Jepun kemuka bantahan rasmi

TOKYO 30 Sept. – Timbalan Menteri Luar Jepun berlepas ke Myanmar hari ini untuk mendesak junta tentera negara itu mengambil langkah ke arah demokrasi dan memprotes pembunuhan seorang wartawan Jepun semasa operasi untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Pegawai kini sedang mengatur pertemuan Mitoji Yabunaka dengan Menteri Luar Myanmar, Nyan Win dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Mejar Jeneral Maung Oo, lapor agensi Kyodo News.

Lawatan Yabunaka itu diatur selepas wartawan APF News, Kenji Nagai, 50, terbunuh pada Khamis lalu apabila askar melepaskan tembakan senjata automatik ke arah sekumpulan penunjuk perasaan.

Rakaman video oleh Fuji Television Network di sini menunjukkan seorang askar dipercayai menembak Nagai dari depan.

Doktor di sebuah hospital di Yangon memaklumkan ketua APF News, Toru Yamaji mengenai hasil bedah siasat.

Mereka berkata, sebutir peluru menembusi badannya dan beberapa tulang rusuk patah.

– AP

0 comments: