Pai Asmaradi Perdana Quay

Pai Asmaradi Perdana Quay


MENJAMU selera di Perdana Quay memberikan satu pengalaman berbeza kepada pengunjung dengan suasana Itali.


BAGI yang pernah melancong ke Pulau Langkawi, yang dikenali sebagai Permata Kedah, pastinya mengenali Pekan Kuah, Padang Mat Sirat, Underwater World, makam Mahsuri dan mungkin Pantai Chenang.

Namun sebenarnya, pulau yang mempunyai 104 buah pulau dan menerima status geopark dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ini sebenarnya masih banyak lagi menyimpan lokasi kunjungan yang perlu dilawati.

Salah satu yang menarik perhatian ialah Telaga Harbour yang terletak di Pantai Kok. Bagi yang sering ke lokasi kereta kabel menuju ke Gunung Raya, pastinya mereka akan melalui Telaga Harbour.

Terletak 12 kilometer daripada Lapangan Terbang Padang Mat Sirat, Telaga Harbour dibangunkan dengan suasana Mediterranean.

Menariknya, berada di sini pasti akan membuatkan kita terlupa sejenak yang kita masih berada di bumi Malaysia selepas asyik dengan mercu tanda ala Itali.

Bukan apa, dengan keadaan kawasan yang masih menghijau dan kurang pembangunan sekeliling di samping latar depan dengan pelbagai bentuk dan saiz kapal layar sedang berlabuh, pastinya kenangan sesiapa yang pernah ke Mediterranean akan mula mengimbau kembali.

Apa pun secara dasarnya, Telaga Harbour merupakan destinasi pelabuhan untuk kapal-kapal layar persendirian berlabuh dan berehat selepas puas membelah ombak dan lautan di serata dunia.

Lebih menarik, Telaga Harbour merupakan destinasi pilihan bagi Negarawan Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadikannya lokasi kunjungan setiap kali berada di Permata Kedah ini. Mungkin anda bertuah untuk berjumpa dengan bekas Perdana Menteri ke-4 itu.

Malah, kapal layar Tun Mahathir, Apanama, yang sudah didaftarkan bakal menjadikan Telaga Harbour sebagai pangkalan setelah siap kelak.

Tun Mahathir ketika mengetuai negara satu ketika dulu pernah berkata: "Saya melihat penduduk Eropah suka makan dan minum sambil melihat kereta dan orang lain lalu-lalang, mungkin kita di Malaysia patut buat begitu."

Dan pastinya, hari ini, impian itu sudah menjadi kenyataan dengan hasilnya dapat kita lihat di Telaga Harbour.

Namun umum kurang mengetahui bahawa Telaga Harbour bukan hanya sekadar pelabuhan kapal-kapal layar persendirian semata-mata. Ia sebenarnya boleh dikunjungi oleh sesiapa hanya untuk bersantai dan juga menjamu selera.

Lebih-lebih lagi di Perdana Quay (disebut perdana ki) - salah satu antara dua hartanah Telaga Harbour - terdapat jaringan restoran, kafe dan juga bistro bagi menjamu selera.

Restoran dan bistro itu bukan sekadar restoran biasa namun menghidangkan pelbagai menu makanan daripada selera Malaysia, Asia, Itali, Perancis, China, Thailand, Rusia dan juga kafe-kafe santai bagi mereka yang hanya mahu duduk sambil menghirup kopi dalam kedinginan malam sambil memerhatikan laut terbentang luas.

Selain Perdana Quay, satu lagi hartanah yang terdapat di Telaga Harbour dikenali sebagai Petronas Quay.

Selain restoran, bistro dan kafe, Perdana Quay yang merupakan lokasi utama di Telaga Harbour turut menjadi pilihan pejabat pelbagai syarikat korporat.

Selain itu, Perdana Quay yang dimiliki dan diurus oleh Tradewinds Corporation Berhad bakal melihat satu hotel butik dengan 122 bilik dibuka tahun depan.

Berbalik ke Perdana Quay, bagi mereka yang pernah ke sini, di sinilah terletaknya The Loaf, bakeri yang dimiliki Tun Dr. Mahathir berkonsepkan teknik tradisional Jepun.

Di sini, mereka pasti akan dapat merasai hasil tradisi roti dan pastri Jepun Chef Utama, Yukichi Matsubara. Malah, duduk dan bersantai di The Loaf sahaja sudah memberikan anda kedamaian sambil relaks dan menenangkan diri.

Mungkin umum melihat The Loaf hanya satu lagi bakeri biasa yang menghidangkan pelbagai menu kek, roti, pastri dan juga biskut, namun The Loaf ada tarikannya.

Antara yang menjadi tarikan di The Loaf ialah Pai Asmara yang dihasilkan oleh Chef Matsubara dan pasukannya.

Pai Asmara yang dihasilkan menggunakan ekstrak tongkat ali pastinya akan membangkitkan berahi dan selera mereka yang mencubanya buat pertama kali.

Waktu malam, Perdana Quay antara lokasi yang meriah dikunjungi oleh pelancong terutama pelancong asing. Namun tiada hiruk pikuk serta bunyi muzik kuat. Hanya alunan muzik perlahan pelbagai lagu merdu menjadi halwa telinga bagi pengunjung.

Malah berada di situ sambil menjamu selera degan rakan-rakan pastinya memberikan anda kesenangan untuk berbicara tanpa gangguan sehinggakan deruan alunan ombak perlahan yang memecah ke tebing Perdana Quay masih dapat didengari.

Bukan hanya itu, sesekali, pengunjung akan didendangkan dengan kumpulan pemuzik jalanan yang akan bergerak dari satu ke satu meja mengalunkan apa jua bentuk lagu yang dipinta. Tidak dilupa, pertunjukan teater dan juga kebudayaan selain live band pasti mengisi malam pengunjung ketika berada di situ.

Bagi yang berkesempatan di Perdana Quay, anda pasti akan terserempak dengan pelayar solo negara, Datuk Azhar Mansor yang kini menguruskan fasiliti bot dan pelayaran di situ.

"Pejabat saya di sini, laut, bot, jeti, semuanya di sini. Saya tidak biasa berkerja 9-5 di dalam bilik berhawa dingin, pejabat saya sehingga pukul 12 tengah malam dan sesiapa sahaja boleh datang dan berborak," kata Azhar ketika diajukan mengenai dirinya kini.

Maklumat lanjut mengenai Perdana Quay dan Telaga Harbour lawat laman web Telaga Harbour Park di www.telagaharbour.com atau hubungi 04-9591826, 03-91063000.

0 comments: