Menunggu Laksamana Do Re Mi
FILEM Laksamana Do Re Mi terbitan Studio Merdeka tahun 1960-an antara filem terburuk yang pernah dihasilkan oleh P. Ramlee. Kalau dibandingkan dengan filem-filem arahannya di Singapura, Laksamana Do Re Mi seolah-olah protes P. Ramlee terhadap Studio Merdeka.
Beberapa kenalan P. Ramlee bercerita bahawa kedatangannya ke Studio Merdeka adalah penamat era gemilangnya di Singapura. Penggambaran filem Studio Merdeka tidak boleh dibuat jauh dari tapak studio di Hulu Kelang berhampiran Zoo Negara. Jarak yang dibenarkan ialah boleh dilihat dari studio, lebih daripada itu tidak dibenarkan.
Tetapi di sebalik protes P. Ramlee, filem ini menjadi sebuah satira politik yang menarik. Ini berbeza dengan banyak filem P. Ramlee yang sangat tebal dengan isu-isu sosial. Latar zaman filem ini tidak begitu jelas dan P. Ramlee barangkali sengaja untuk tidak menjadikan ini sebuah filem purba dan juga sebuah filem semasa.
Tiga anak muda yang memiliki keajaiban masing-masing telah menyelesaikan krisis politik di Negeri Pasir Sebutir apabila rajanya terpaksa bersemayam di bawah sepohon pokok selepas negeri dirampas penjahat. Banyak orang ketawa kerana lucu melihat pelakon Idris Hashim yang berlakon sebagai raja terus "memerintah" dari bawah pokok yang rontok.
Selepas dirampas, Negeri Pasir Sebutir mempunyai dua pemerintah, seorang raja dan seorang penjahat lakonan Hussein Abu Hassan. Tidak semua filem yang dibuat sebagai komedi hanya untuk kita ketawa semata-mata. Ada yang membuatkan kita rasa terpukul dan tidak mampu untuk terus ketawa kepada kebebalan kita sendiri.
Laksamana Do Re Mi sebuah filem buruk. Tetapi dalam buruk ada isi yang boleh dilihat berbanding sesetengah filem sekarang apabila buruk yang tidak boleh dimanfaatkan langsung.
Kalau kita sebagai rakyat Negeri Pasir Sebutir, amat gelisahlah untuk hidup kerana tidak tahu siapa sebenarnya yang berkuasa. Antara yang merampas negeri dan pemerintah yang sah di Negeri Pasir Sebutir kelihatan sama pengaruhnya. Rajanya masih boleh memerintah walaupun di bawah sepohon rontok di tengah padang pasir sebuah bekas lombong. Perampas juga sukar ditumpaskan kerana licik dan banyak pula kuasa ajaibnya.
Negeri Pasir Sebutir bernasib baik kerana didatangi oleh Do, Re dan Mi. Dengan keajaiban memiliki teropong ajaib dan tikar terbang, mereka bertiga berjaya menewaskan penjahat yang merampas Negeri Pasir Sebutir.
P. Ramlee memperlihatkan yang sudah punya kuasa dan yang baru dapat kuasa memiliki daya kehalobaan yang sama. Raja Negeri Pasir Sebutir tidak mahu mengalah bukan kerana sayangkan rakyat tetapi sayangkan kedudukannya. Perampas pula kalau terlalu baik hati untuk bertolak ansur, kuasa yang diidamkan akan terlepas dari tangan.
Sebenarnya Do, Re dan Mi yang digelar laksamana ini bukanlah terlalu hebat tetapi mereka cekap berhelah. Mereka hanya sedikit pintar daripada pengikut raja dan penjahat yang taksub. Ketaksuban dengan sendirinya menutup kewarasan kita tentang sesuatu perkara.
Demikianlah secebis kisah sebuah karya buruk pada kulitnya tetapi ada isi yang berguna. Kulitnya buruk kerana pemodalnya bakhil dan memikirkan keuntungan duit semata-mata. Isinya menjadi baik kerana dikerjakan oleh seorang pemikir yang tidak bercita-cita menjadi jutawan. Adakah kita juga menunggu keajaiban Do, Re dan Mi menyelesaikan kekusutan?
0 comments:
Post a Comment