Motif lain pembunuhan Nasrudin

Motif lain pembunuhan Nasrudin

PEMBUNUHAN Pengarah PT Putra Rajawali Banjaran, Nasrudin Zulkarnaian terus mendapat liputan meluas media di Indonesia apatah lagi ia disyaki didalangi Ketua Pengarah Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK), Antasari Azhar.

Penangkapan Antasari bukan sahaja menjejaskan nama baik KPK, tetapi juga Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang memilihnya menerajui agensi tersebut. Lantaran itu Antasari telah digantung tugasnya oleh Yudhoyono.

Selepas motif cinta tiga segi, kini timbul pula kemungkinan mangsa dibunuh kerana cuba membongkar kes rasuah di dalam syarikatnya milik kerajaan itu.

Sebaik Antasari ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan pada 14 Mac itu, dia terus dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan isteri ketiga Nasrudin yang juga kedi Kelab Golf Modernland di Tangerang, Jakarta iaitu Rani Juliani.

Turut ditangkap ialah bekas Ketua Polis Jakarta Selatan, Williardi Wizar dan pemilik akhbar Indonesia Merdeka, Sigid Haryo Wibisono.

Sehari sebelum ditangkap Antasari ada membuat kenyataan bahawa Nasrudin merupakan pemberi maklumat KPK dan dia dilindungi oleh agensi itu.

Ini adalah kerana Nasrudin sering memberi maklumat kepada Antasari tentang perbuatan korupsi di PT Rajawali Nusantara Indonesia (RNI) yang terlibat dalam pengeluaran gula, iaitu syarikat induk PT Putra Rajawali Banjaran.

menjawat

Kerjasama Antasari dan Nasrudin itu dikatakan bermula pada Disember 2007 iaitu sejurus Antasari menjawat Ketua Pengarah KPK, Nasrudin terus meminta membantunya untuk memper-olehi jawatan Pengarah Sumber Manusia PT Rajawali.

Nasrudin dikatakan memang telah hampir menduduki jawatan itu, bagaimanapun perubahan angin politik pada 2007 menyebabkan impiannya terkandas apabila pengumuman dibuat oleh Yudhoyono mendapati nama Nasrudin tidak termasuk.

Berikutan itu Nasrudin meminta Antasari melobi namanya, tetapi ditolak oleh Antasari. Setelah itu Nasrudin meminta Antasari menyiasat perbuatan pecah amanah yang berlaku di dalam syarikat terbabit dan sejak itu iaitu sepanjang 2008 mereka sering bertemu bertukar-tukar maklumat.

Nasrudin berharap apabila pihak atasannya dikenakan tindakan oleh KPK ia akan membuka peluang kepadanya untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun setelah tiada tindakan oleh KPK terhadap syarikat terbabit, Nasrudin mulai mendesak Antasari.

Setelah menemui Antasari berdua-duaan dengan Rani di bilik sebuah hotel pada Mei 2008, Nasrudin terus mengugut Antasari bahawa dia akan mendedahkan perkara itu jika permintaannya tidak dipenuhi.

Akhirnya tidak tahan dengan ugutan dan desakan Nasrudin, Antasari menceritakan masalah itu kepada Sigid dan Williardi pada Januari 2009.

Peguam Sigid, Deni Pamungkas berkata, Antasari dalam pertemuan itu mengatakan Nasrudin adalah musuh negara.

Berikutan itu Williardi merencanakan pembunuhan Nasrudin dan ketika selesai bermain golf di Padang Golf Modernland pada 14 Mac lalu, dua lelaki menaiki sebuah motosikal menghampiri kereta mangsa dan salah seorang daripada mereka melepaskan dua das tembakan ke arah Nasrudin yang duduk di kiri tempat duduk belakang.

Nasrudin meninggal dunia keesokan harinya setelah dua butir peluru bersarang di kepalanya

0 comments: