Salah siapa anak muda 'rakus' di jalan raya?
MENYALAKAN lilin adalah lebih baik daripada menyumpah dalam bilik yang gelap, begitulah ungkapan yang lebih tepat untuk dilafazkan buat masa ini bukannya tuding menuding jari mencari siapa yang salah.
Jika kita menyingkap kembali pada tahun 1970-an dan 1980-an pastinya kita tidak pernah mendengar perkataan 'mat rempit', kumpulan budak-budak motor pada masa itu digelar dengan panggilan 'mat motor'.
Namun apa yang berlaku sekarang golongan mat rempit telah diangkat sebagai satu kumpulan yang 'agak' glamor, ini menyebabkan kumpulan ini merasakan mereka sebagai satu kumpulan yang menjadi perhatian sehingga nama mereka diangkat menjadi tajuk filem dan drama.
Persoalannya siapa yang menggelarkan mereka dengan gelaran mat dan minah rempit? Siapa yang seolah-olah mengangkat kumpulan mereka ini berada pada satu tahap yang menjadi impian setiap remaja untuk menganggotainya? Jawapannya ada pada diri kita sendiri.
Siapa yang bersalah apabila kumpulan ini yang sifatnya suka mencuba sesuatu yang baru, kreatif, suka menjadi perhatian, suka menunjuk-nunjuk tetapi ruang dan tempat untuk mereka menunjukkan bakat mereka agak terhad.
Di samping itu juga mampukah dan berpeluangkah mereka untuk beraksi di litar-litar yang lebih selamat dan mengikut peraturan jalan raya. Mampukah mereka untuk memiliki pakaian-pakaian yang lebih mempunyai ciri-ciri keselamatan.
Siapa yang boleh memberi jawapan yang tepat apabila kumpulan ini tidak didekati, diselami jiwa mereka sebaliknya kita lebih mengambil sikap menghukum? Jawapannya ada pada diri kita sendiri.
Siapa yang harus disalahkan apabila golongan ini 'dibekalkan' dengan motosikal yang tidak memenuhi ciri-ciri keselamatan sebaliknya lebih cepat untuk 'meragut' nyawa mereka. Siapa yang harus disalahkan apabila anak-anak 'rempit' ini berkeliaran di tepi-tepi jalan, berlumba sesuka hati dengan aksi-aksi yang berbahaya?
Siapa yang harus disalahkan apabila anak-anak remaja ini lewat pulang ke rumah pada waktu malam, ada yang sampai ke pagi menjadi kupu-kupu malam dan 'raja' di jalan raya?
Siapa yang harus disalahkan apabila anak-anak ini mengubah suai motosikal kesayangan mereka dengan bunyi yang boleh didengari oleh seluruh masyarakat kampung tanpa ditegur dan dilarang?
Jawapannya ada pada diri kita sendiri terutamanya mereka yang berada dekat dengan mereka. Siapa yang bersalah apabila remaja ini membiarkan diri mereka terdedah kepada maut dengan aksi superman, aksi willy, aksi wikang. Golongan ini sudah mencapai tahap boleh berfikir yang mana baik dan yang mana buruk, namun mengapa 'jalan maut' yang dipilih?
Jawapan kepada persoalan ini ada dalam diri setiap kumpulan budak motor yang kita nobatkan mereka dengan gelaran 'mat rempit'.
Namun begitu apa yang berlaku sejak-sejak akhir-akhir ini sudah mencapai tahap yang keterlaluan. Golongan ini sudah semakin berani bukan setakat menggadai nyawa sendiri malahan juga mengakibatkan insan yang banyak berkorban untuk menjaga keamanan iaitu pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjadi mangsa kerakusan mereka. Akibatnya mereka yang tidak berdosa iaitu anak-anak dan isteri meratapi kesedihan yang menimpa suami dan ayah mereka.
Pelbagai pihak telah melontarkan pelbagai pendapat dan pandangan baik di blog-blog, akhbar-akhbar utama dan sebagainya. Apa yang lebih penting sekarang ialah tindakan segera untuk jangka masa pendek dan juga perancangan jangka masa panjang perlu digerakkan dengan segera secara bersepadu.
Mat rempit tegar perlu dikenakan tindakan yang tegas seperti yang dicadangkan sebelum ini iaitu dihantar ke sekolah Henry Gurney dan juga mengenakan Bon Famili. Bagi mat rempit yang baru berjinak-jinak dan tidak melakukan kesalahan seperti 'merempuh' pihak berkuasa perlu diberi peluang untuk menunjukkan bakat mereka di litar lumba yang sah serta mereka perlu dibawa menyertai program 'ala tentera' seperti Program Latihan Khidmat Negara.
Kita juga mungkin boleh menimbangkan untuk mewujudkan akademi lumba khas untuk mereka yang berminat, mempunyai kebolehan luar biasa terutamanya golongan yang kita panggil mat rempit ini.
Akademi ini bolehlah diwujudkan di setiap negeri kerana kumpulan remaja ini mempunyai kumpulan yang agak ramai di seluruh negara. Selepas akademi ini diwujudkan, jika masih terdapat lagi mereka yang merempit maka kita perlu mengenakan tindakan yang tegas.
Dalam menghadapi isu ini, kita perlu mencari jalan penyelesaian jangka panjang, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
Menghukum bukanlah jalan penyelesaian mutlak, yang melakukan jenayah perlu dihukum manakala yang masih berpeluang perlu ditunjukkan jalan keluar. Oleh itu semua pihak termasuk ibu bapa perlu memainkan peranan penting agar selepas ini kita tidak lagi mahu mendengar berita kematian termasuk insan-insan yang tidak berdosa akibat 'kerakusan' mereka di jalan raya.
MOHAMMAD ISMAIL
Fakulti Pengurusan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara, Perlis
0 comments:
Post a Comment