Perak sebagai fokus berita � tanpa mengira ia atas sebab-sebab yang betul atau bersalahan.

"Inilah yang saya panggil tyranny of the minority � kezaliman pihak minoriti � dengan memaksakan kehendak mereka ke atas rakyat tanpa mereka mahu memikirkan apakah kesannya.

"Mereka enggan menerima hakikat mereka sudah kehilangan majoriti dan dengan membelakangkan prinsip demokrasi, kepentingan rakyat dikemudiankan daripada kepentingan peribadi mereka sendiri," kata Dr Zambry.

Beliau, bagaimanapun, tidak sekali-kali pernah mengizinkan semua halangan itu untuk menjejaskan usaha-usahanya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Perak.

"Saya tidak akan pernah membiarkan diri saya terpesong oleh segala dakyah mereka," katanya. "Saya hanya mahu meneruskan kerja-kerja saya kerana saya berasa amat bertanggungjawab untuk terus berkhidmat."

Saban hari juga, Dr Zambry berasakan dirinya dan apa yang cuba dilakukannya semakin diterima dan difahami rakyat � di sebalik gambaran berlawanan yang mahu terus ditonjolkan oleh musuh politiknya.

Dalam pada itu, ada juga teguran di kalangan rakan dan kenalan bahawa Dr Zambry terlalu banyak tersenyum di waktu krisis. Ada kalanya Menteri Besar diharapkan agar lebih menyerlahkan keseriusan.

Pandangan itu harus membuat beliau tersenyum lebih lebar.

"Saya hanya boleh menjadi diri saya sendiri tanpa terikut-ikut apa yang orang lain nak saya jadi," katanya. "Dah itu sifat sebenar saya, itu juga yang dikehendaki sesetengah orang lain.

"Saya boleh saja menunjukkan sifat saya yang bengis, tapi itu jugalah yang dimahukan pembangkang supaya mereka boleh bercerita saya ni tak mesra rakyat atau sebagai tanda saya risau dan menggelabah."

Terbaru, keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin yang mengesahkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah, harus melenyapkan sebarang pertikaian.

Keputusan sebulat suara tiga hakim mahkamah berkenaan antara lain merumuskan Sultan Perak membuat keputusan betul melantik Dr Zambry sebagai Menteri Besar selepas mendapati Mohammad Nizar kehilangan sokongan majoriti, keputusan sama ada membenarkan atau tidak permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah dalam bidang kuasa Sultan, Mohammad Nizar mesti meletak jawatan apabila permohonannya untuk pembubaran DUN ditolak dan tiada peruntukan khusus atau mandatori dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak untuk diadakan undi sokongan majoriti di DUN Perak.

Bukan pun menghairankan jika Pakatan Rakyat enggan memperakukan keputusan itu � sudah resmi mereka apabila kalah berhujah di mahkamah, pilihan mereka adalah untuk menang berhujah di jalanan.

Sesiapa saja boleh membuat kesimpulan daripada percanggahan tindakan Mohammad Nizar yang pada satu ketika menyatakan akur terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu tetapi pada ketika yang lain akan mengetuai protes berlapar selama tiga hari bermula Selasa ini.

"Mereka sudah menunjukkan belang sebenar," kata Dr Zambry. "Saya cuma ingin bertanya kepada Datuk Seri Mohammad Nizar apakah tindakan itu yang dituntut oleh agama?"

Pertikaiannya kini harus bukan lagi kepada tempoh 100 hari yang sudah dilepasi oleh Dr Zambry, tetapi berbalik kepada Mohammad Nizar yang mengizinkan dirinya untuk terus diperkudakan.

Salahkah Dr Zambry untuk terus tersenyum menanti siapakah pula yang akan dipersalahkan pembangkang selepas ini?

0 comments: