Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
Tuanku Mizan Zainal Abidin mengambil buku selepas melancarkan
Kuala Lumpur Kota Kebudayaan Islam 2009 di Muzium Kesenian
Islam pada 5 Mei lalu. Turut hadir ialah Dr. Abdul Aziz Othman
Altwaijri (kanan) dan Dr. Rais Yatim (kiri).
Kuala Lumpur Kota Kebudayaan Islam 2009 di Muzium Kesenian
Islam pada 5 Mei lalu. Turut hadir ialah Dr. Abdul Aziz Othman
Altwaijri (kanan) dan Dr. Rais Yatim (kiri).
Apabila Islam berada di zaman kegemilangannya terutama pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyah terdapat beberapa kota tertentu yang menjadi simbol kepada kemajuan Islam terutama dalam bidang keilmuan dan kebudayaan.
Meskipun dunia Islam telah memiliki tiga kota suci iaitu Mekah, Madinah dan Baitulmuqaddis tetapi ia tidak menghalang kewujudan kota-kota lain yang antara lain banyak menyumbang ke arah memajukan ilmu pengetahuan serta seni budaya berteraskan Islam.
Jika disusuri sejarah kewujudan kota-kota Islam terkenal seperti Baghdad, Kufah, Basra, Damsyik, Seville dan Cardova berjaya menyemarakkan bidang keilmuan serta seni budaya dalam Islam.
Misalnya kota Baghdad, pada zaman kegemilangan Islam (zaman Abbasiyah), kota ini telah diiktiraf sebagai salah sebuah kota terpenting dalam konteks pengembangan ilmu serta pusat kemajuan seni budaya yang merangkumi pelbagai cabang antaranya seni bina bangunan, seni tembikar, seni khat, manuskrip berhias dan pertukangan kayu.
Perkembangan seni budaya Islam ketika itu tidak dapat dinafikan dan ia sejajar dengan tahap ketamadunan yang dicapai terutama pada zaman Khalifah Harun al-Rashid dan anaknya, Khalifah al-Makmun (zaman Abbasiyah).
Kedua-dua khalifah itu amat mementingkan pengembangan ilmu pengetahuan yang secara tidak langsung turut memberi kesan kepada kemajuan seni budaya Islam.
Hasilnya, kota Baghdad pada zaman tersebut telah dihiasi dengan seni bina Islam yang amat mengagumkan.
Begitu juga dengan kota-kota lain seperti Kufah, Basra, Damsyik, Seville dan Cardova, masing-masing telah menyumbang ke arah kemajuan seni budaya dalam Islam. Matlamat kesenian Islam adalah untuk mengagungkan kebesaran Allah selain sebagai tanda takwa dan tawaduk kepada yang maha Esa.
Kini, setelah beratus tahun berlalu, seni budaya Islam yang amat dibanggakan itu hanya menjadi kenangan kerana ia bukan lagi milik orang Islam dan lebih menyedihkan lagi ada di antaranya telah hancur akibat berlaku peperangan.
Baghdad merupakan satu contoh terbaik iaitu sebuah kota kebudayaan Islam yang sebelum ini dihiasi dengan seni bina Islam bermutu tinggi telah hancur akibat perang.
Perkara itu pernah dibangkitkan oleh Malaysia lima tahun lalu dalam satu persidangan Pertubuhan Antarabangsa Pendidikan, Kebudayaan Saintifik Islam (ISESCO) di Algiers, Algeria. Dalam persidangan itu Malaysia melahirkan kebimbangan mengenai kehancuran kota Baghdad sebaik sahaja ia diserang oleh pihak tentera Amerika Syarikat serta rakan sekutunya.
Apa yang pasti kehancuran kota itu turut sama memusnahkan artifak-artifak bernilai yang menjadi simbol kemajuan seni budaya Islam dan perkara itu tidak boleh dinafikan mana-mana pihak.
Selain Baghdad, perkara yang sama berlaku di kota lain antaranya Afghanistan.
Kebimbangan Malaysia itu sememangnya berasas kerana nilai artifak atau seni bina Islam yang hancur itu tidak boleh ditukar ganti kerana nilainya terlalu tinggi.
Atas keprihatinan Malaysia serta negara-negara anggota pertubuhan tersebut berhubung dengan isu berkenaan, satu ketetapan telah dibuat dalam dua persidangan ISESCO iaitu di Algiers pada tahun 2004 dan Tripoli, Libya pada tahun 2007.
