Haron gandingan Hadi?

Haron gandingan Hadi?


Kehadiran Haron Din mampu memantapkan lagi kepimpinan Pas yang diterajui oleh Abdul Hadi.


KEJAYAAN Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Pas dalam pemilihan parti bulan depan bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ini kerana sejak awal lagi lagi bekas Menteri Besar Terengganu tersebut sudah dijangka tidak menghadapi masalah berbuat demikian.

Biarpun ada usaha untuk mencalonkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menentang Abdul Hadi namun ia hanya datang daripada satu bahagian sahaja berbanding 136 bahagian lagi yang tetap mahukan Abdul Hadi terus menerajui Pas.

Namun begitu, keputusan ini bukanlah bermakna penyokong-penyokong kepimpinan ulama di dalam Pas sudah boleh tidur lena, ia disebabkan tumpuan sekarang beralih pula kepada perebutan kerusi Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Setakat ini penyandang jawatan Nasharudin Mat Isa akan berhadapan dengan empat calon lain iaitu Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan dua Naib Presiden Pas, iaitu Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Apa yang menarik kelima-lima calon Timbalan Presiden itu juga turut dicalonkan bagi merebut jawatan Naib Presiden bersama 11 calon lain.

Melalui langkah pencalonan seumpama itu, ia akan memberi peluang kepada perwakilan untuk memastikan empat calon yang tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden dipertimbangkan bagi jawatan Naib Presiden.

Bagi kerusi Timbalan Presiden, walaupun Nasharudin dikatakan calon favourite selepas dilaporkan menerima 60 peratus sokongan daripada bahagian namun kehadiran Haron sedikit sebanyak mampu memungkinkan perwakilan mengubah fikiran ketika pengundian.

Ia kerana selain bertaraf ulama, Haron dilihat calon terbaik bagi menyelesaikan kemelut ‘pertembungan’ antara kumpulan ulama yang dianggap diwakili oleh Nasharudin dan Azizan dengan kumpulan profesional yang diwakili oleh Husam dan Mohamad Sabu.

Walaupun suatu ketika dahulu, Haron pernah menarik diri daripada bertanding kerusi Timbalan Presiden ketika jawatan itu turut ditandingi oleh Hassan Shukri tetapi situasi politik Pas sekarang memungkinkan Haron akan diminta tidak melakukan langkah yang sama.

0 comments: