Utusan Khas PBB temui pemimpin junta, Suu Kyi

YANGON 30 Sept. – Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ibrahim Gambari hari ini mengadakan pertemuan dengan Aung San Suu Kyi di rumah tetamu kerajaan.

Ibrahim, diplomat dari Nigeria itu tiba di Myanmar semalam dan mengadakan pertemuan dengan pemimpin junta di Naypyitaw dan menyampaikan bantahan antarabangsa berhubung pergolakan di negara ini sejak dua minggu lalu.

Menurut seorang sumber, Ibrahim dan Suu Kyi mengadakan pertemuan itu dengan kehadiran beberapa pegawai junta di rumah kerajaan tersebut.

“Mereka berbincang kira-kira sejam 15 minit dan ia merupakan pertemuan pertama Ibrahim dan Suu Kyi sejak November 2006,” kata satu sumber kepada AFP.

Katanya, Ibrahim berada di Naypyidaw, semalam dalam usaha mengadakan pertemuan dengan pemimpin junta termasuk pemimpin nombor satu, Jeneral Than Shwe, namun hanya Pemangku Perdana Menteri Thein Sein dan Menteri Kebudayaan, Khin Aung Nyint yang hadir.

“Ibrahim akan berusaha bertemu dengan Jeneral Shwe untuk membincangkan isu itu sebelum misinya di Myanmar berakhir,” tegas satu kenyataan PBB.

Sehingga kini usaha yang dilakukan oleh PBB bagi membawa anggota pemerintah junta Myanmar ke meja rundingan masih diselubungi rahsia kerana belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan mengenainya.

Menurut media kerajaan, keadaan di Yangon kini semakin stabil kerana pihak berkuasa berjaya mengawal para penunjuk perasaan dengan “penuh hati-hati dan cuba mengelakkan kekerasan.”

Sehingga kini, masih belum terdapat sebarang tanda sami-sami akan dibebaskan dari tahanan dalam wat, setelah mereka memainkan peranan penting dalam menaikkan semangat para penunjuk perasaan bagi melancarkan bantahan terbesar dalam tempoh 20 tahun.

– Reuters

0 comments: