Kes bunuh Altantuya: Pegawai Celcom jadi saksi

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

Pendakwa perlu keterangan berhubung log panggilan telefon, SMS tertuduh

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang membabitkan penganalisis politik Abdul Razak Baginda, dijangka memanggil saksi daripada syarikat telekomunikasi, Celcom (M) Berhad pada perbicaraan yang bersambung hari ini.

Saksi terbabit dipanggil bagi memberikan keterangan berhubung log panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri dan teman wanitanya Lans Koperal Rohaniza Roslan, Koperal Sirul Azhar Umar (tertuduh kedua) serta individu lain dalam perbicaraan yang memasuki hari ke-43 itu.

Saksi itu sepatutnya memberikan keterangan minggu lalu, tetapi ditangguhkan selepas peguam Azilah, Hazman Ahmad memohon penangguhan berikutan keterangan itu membabitkan aspek teknikal dan rakan peguamnya, J Kuldeep Kumar tidak dapat hadir di mahkamah pada hari berkenaan.

Dalam perbicaraan pada minggu lalu, persoalan timbul sama ada Sirul Azhar yang menggunakan kad Touch n' Go miliknya ketika melalui Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Kota Damansara sebanyak lima kali pada malam 19 dan 20 Oktober tahun lalu, iaitu pada malam Altantuya dilaporkan hilang dan mati dibunuh.

Ini berikutan keterangan Eksekutif Operasi Rangkaian Segar Sdn Bhd, Wan Abdullah Wan Ali, ketika menjawab soalan peguam bela Kamarul Hisham Kamarudin yang mewakili Sirul Azhar berkata, Kad Touch n' Go itu tidak semestinya digunakan pemiliknya.

Beliau berkata, seseorang pengguna boleh membeli kad itu lebih daripada satu dan memberikannya kepada sesiapa saja.

Namun, beliau tidak pasti berapa banyak kad boleh dibeli seseorang pengguna dan sama ada mereka boleh membeli lebih daripada satu dalam satu transaksi.

Menjawab soalan Kamarul Hisham, saksi itu bersetuju beliau tidak dapat memastikan transaksi kad Touch n' Go pada malam wanita Mongolia dilaporkan hilang digunakan tertuduh kedua.

Sementara itu, ahli kimia Jabatan Kimia Malaysia, Wong Kong Yong dalam keterangannya, mengesahkan tulisan pada sekeping kertas bersaiz A4 tertulis nama bapa Abdul Razak, alamat rumahnya, nombor telefon tertuduh pertama itu dan Altantuya Shaariibuu serta nombor bilik Hotel Malaya (tempat penginapan Altantuya) yang dijumpai di pejabat Azilah di Bukit Aman, ditulis Abdul Razak sendiri.

0 comments: