Menilai Uthayakumar
Awang tidak terkejut dengan reaksi pemimpin pertubuhan haram Hindraf, P. Uthayakumar selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), baru-baru ini.
Menurut Uthayakumar, beliau tidak akan berterima kasih kepada kerajaan kerana bertindak membebaskannya (lebih awal daripada tempoh sepatutnya iaitu dua tahun). Beliau mendakwa tidak melakukan apa-apa kesalahan dan penahanannya itu dibuat tidak mengikut undang-undang.
Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein bahawa kerajaan tidak mengharapkan penghargaan dan ucapan terima kasih daripada tahanan ISA yang dibebaskan, ramai juga tidak terfikir orang seperti Uthayakumar akan berbuat demikian.
Beliau juga sengaja membiarkan rambut dan janggutnya panjang sebagai protes terhadap ISA. Awang hanya senyum. Biarlah apa sahaja reaksi dan protes yang mahu ditunjukkan, rakyat boleh menilai dengan baik.
Tetapi Awang juga ada reaksi tersendiri. Pertama, Awang sedikitpun tidak teruja dengan pembebasannya. Kedua, Awang percaya ramai yang tidak akan lupa mudarat yang telah Hindraf lakukan. Beberapa siri perhimpunan haram yang mereka anjurkan ternyata ganas termasuk memukul anggota polis yang menjalankan tugas. Peniaga terpaksa menutup kedai, pemandu teksi ketakutan dan aktiviti pelancongan di ibu negara terjejas teruk.
Lebih daripada itu, kempen dan fitnah yang dilemparkan termasuk di luar negara, adalah keterlaluan. Siapa yang menuduh kerajaan melakukan penghapusan etnik dan bermacam lagi yang tidak boleh diterima dek akal? Siapa sebenarnya yang mengamalkan semangat perkauman melampau kalau bukan Hindraf, nyaris mencetuskan tindak balas orang Melayu (yang dikhuatiri mencetuskan ketegangan kaum), seandainya kerajaan tidak bertindak cepat menahan mereka di bawah ISA.
Malah ada fakta yang dijaja ke serata dunia oleh Hindraf kononnya kaum India paling miskin di negara ini juga didapati tidak benar. Berdasarkan kajian UNDP, yang paling miskin dan bilangan miskin teramai, adalah daripada kalangan orang Melayu. Sepatutnya orang Melayu yang banyak beralah dan kompromi kepada kaum lain, lebih berhak untuk merusuh. Bayangkan sampai hari ini setelah lebih 50 tahun merdeka, Melayu adalah kaum majoriti tetapi ada kaum minoriti yang menguasai kekayaan negara. Orang Melayu jugalah yang paling ramai ditahan ISA sejak dulu lagi tetapi tidakpun dijadikan isu perkauman.
Maka dalam isu Hindraf ini, selagi para pemimpinnya tidak meminta maaf terhadap apa yang telah dilakukan, jangan harap Awang dan ramai lagi rakyat Malaysia akan mengubah pendirian dan persepsi terhadap pertubuhan haram itu. Haram tetap haram.
Anehnya MIC, parti komponen BN menawarkan diri untuk bekerjasama dengan Hindraf, yang boleh mengundang pelbagai tafsiran.
Apa pun, semoga Hindraf mendapat pengajaran bernilai daripada tindakan pihak berkuasa. Janganlah lagi mengambil mudah dan menyalahgunakan demokrasi untuk kepentingan sendiri. Bumi Malaysia ini bertuah untuk semua kaum termasuk golongan minoriti. Tetapi jika merasakan sebaliknya, sesiapa sahaja bebas untuk berhijrah ke negara lain yang difikirkan lebih baik. Tepuk dada, tanya selera.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
0 comments:
Post a Comment