Dalam dua persidangan berkenaan pihak ISESCO bersetuju untuk memilih empat buah kota untuk dinobatkan sebagai Kota Kebudayaan Islam.
Sekurang-kurang melalui langkah itu ia dapat memelihara artifak bernilai seni budaya Islam yang terdapat di negara-negara terbabit.
Setelah melalui syarat pemilihan yang ketat ISESCO akhirnya memilih empat buah kota kebudayaan Islam iaitu Baku (Republik Arzebaijan), Khairouan (Tunisia), N'djamena (Republik Chad) dan Kuala Lumpur (Malaysia).
Pemilihan Kuala Lumpur adalah hasil daripada komitmen berterusan Malaysia memartabatkan Islam di negara ini khususnya dalam konteks seni budaya.
Menurut Setiausaha Agung ISESCO, Dr. Abdul Aziz Othman Altwaijri, keputusan untuk memilih Kuala Lumpur sebagai salah sebuah Kota Kebudayaan Islam dibuat selepas ibu negara Malaysia itu berjaya melepasi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.
Antaranya beliau berkata, sesuatu bandar raya itu harus mempunyai status sejarah yang unik serta budaya yang kukuh; mempunyai keupayaan universal dan keislaman yang nyata; mempunyai kemudahan penyelidikan saintifik berkaitan arkeologi dan manuskrip selain mempunyai kegiatan budaya, kesenian dan warisan yang aktif.
Beliau yakin Malaysia mampu memikul tanggungjawab sebagai sebuah kota kebudayaan Islam dan antara tugas terpenting ialah memberitahu masyarakat dunia bahawa Islam merupakan satu agama suci dan bukan seperti mana yang digambarkan oleh sesetengah daripada mereka.
''Selama ini masyarakat Barat sering memandang serong terhadap Islam. Mereka mengaitkan Islam dengan keganasan sedangkan Islam yang dibawa oleh Rasulullah merupakan agama yang terlalu indah. Islam menggalakkan kasih sayang dan perpaduan.
''Saya yakin Malaysia mampu membuka mata mereka melalui nilai ketamadunan Islam yang tinggi yang terdapat di negara ini," katanya.
Sementara itu Malaysia menyatakan komitmennya untuk memperkenalkan keindahan Islam sebenar supaya masyarakat Barat tidak lagi memandang serong terhadap agama suci itu yang selama ini sering dikaitkan dengan keganasan.
''Menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk memberi sumbangan ke arah itu kerana Islam tidak pernah menganjurkan keganasan sebaliknya menitikberatkan perpaduan, kasih sayang dan keharmonian.
''Sehubungan itu kita akan menggunakan sepenuhnya wadah Kuala Lumpur Kota Kebudayaan Islam untuk memberitahu masyarakat dunia bahawa Islam adalah agama yang amat indah," kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Jika dilihat secara keseluruhan Malaysia komited memartabatkan Islam dan ia boleh dilihat daripada penubuhan beberapa institusi berkaitan Islam, mempopularkan seni bina Islam, aktif dalam menganjurkan hiburan berbentuk Islam, kewujudan media Islam serta menggalakkan percambahan ilmu mengenai Islam.
Dalam perkembangan lain ada pihak berpendapat bahawa pemilihan Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam perlu dijadikan faktor penggalak kepada usaha untuk meningkatkan nilai akhlak di kalangan masyarakat terutama generasi muda yang kini dilihat semakin terhakis.
Dengan kata lain kerajaan wajar menggariskan program-program khas untuk mendekati serta memulihkan masyarakat bermasalah khususnya di kalangan mereka yang terbabit dalam gejala sosial sebagai contoh mat rempit.
Langkah itu perlu supaya pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai sebuah Kota Kebudayaan Islam lebih bermakna kerana ia bukan sahaja berjaya menampilkan aspek luaran semata-mata tetapi juga berjaya menjadi akhlak masyarakatnya menepati tuntutan Islam.
Walau apa pun sekalung tahniah wajar diberikan kepada kerajaan atas pemilihan tersebut dan diharap pengiktirafan ISESCO itu mampu menyemarakkan lagi usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai salah sebuah kota tamadun Islam yang tinggi.
1 comments:
Alhamdulillah. Moga ia benar-benar menjadi realiti. Malah itulah yang sepatutnya sebagai sebuah negara yang mendakwa agamanya Islam.
Post a Comment