Oleh ZULKIFLI MANZOR dan TAN MING WAI
KUALA LUMPUR 30 Sept. – Siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin masih diteruskan walaupun polis telah menahan reman lima orang termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan kes itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, rakaman CCTV tersebut diserahkan kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) bertujuan membantu polis Malaysia mengecam wajah individu yang dirakamkan melalui CCTV berkenaan.
‘‘Kes ini sedang disiasat, masih terlalu awal untuk membuat kenyataan. Saya minta pihak media tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Musa berkata, polis memerlukan sedikit lagi masa untuk memperoleh fotofit individu terbabit.
‘‘Rakaman CCTV itu sedang diproses, tunggulah keputusannya nanti,’’ jelas beliau.
Sementara itu, Bernama melaporkan, kad SIM (modul pengenalan pelanggan) telefon bimbit yang ditelan oleh wanita Indonesia yang ditahan polis 12 tengah malam Jumaat lepas dipercayai mengandungi maklumat penting bagi menyelesaikan kes pembunuhan Nurin Jazlin.
Nurin Jazlin, 8, hilang pada 20 Ogos lalu di Wangsa Maju di sini dan mayatnya ditemui di Petaling Jaya pada 17 September lalu.
Sumber polis berkata, mereka sedang berusaha mengeluarkan kad SIM tersebut yang ditelan oleh wanita berumur 22 tahun itu semasa dalam perjalanan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dari ibu pejabat polis di Bukit Aman semalam.
Tindakan itu menyebabkan wanita berkenaan tercekik dan hampir pengsan semasa polis membawanya ke Mahkamah Sesyen untuk mendapatkan perintah tahanan reman selama tujuh hari.
“Usaha mengeluarkan kad SIM agak sukar dan polis sedang melakukan yang terbaik. Kad SIM tersebut mungkin memberi petunjuk dalam kes ini,” kata sumber itu kepada Bernama.
Kad SIM yang ditelan oleh suspek dipercayai mengandungi maklumat tentang nombor telefon dan panggilan yang dibuat oleh wanita tersebut kepada bapa Allahyarham Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil semasa kehilangannya tempoh hari.
Wanita itu yang bekerja di sebuah gerai di bazar Ramadan di Nilai, Negeri Sembilan dipercayai terbabit mengurung Nurin Jazlin.
Selain wanita Indonesia itu, polis turut menahan lima orang berusia antara 27 dan 33 tahun termasuk seorang wanita berhubung pembunuhan kanak-kanak berusia lapan tahun itu dalam tiga serbuan berasingan di Seksyen 7, Shah Alam pada Khamis lepas.
Wanita yang ditahan pada Khamis malam dibebaskan selepas keterangannya diambil.
Sementara itu, sumber itu berkata pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dihantar ke Amerika Syarikat untuk bertemu dengan pegawai FBI berkaitan rakaman CCTV yang dipasang di premis perniagaan tempat mayat Nurin Jazlin ditemui di Petaling Jaya Utama dekat sini tiba di Washington hari ini.
Rakaman tersebut dihantar ke makmal FBI bagi membantu siasatan mengecam sama ada imej yang dirakamkan itu menyamai wanita warga Indonesia yang ditahan reman. Katanya, laporan siasatan dijangka disiapkan dalam masa seminggu lagi.
Sementara itu, keputusan ujian DNA ke atas beberapa helai rambut yang ditemui pada mayat Nurin akan diketahui minggu ini.
“Ujian yang dilakukan ke atas helaian rambut itu akan dipadankan dengan sampel darah yang diambil daripada suspek yang ditahan berkaitan dengan pembunuhan Nurin,” katanya.
Menurutnya, Nurin telah disembunyikan dan dibunuh di dua tempat yang berasingan.
Sementara itu, Jazimin ketika dihubungi berkata, beliau tidak mengenali wanita warga Indonesia yang ditahan itu dan sehingga kini polis belum memaklumkan kepadanya perkembangan siasatan kes pembunuhan anaknya.
Beliau berkata, keluarganya ingin berjumpa dengan pembunuh anak keduanya itu.
0 comments:
Post a Comment