Minda Pengarang: Setiap individu perlu waspada hindari kes ragut

Minda Pengarang: Setiap individu perlu waspada hindari kes ragut


KES ragut berlaku hampir setiap hari di Malaysia, cuma ia kini menjadi tumpuan ramai berikutan beberapa kes membabitkan kematian mangsanya dan mendapat perhatian media. Contohnya, seluruh negara gempar Disember lalu apabila seorang mangsa ragut, Lim See Nya, 58, dari Lunas, Kedah meninggal dunia akibat digilis lori selepas jatuh ketika diragut. Enam bulan sebelum itu, seorang wanita yang koma tujuh hari selepas bergelut dengan seorang lelaki yang meragut beg tangannya berhampiran pusat beli-belah Melaka Mall, Melaka, akhirnya meninggal dunia. Banyak lagi kes berlaku yang membabitkan mangsa ragut cedera parah atau koma. Kini, musim mangsa ragut meninggal dunia kembali menyentuh perasaan orang ramai apabila seorang wanita mengandung tiga bulan terkorban di jalan raya, manakala nenek berusia 86 tahun maut di rumahnya, masing-masing angkara peragut bermotosikal, dalam dua kejadian di Kota Bharu dan Tasek Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini. Ini adalah kes ketiga membabitkan kematian selepas seorang ibu, Jamilah Selamat, 31, yang juga mengandung dua bulan, meninggal dunia selepas koma tiga hari akibat terjatuh dari motosikal dalam kejadian ragut di Air Hitam, Johor, Ahad lalu. Seperti biasa, apabila kes seumpamanya mendapat tumpuan ramai dan menjadi berita utama media cetak dan elektronik, pelbagai saranan dilontarkan. Ada yang menyarankan supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap peragut, tetapi jika diteliti semula, tatkala insiden sama berlaku beberapa tahun lalu, saranan sama pernah dikemukakan tetapi semuanya hanya tinggal saranan tanpa sebarang tindakan diambil. Pihak polis sebelum ini juga pernah mencadangkan untuk melarang penggunaan motosikal dalam kawasan bandar raya bagi mengurangkan jenayah ragut dan dikatakan masih dalam peringkat kajian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Namun, cadangan itu dibantah oleh pengguna motosikal yang menyifatkannya sebagai tidak praktikal dan tidak berasas kerana akan menyusahkan ramai pengguna jalan raya. Larangan penggunaan motosikal dalam kawasan bandar raya bukan perkara baru kerana Myanmar sudah melaksanakannya di bandar Yangon, manakala di China pula ia diperkenalkan di Guangzhou bagi mengurangkan pencemaran dan jenayah ragut. Sebenarnya, langkah paling berkesan ialah pada diri kita sendiri dan kita tidak boleh terlalu mengharapkan agensi penguat kuasa seperti polis yang tidak akan mampu mengawasi setiap lokasi pada setiap masa kerana jenayah berlaku pada bila-bila masa dan tanpa mengira tempat. Oleh itu, kita harus sentiasa berwaspada bukan saja terhadap peragut, malah apa saja jenis jenayah di sekitar tempat kediaman atau kerja mahupun ketika bersiar-siar. Orang ramai sudah tentu sedar akan tip untuk mengelak diragut seperti jangan letak beg tangan dalam bakul terbuka di depan motosikal; ketika berjalan, rapatkan beg tangan ke badan dan pegang erat dengan kedua-dua tangan dan banyak lagi. Jika diri kita lebih berwaspada, bermakna lebih separuh kes ragut rasanya boleh dielak. Kerjasama orang ramai juga penting untuk membanteras jenayah ini.

0 comments: