Wakil PBB jumpa Suu Kyi, junta


LENGANG: Yangon hampir sepi semalam apabila tentera menutup kebanyakan jalan utama di bandar terbesar Myanmar itu berikutan tunjuk perasaan pro-demokrasi besar-besaran.

Usaha selesai krisis diterus ketika tentera kenakan kawalan ketat di Yangon, Mandalay

YANGON: Wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari menemui ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi dan pemimpin junta tentera dalam usaha mencari penyelesaian terhadap krisis yang dihadapi negara Asia Tenggara itu.

Penemuan itu diadakan secara berasingan semalam, dan kelmarin ketika beribu tentera mengenakan kawalan ketat terhadap Yangon dan Mandalay, semalam. Berpuluh orang lagi ditahan malam semalam, melemahkan lagi gerakan prodemokrasi yang hampir setiap hari sejak sebulan lalu mengadakan tunjuk perasaan membantah kerajaan kuku besi tentera itu.

Gambari mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin junta di ibu negara Myanmar yang baru, Naypyitaw yang dikawal rapi seperti kubu. Bagaimanapun setakat semalam, wakil PBB itu belum lagi dapat menemui ketua junta, Jeneral Than Shwe.

Beliau semalam dibenarkan menemui Suu Kyi yang dikenakan tahanan rumah.

Pertemuan dengan ketua pembangkang itu berlanjutan sehingga 90 minit, kata diplomat. Butir mesyuarat itu belum didedahkan lagi.


Usaha diplomatik PBB itu diadakan selepas kerajaan junta bertindak keras terhadap penunjuk perasaan menyebabkan 10 kematian menurut angka kerajaan. Namun gerakan prodemokrasi mendakwa angka itu lebih tinggi.

Berpuluh penunjuk perasaan yang mahu menamatkan pemerintahan tentera selama 45 tahun bertindak menyerah diri dengan memasuki jalan sunyi di bandar terbesar Myanmar yang dipenuhi tentera dan polis bersenjata.

Jumlah tentera di Yangon bertambah kepada 20,000 semalam selepas lebih ramai dikerah ke bandar terbesar Myanmar itu semalaman bagi memastikan tunjuk perasaan tidak akan diadakan lagi.

"Pasukan keselamatan mahu menunjukkan kekuatan mereka. Saya rasa peluang mengadakan tunjuk perasaan sekarang adalah sifar," kata diplomat Asia yang tidak mahu namanya didedahkan. - AP/Agensi

0 comments: