Kompromi dalam Pemuda Pas?

Kompromi dalam Pemuda Pas?

Selepas enam tahun berada di bawah teraju Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, kini Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) akan mengalami perubahan pucuk pimpinan.

Berdasarkan jumlah pencalonan setakat ini, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi merupakan calon favourite bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Salahudin. Beliau menerima 10 pencalonan daripada 11 negeri yang sudah bermesyuarat manakala pencabar beliau, Mohamad Zaki Ibrahim yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran menerima pencalonan dari Kelantan.

Walaupun sebelum ini terdapat dua lagi calon yang disebut-sebut akan bertanding iaitu Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Azman Shapawi dan Exco Pemuda Pas, Mohd. Firdaus Jaafar, namun tumpuan lebih terarah kepada 'pertembungan' antara Nasrudin dan Mohamad Zaki. Bagaimanapun, 'pertembungan' antara dua pemimpin muda berkenaan mungkin tidak akan menjadi kenyataan kerana Nasrudin dan Mohamad Zaki sudah menyatakan kesediaan untuk berkompromi.

Apa pun dalam perbualan penulis dengan beberapa pemimpin Pemuda Pas mereka berpendapat Nasrudin layak menerajui Dewan Pemuda Pas Pusat. Pandangan itu bukanlah bertujuan memperkecilkan kewibawaan Mohamad Zaki sebaliknya mereka melihat beliau lebih sesuai menjadi orang nombor dua.

Nasrudin, 38 dilihat salah seorang ulama muda dalam Pas yang sentiasa lantang dalam memberi pandangan melalui blognya dengan memegang falsafah 'Perjuangan tidak akan berakhir pada hari ini sebagaimana perjuangan tidaklah bermula pada hari ini.'

Ketika tercetus isu tulisan 'Kerja-kerja bodoh dalam Pas' oleh Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Nasrudin menyokong anak Menteri Besar Kelantan itu sehingga beliau dituduh oleh sesetengah ahli Pas sebagai puak 'pro muqabalah' dengan UMNO.

Kehadiran Nasrudin yang berkelulusan dari Universiti Al Azhar, Mesir dilihat mampu memantapkan perjuangan Pemuda Pas yang kini dikatakan semakin mendapat sokongan di kalangan generasi muda. Namun begitu kemampuan Mohamad Zaki juga tidak boleh diperkecilkan kerana beliau dilihat pemimpin masa depan Pas Kelantan dan sentiasa ke depan dalam pelbagai isu politik sama ada di peringkat negeri mahupun pusat. Apa pun, dalam pemilihan kali ini, jika berlaku pertandingan, perwakilan Pemuda mempunyai dua pilihan terbaik bagi memimpin mereka. Tidak kiralah sama ada Nasrudin atau Mohamad Zaki, apa yang penting ialah keupayaan kepimpinan mereka mampu memantapkan lagi perjuangan Pemuda.

Dihormati

Ini kerana Salahudin telah berjaya meletakkan Pemuda Pas menjadi satu barisan yang dihormati oleh kawan dan lawan. Sikap beliau yang sentiasa terbuka dan tidak terlalu sempit berpolitik telah memungkinkan Salahudin turut menjadi buruan media bagi mendapat pandangan berhubung isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara.

Oleh itu semangat perjuangan yang telah diterapkan oleh Salahudin harus diteruskan sama ada oleh Nasrudin atau Mohamad Zaki. Mereka perlu bersikap terbuka dalam menerajui Pemuda Pas. Tidak salah mereka bersikap kritikal terhadap UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan tetapi biarlah ia objektif seperti mana dibuktikan oleh Pemuda Pas sebelum ini. Selain itu, bakal Ketua Pemuda juga perlu menjadikan sayap Pas tersebut sebagai pengkritik utama kepada kepimpinan parti. Teguran yang dibuat bukanlah bertujuan 'meruntuhkan' tetapi demi kebaikan parti. Jika sebelum ini Pemuda di bawah Salahudin berani menegur sebarang kelemahan pucuk pimpinan, kenapa ia tidak boleh diteruskan oleh bakal pengganti beliau?

Ketegasan Pemuda Pas juga perlu dalam memastikan parti itu yang mempunyai kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, tidak dperkotak-katikkan oleh rakan sekutunya.

Pemuda Pas mesti berani membuat teguran kalau dilihat kedua-dua parti berkenaan cuba meminggirkan Pas dalam sesuatu tindakan. Langkah berkenaan bertujuan bagi memastikan Pas harus menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang dan bukannya pak turut.

Namun sama ada Nasrudin atau Mohamad Zaki akan terpilih, semua pihak harus menanti sehingga selesai pencalonan di peringkat negeri. Jika berlaku kompromi, ia tidaklah mengejutkan kerana seperti mana kata Mohamad Zaki, ''Kita akan bincang siapa yang layak duduk di situ. Ia penting untuk mengurangkan 'politik' dalam Pemuda.'' Manakala Nasrudin pula berkata, ''Saya lebih senang menggunakan musyawarah (rundingan).'' Tetapi sama ada Nasrudin atau Mohamad Zaki yang pasti Pas sudah mempunyai barisan pemimpin pelapis yang harus diberi perhatian.

- Zulkiflee Bakar

0 comments: