Revolusi mental institusi pendidikan

Revolusi mental institusi pendidikan

BUKU setebal 198 muka surat ini memberi satu lagi alternatif kepada para pendidik untuk menyelami dan bermuhasabah diri. Ia memberi petua-petua berguna untuk para guru terus mencintai profesion mereka selain mengatasi kebosanan dan permasalahan kerja.

Reformasi Minda Guru ini terbahagi kepada 16 bab yang membicarakan pelbagai isu berkaitan profesion perguruan dan kaitannya dengan masyarakat.

Penulis yang berpengalaman sebagai guru sebelum menjadi pegawai kurikulum, penceramah motivasi pelajar dan guru, mengupas fenomena semasa yang menjadi hambatan kepada profesion perguruan menerusi buku menarik ini.

Seiring perkembangan masa, cabaran yang dihadapi oleh para guru juga semakin meningkat.

Mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai desakan untuk memantapkan kerjaya.

Penulis membicarakan persoalan mengenai kriteria yang diperlukan untuk membolehkan seseorang itu menjadi pendidik pada bab awal buku ini. Beliau menggariskan sembilan perkara yang perlu ada untuk seseorang itu boleh bergelar guru yang komited dan disegani – bukan sekadar makan gaji semata-mata.

Menurut beliau, tanpa kriteria tersebut, seseorang guru tidak akan berjaya menghasilkan ‘produk’ yang mampu membantu menjana pembangunan dan kemajuan negara.

Penulis turut membicarakan soal revolusi mental yang dianggapnya sebagai satu keperluan utama dalam soal pembangunan insan.

Beliau bertegas bahawa sebagai tonggak kepada penjanaan ilmu di kalangan rakyat khususnya generasi muda, institusi pendidikan perlu menilai semula prestasi semasa. Penilaian itu pula perlu diiringi dengan rasa tanggungjawab yang penuh ikhlas bagi memperbetulkan kesilapan – sekiranya ada – dengan komitmen yang lebih jitu.

Menurut penulis, menilai kepada mentaliti sebahagian besar rakyat maka amat wajar untuk dilakukan revolusi mental dalam institusi pendidikan.

Terlalu banyak perkara berhubung mentaliti dan nilai kewibawaan di kalangan golongan pendidik yang perlu dikenal pasti dan diperbetulkan.

Perubahan tersebut merupakan satu keperluan dan ia mesti dilakukan dengan penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab.

Penulis menggariskan beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh golongan pendidik untuk melakukan reformasi diri dan minda. Bagaimanapun katanya, ia perlu dilakukan dengan kesedaran dan keinsafan bahawa perubahan tersebut perlu demi diri, anak-anak didik, masyarakat, bangsa dan negara serta agama.

Elemen utama untuk reformasi ialah harga diri. Para pendidik perlu yakin bahawa sumbangan dalam dunia pendidikan berkait rapat dengan harga diri. Tanpa nilai itu, kesedaran dan keinsafan tidak akan timbul. Mereka perlu sedara bahawa mereka mesti sentiasa positif dan proaktif.

Harga diri juga berkait rapat dengan rasa tanggungjawab. Ia akan menjana kemampuan seseorang guru untuk menjadi pendidik, rakan dan orang yang dihormati oleh anak-anak didik serta masyarakat.

Dan bertepatan dengan usaha untuk melakukan reformasi diri, minda dan institusi pendidikan, maka setiap pendidik juga perlu mengetahui hala tuju mereka. Tanpa matlamat, kecemerlangan tidak akan menjengah sesiapa pun, katanya.

Sebagai pakar motivasi di kalangan pendidik, Zulfadzli turut menggariskan bahawa setiap pendidik perlu mempunyai jati diri, sentiasa tulus dan ikhlas selain menampilkan integriti yang tinggi.

Sewaktu pelbagai permasalahan membelenggu para pelajar ketika ini, jati diri dan integriti pendidik akan membantu melenyapkan persepsi buruk di kalangan masyarakat.

Beliau menutup buku ini dengan pesanan agar para pendidik menghayati pepatah lama: “Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.” Baginya kepimpinan mesti melalui teladan. Tidak afdal sekiranya guru mengajar murid menjadi insan terbaik tetapi hakikatnya beliau sendiri tidak melaksanakan tuntutan ke arah itu.

Ketika institusi sekolah menjadi perhatian kerana pelbagai kerenah yang dicetuskan oleh segelintir pelajar nakal, integriti guru akan menyelamatkan maruah dan harga diri golongan bergelar pendidik ini.

Sempena Hari Guru, amat wajar untuk semua pihak menghargai golongan pendidik dan pada masa sama, golongan yang berjasa itu juga perlu meningkatkan kemampuan diri dan melakukan reformasi minda ke arah kecemerlangan.

Judul: Reformasi Minda Guru

Penulis: Zulfadzli Haron

Penerbit: Zulfadzli Haron

ISBN: 978-983-43417-0-1

Harga: RM30

Pengulas: WAN NORAZAH WAN CHIK

0 comments: