Jagalah hati Melayu

Jagalah hati Melayu

UMNO, parti utama dalam komponen Barisan Nasional (BN) menyambut ulang tahun ke-63 pada 11 Mei lalu. Sambutan kali ini walaupun diadakan serba sederhana, mempunyai keistimewaan tersendiri. Parti itu baru sahaja menyaksikan peralihan kepimpinan di bawah Presiden, Mohd. Najib Tun Razak dan penampilan barisan baru ahli Majlis Tertinggi (MT).

Pada saf tersebut, terpikul cabaran besar dan getir pasca Pilihan Raya Umum ke-12 yang mengubah dengan ketara landskap politik tanah air. Malah pada tarikh ulang tahun UMNO itu, parti tersebut dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kemelut jawatan Menteri Besar Perak, yang tidak memihak kepada BN.

Berita mengenai keputusan kes itu mencuri perhatian rakyat dan turut menjadi bualan hangat ahli-ahli serta para penyokong UMNO. Keresahan berikutan kes berkenaan reda apabila para pemimpin UMNO berhimpun sempena sambutan tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra, di ibu negara pada malam itu. Turut hadir Dr. Mahathir Mohamad, mantan Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Najib telah memberikan reaksi yang cukup tenang. Katanya, UMNO pernah lalui ujian lebih getir ketika parti itu diharamkan dan akhirnya mampu bangkit. Bahkan beliau menampakkan keyakinan untuk menangani kemelut di Perak. Tiada pun riak kegusaran di wajahnya. Sebenarnya keyakinanlah yang amat diperlukan oleh UMNO bagi mengembalikan kekuatannya. Untuk menguruskan sebuah parti yang besar, telah lama berkuasa dan berjaya seperti UMNO, bukan sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi parti itu berdepan dengan asakan paling kuat dari pelbagai penjuru, kesan keputusan pilihan raya umum lalu (PRU-12) yang membawa tamparan besar kepada BN dan UMNO.

Pakatan pembangkang sudah membayangkan peluang lebih cerah untuk menumbangkan BN pada pilihan raya akan datang. Dengan kata lain, UMNO di ambang kematian dan kerajaan BN yang ada sekarang merupakan yang terakhir. Benarkah? Berdasarkan banyak petunjuk terbaru Awang yakin apa yang diramalkan oleh pembangkang tidak akan berlaku. Pembaharuan yang digerakkan oleh Najib mula menampakkan kesan positif. Perkembangan terkini politik tanah air juga tidak banyak memihak kepada pembangkang.

Pada masa yang sama, UMNO masih menjadi sandaran utama orang Melayu yang boleh dibuktikan menerusi undi yang terus meningkat dalam beberapa pilihan raya kecil selepas PRU-12 (sedangkan majoriti pengundi Cina misalnya, masih menyokong pembangkang). Jangan lupa pada pilihan raya umum itu juga UMNO memperoleh 79 kerusi - parti tunggal yang mempunyai kerusi terbanyak. Prestasi BN merudum tetapi tidak bagi UMNO. Parti pesaing bagi UMNO iaitu Pas hanya mempunyai 22 kerusi dan PKR 31 kerusi.

Ia juga memberi mesej yang jelas bahawa UMNO perlu meneruskan agenda menjaga kepentingan Melayu. Janganlah kerana ghairah mahu menarik sokongan bukan Melayu, UMNO mengabaikan pula asas kekuatannya. Ketika DAP, MCA, MIC misalnya makin lantang memperjuangkan kepentingan kaum mereka tanpa sedikitpun rasa kekok, tiada sebab untuk UMNO teragak-agak dan terlalu mahu menjaga hati kaum lain. UMNO perlu bijak menyulam peranannya sebagai pemimpin BN untuk semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu. Jasa UMNO terlalu besar kepada orang Melayu, begitu juga kepada kaum lain walaupun hakikat ini cuba dinafikan. UMNOlah yang mempertahankan bukan Melayu sejak awal kemerdekaan daripada aliran politik ekstremisme. Ketika Pas menjauhi parti dan kaum bukan Melayu serta menganggap mereka kafir selama beberapa dekad lamanya, UMNO menghulur tangan permuafakatan. Menerusi dasar dan naungan UMNO, kaum minoriti bukan sahaja terjamin hak malah mampu menguasai ekonomi negara. Sesungguhnya UMNO tidak pernah mengkhianati bukan Melayu. Apa yang mula berlaku adalah sebaliknya. Jadi, jagalah hati Melayu terlebih dahulu.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

0 comments: