Ubah sikap, tutup peluang peragut bertindak
KUALA LUMPUR 6 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan masyarakat mengamalkan sikap lebih peka kepada diri sendiri dengan menutup semua peluang kepada peragut untuk bertindak ke atas mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, untuk itu mereka perlulah bersedia menukar beberapa sikap untuk mengelak diri menjadi mangsa.
Katanya, antaranya ialah suka memakai barang kemas yang keterlaluan, memakai beg yang mudah diragut dan tidak peka terhadap sekeliling.
"Masyarakat perlu sedar untuk menangani jenayah ragut dan jenayah lain juga, mereka perlulah terlebih dahulu mengelak diri daripada menjadi mangsa.
"Contohnya, ubah sikap suka menggunakan jalan atau laluan pintas yang sunyi jika hendak ke sesuatu tempat," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, masyarakat tidak perlu bimbang dengan jenayah ragut jika mereka mengambil beberapa langkah tertentu untuk tujuan keselamatan.
Katanya, bagi pihak polis, pihaknya akan terus meningkatkan penguatkuasaan dan merancang langkah- langkah terbaik bagi mengatasi masalah itu.
"Polis amat memandang serius jenayah ragut dan usaha sedang giat dilakukan mencari jalan atasi jenayah ini," ujar beliau.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah pula melahirkan rasa bimbang apabila jenayah tersebut kini semakin melibatkan ramai golongan remaja.
Katanya, ini terbukti apabila dalam tangkapan yang dijalankan, kebanyakan mereka terdiri daripada remaja belasan tahun dan ada antaranya masih bersekolah.
Namun di sebalik kebimbangan itu, pihaknya mengakui mengalami kesukaran untuk mengambil tindakan kerana pihak mahkamah pasti membebaskan mereka kerana di bawah umur.
"Inilah kekangan yang dihadapi oleh polis kerana setiap kali peragut remaja dibawa ke mahkamah, mereka akan dibebaskan dengan jaminan.
"Namun kebanyakan mereka tidak serik dan akan mengulangi perkara serupa (meragut) dan tertangkap lagi," jelasnya.
Katanya, selain itu, sesuatu kes ragut juga sukar dihadapkan ke mahkamah berikutan kesukaran mendapatkan barang kes daripada suspek terlibat.
"Peragut akan meninggalkan barang kes di tempat lain dan hanya membawa barang berharga seperti telefon bimbit selain wang.
"Telefon bimbit itu pula akan dijual di kedai telefon bimbit berhampiran untuk mendapatkan wang," ujar beliau.
0 comments:
Post a Comment