Kes Nurin: Shahrizat yakin pembunuh ditahan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memuji polis yang bekerja keras sehingga tertangkapnya beberapa suspek kes jenayah seksual dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya yakin polis yang sudah bekerja keras dalam siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin akan meneruskan siasatan mereka sehingga pesalah dihadapkan ke muka pengadilan.

�Terima kasih polis kerana kerja keras mereka dan bagi saya, memang tiada maaf kepada mereka yang bertanggungjawab dalam kes ini,� katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Tadarus Al-Quran kawasan Parlimen Lembah Pantai Zon Sri Sentosa di sini, semalam.

Shahrizat mengulas mengenai penahanan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam kes mangsa penderaan seksual dan pembunuh kejam Nurin, kelmarin. Wanita berusia 23 tahun dipercayai terbabit mengurung mangsa, direman enam hari hingga 4 Oktober ini.

Polis turut menahan lima orang termasuk sepasang suami isteri hasil tiga serbuan berasingan di Shah Alam melalui �Ops Sunti� dan pemantauan rapi terhadap beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil sejak kehilangannya.

Shahrizat berkata beliau mahu penjenayah seks kanak-kanak dikenakan tindakan tegas dan perlakuan sumbang itu perlu dihentikan supaya ia tidak menjadi budaya dalam masyarakat di negara ini.

Katanya, beliau bimbang dengan perlakuan penjenayah seks kanak-kanak dan mahu golongan berkenaan dikenakan tindakan tegas manakala masyarakat perlu bersama membantu pihak berkuasa membanteras kerja terkutuk berkenaan.

�Saya tidak rela satu kanak-kanak pun menjadi mangsa kejadian seperti ini, termasuk aksi mereka dirakamkan untuk tujuan komersial. Apa yang dilakukan penjenayah ini bukan hanya menganiaya kanak-kanak tetapi membawa malu kepada negara.

�Ini bukan budaya masyarakat Malaysia, walaupun segelintir saja yang buat kerja-kerja ini, ia akan mencemarkan nama negara dan juga mangsa. Kami di kementerian tidak rela satu kanak-kanak pun yang menjadi mangsa golongan ini,� katanya.

Shahrizat berkata, beliau menyokong penuh saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta Rukun Tetangga (RT) dihidupkan semula di kawasan perumahan dan penempatan bagi memantau bukan hanya keselamatan penduduk tetapi kegiatan membabitkan gejala sosial.

Katanya, kementerian dan agensi kerajaan di bawahnya akan bekerjasama dengan pertubuhan sama ada politik, kemasyarakatan dan sosial untuk memastikan kawasan penempatan selamat dan membanteras gejala sosial di peringkat akar umbi.

Terdahulu pada Majlis Tadarus Al-Quran itu, Shahrizat turut mengaji bersama kumpulan wanita Lembah Pantai yang turut berkhatam Al-Quran.

0 comments: