DUN Perak, Mohamad Sabu dan politik Sabah

DUN Perak, Mohamad Sabu dan politik Sabah

KEKECOHAN sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam mendapat perhatian utama terutama di kalangan penulis blog propembangkang yang kebanyakannya membuat liputan masa nyata perjalanan sidang.

Syed Imran dalam blog Kuda Ranggi (kudaranggi.blogspot.com) menulis bahawa apa yang berlaku di Perak itu melambangkan tahap kematangan pemikiran dan kelakuan para wakil rakyat terbabit.

''Itulah yang dapat dikatakan. Ia adalah sesuatu yang memalu dan mengaibkan. Ia mendapat liputan meluas oleh media antarabangsa dan sekali lagi imej negara terjejas. Jika Husam Musa dan kemudian Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil pendirian untuk "puasa bercakap" maka eloklah saya "puasa menulis" mengenai apa yang sedang berlaku di Perak,'' tulisnya.

Wong Chun Wai dalam blognya New Malaysia (chunwai08.blogspot.com) pula menulis, apa yang berlaku pada sidang DUN Perak tidak ubah seperti dewan undangan di Taiwan di mana pergaduhan sudah menjadi kebiasaan di sana. Katanya, memang dijangkakan akan berlaku bantah-membantah, jerit-menjerit, panggil-memanggil nama tetapi pembuat dasar di Perak nyata lebih hebat sehingga melibatkan semburan cecair pemedih mata dan pergaduhan semata-mata untuk merebut mikrofon.

''Apa yang berlaku ini adalah tahap politik rakyat Malaysia yang rendah. Saya tidak ingat sama ada polis pernah dipanggil ke dalam DUN sebelum ini tetapi inilah yang terjadi,'' tulisnya.

Justeru, katanya, adalah lebih baik sekiranya kedudukan kerajaan Perak diserahkan kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya semula di negeri itu.

''Tetapi sebelum itu, undang-undang lompat parti perlu digubal terlebih dahulu. Tidak guna diadakan pilihan raya baru jika mereka yang dipilih boleh keluar masuk parti sesuka hati. Tetapi nampaknya tiada mana-mana parti politik yang bersetuju dengan penggubalan undang-undang ini, yang semuanya mendakwa ia melanggar konstitusi Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan,'' tulisnya.

Mohd. Sayuti Omar dalam blog Merah Tinta (msomelayu.blogspot.com) menulis bahawa sidang DUN Perak sudah gila kerana kali pertama dalam sejarah berlaku dua persidangan dalam satu dewan.

Katanya, satu persidangan dipimpin oleh Speaker V. Sivakumar dan satu oleh Datuk R. Ganesan yang baharu dilantik dan dipersetujui oleh ADUN Barisan Nasional (BN) dan tiga ADUN Bebas.

''Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang sepatutnya merasmikan sidang dewan jam 10 pagi terpaksa menunggu di bilik menanti diraja sebelum mendapatkan isyarat untuk merasmikan sidang dewan."

Katanya, inilah pertama kali dalam sejarah negeri Perak di mana sultan terpaksa menunggu untuk merasmikan sidang dewan kerana ada gangguan dan kekacauan.

''Namun dengan kekecohan yang berlaku hari ini bolehkah dikatakan kesemua mereka (wakil rakyat) mulai gila sejak jam 6 pagi dan semakin menjadi-jadi gilanya menjelang tengah hari ini!,'' tulisnya.

Sementara itu penulis Nizam Mat Saari dalam blognya Secangkir Madu Semanis Puan (nizammatsaari.com) pada 6 Mei mengulas penahanan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu. Katanya, penahanan Mohamad menjelang sehari sebelum sidang DUN Perak dianggap satu kesilapan kerana ia umpama provokasi pihak berkuasa terhadap penyokong pembangkang.

''Mereka akan memikirkan kerajaan menggunakan segala jentera dan kemudahan yang ada termasuk polis untuk membenarkan tindakan mereka. Polis akan dituduh bersekongkol walaupun isu keselamatan dan ketenteraman awam adalah yang sebenarnya,'' tulisnya.

Katanya, beliau percaya perhimpunan haram tetap juga akan diadakan kerana itulah tugas mereka selama ini iaitu menunjukkan bangkangan dan bantahan semata-mata.

''Dalam isu Mohamad Sabu, sepatutnya tidak usah tangkaplah. Itu hanya menambah kecoh saja. Itu akan memberi kredit kepada pakatan pembangkang untuk terus menghentam dan membedil kerajaan,'' tulisnya.

Di sebalik kontroversi sidang DUN Perak, isu politik di Sabah turut mendapat perhatian penulis blog Hamidzun Khairuddin.

Penulis dalam blognya Warisan 2057 (warisan2057,blogspot.com) pada 5 Mei mengulas mengenai penyertaan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan ke dalam Gerakan. Tulisnya, beliau pernah dipujuk rayu banyak kali oleh pihak-pihak yang rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyertai parti itu sebelum ini.

''Dengan kemasukan Raymond ke dalam Gerakan, ini akan melenyapkan pelbagai spekulasi politik Sabah,'' tulisnya.

Penulis ini berkata, PKR kini beralih ke pilihan raya kecil untuk cuba menjadikannya relevan sebagai parti yang konon memperjuangkan rakyat. Selepas Bukit Selambau kini di Penanti dan seterusnya di Kota Alam Shah. Rakyat akan terus diayak ke kiri dan ke kanan dalam permainan politik kuasa oleh PKR, DAP dan Pas,.

Kelolaan LUKMAN ISMAIL

lukman@utusan.com.my

0 comments: