Kes Nurin: Keluarga Nurin berhak tahu

SHAH ALAM: Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin, Jazimin Abdul Jalil, 33 dan Norazian Bistaman, 35, harus tahu siapa pembunuh sebenar anak mereka.

Bagaimanapun, ketika diminta penjelasan maksud kenyataan itu, Lee enggan mengulas lanjut.

"MCPF berharap supaya polis dapat menangkap semua suspek untuk dibawa ke muka pengadilan.


"Saya rasa ibu bapa mangsa harus tahu siapa penjenayah itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Komuniti Setia Alam di sini, semalam.

Kes pembunuhan Nurin Jazlin yang hilang kira-kira jam 8 malam pada 20 Ogos lalu ketika berjalan seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, mendapat liputan meluas media massa dan perhatian ramai termasuk pemimpin dan ahli politik.

Mayat kanak-kanak itu yang disumbat dalam sebuah beg sukan berwarna biru yang diletakkan di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1, Taman Petaling Utama, ditemui pada jam 9 pagi, 17 September lalu oleh seorang pekerja syarikat perunding.


Setakat ini, lima suspek, empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai individu bertanggungjawab menjaga Nurin sepanjang kehilangannya, ditahan polis, bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Lee yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Niosh), menasihatkan orang ramai yang akan pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri tidak lama lagi supaya berhati-hati dan memandu secara berhemah.

�Sila maklumkan kepada polis mengenai ketiadaan anda di rumah supaya polis boleh membuat rondaan lebih kerap di kawasan perumahan.

�Maklumkan juga kepada jiran dan tinggalkan nombor telefon supaya mudah dihubungi jika berlaku kecemasan," katanya.

Terdahulu ketika melancarkan Projek Komuniti Setia Alam, Lee berkata projek yang dijalankan pemaju perumahan terkemuka itu bertujuan membantu penduduk berpendapatan rendah dan tidak mampu di sekitar projek perumahan terbesar syarikat itu di Setia Alam dan Setia Eco Park, tanpa mengira bangsa.

Seramai 80 keluarga kurang berkemampuan yang mana 90 peratusnya ibu tunggal menerima bantuan barangan makanan seperti beras, minyak masak, tepung, telur dan susu tepung bernilai antara RM100 hingga RM120 setiap keluarga.

Keluarga yang terpilih akan diberi bantuan barangan setiap bulan dan bantuan diagihkan minggu terakhir setiap bulan di Bandar Setia Alam.

Yayasan SP Setia yang dipengerusikan Lee memperuntukkan RM120,000 setahun bagi melaksanakan projek komuniti tahunan yayasan itu.


0 comments: