Kawal ketat H1N1 demi keselamatan, kesihatan rakyat

Kawal ketat H1N1 demi keselamatan, kesihatan rakyat

JANGKAAN bahawa Malaysia mungkin tidak terkena wabak Influenza A (H1N1) ternyata meleset. Wabak maut yang mula-mula dikesan di Mexico pada April lalu, kini merebak ke seluruh dunia.

Bagaikan diterbangkan dari benua Amerika Utara, virus H1N1 menyilap dengan senyap di dalam tubuh dua pelajar kita yang menuntut di Amerika Syarikat.

Kepulangan empat sekawan pelajar dan hanya dua yang disahkan menghidap H1N1 menunjukkan petanda virus ini 'bijak' dan sukar dikesan dengan teknik 'pemeriksaan biasa.'

Kita dapat bayangkan betapa rumitnya untuk mengesan penumpang-penumpang pesawat MAS dan AirAsia yang dinaiki oleh dua pelajar terbabit.

Alangkah malangnya jika penumpang yang menyentuh atau mendekati dua pelajar itu turut dijangkiti virus itu.

Kita patut berasa bimbang, jika mangsa virus itu di negara ini kian bertambah, di samping itu kawalan di pintu masuk ke negara ini pula masih longgar.

Sebab itu semua pihak yang berkenaan perlu mengambil serius arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya pemeriksaan ketat dilakukan terhadap penumpang di pintu masuk negara, terutamanya penerbangan dari Amerika Syarikat dan negara lain yang dilanda wabak H1N1.

Langkah ini bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak terbabit terutama pelancong tetapi ia adalah untuk keselamatan negara dan kesihatan diri mereka sendiri.

Demi keselamatan Malaysia, kita perlu mengambil tindakan yang sangat rapi supaya tiada seorang pun terlepas lagi daripada dikesan sebagai pembawa penyakit itu. Adalah penting untuk memastikan virus H1N1 tidak menular dalam negara ini.

Kawalan mencegah dan mengesan virus ini memang wajar dipertingkatkan dengan kerjasama rapat Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Kementerian Kesihatan untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman di lapangan-lapangan terbang utama negara.

Sehubungan itu, rakyat negara ini tidak perlu risau sebalik yakin dengan keupayaan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan dalam mengawal wabak ini daripada terus merebak di negara ini.

Pihak kementerian cukup berpengalaman dalam menghadapi situasi genting seperti itu. Pengalaman menangani isu Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan selesema burung (H5N1) dan Japanese encephalitis (JE) sebelum ini menunjukkan langkah pantas kementerian berkenaan telah menjamin ia tidak menular secara meluas kepada orang ramai.

Langkah Kementerian Kesihatan mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia agar menangguh atau tidak melakukan lawatan antarabangsa keluar negara, terutamanya ke negara yang sedang dilanda wabak H1N1.

Mereka yang baru pulang dari luar negara terutama dari negara yang dikesan mempunyai kes Influenza A ini diminta mendapat rawatan segera dari klinik yang berdekatan.

Sesungguhnya rakyat Malaysia perlu memandang serius perkara ini. Pun begitu, kawalan wabak penyakit berjangkit ini hanya berkesan jika mendapat kerjasama daripada masyarakat juga.

0 comments: