Panggilan telefon, kandungan SMS dijangka didedah

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibu yang masuk hari ke-43 esok dijangka akan didedahkan dengan maklumat-maklumat baru berhubung panggilan telefon serta isi kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada malam wanita Mongolia itu dibunuh.

Begitu juga beberapa nombor telefon bimbit yang sebelum ini disebut di mahkamah tetapi tidak diketahui milik siapa akan turut diketahui seperti mana janji pihak pendakwa untuk mendedahkannya.

Ini kerana saksi dari Celcom (Malaysia) Berhad, Mohd. Firdaous Mohd. Omar yang tidak dapat memberi keterangan pada minggu lalu walau telah hadir di mahkamah dijangka akan dipanggil semula.

Bukan sahaja media dan orang awam tertunggu-tunggu untuk mendengar keterangan dari pegawai itu, malah Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin juga telah bertanya sebanyak dua kali apabila saksi tidak dipanggil pada Rabu lalu.

Pada hari sebelumnya, Mohd Firdaous telah pun masuk ke dalam kandang saksi. Peguam Hazman Ahmad bagaimanapun memohon pihak pendakwa memanggil saksi lain kerana rakannya, J. Kuldeep Kumar tidak dapat hadir ke mahkamah.

Katanya, kehadiran Kuldeep amat penting kerana beliau yang bertanggungjawab mengendalikan pemeriksaan balas berikutan keterangan saksi amat teknikal selain ia berkait rapat dengan anak guam mereka, Cif Inspektor Azilah Hadri.

Sebelum ini, mahkamah didedahkan dengan panggilan telefon serta SMS yang dihantar dan diterima oleh Azilah dan teman wanitanya, Lans Koperal Rohaniza Roslan pada malam Altantuya dibunuh.

Begitu juga panggilan yang dibuat dan diterima antara Azilah dan tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar serta individu yang lain.

Dalam kes itu, Azilah dan Sirul Azhar, didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi di antara lot 12843 dan lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda yang merupakan pengarah eksekutif sebuah kumpulan pemikir tempatan didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.54 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober 2006.

Ketiga-tiga mereka yang mengaku tidak bersalah berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

0 comments: