Ramai Tak Setuju Cadangan Dakwa Ibu Bapa Cuai Ke Mahkamah

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Banyak pihak tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya tindakan mahkamah diambil terhadap ibu bapa yang kehilangan anak-anak kerana cuai.

Pihak ini berpendapat adalah mustahil bagi ibu bapa mengawasi anak-anak sepanjang masa, apa lagi dalam hal kedua-dua ibu dan bapa bekerja.

Istilah "cuai" adalah relatif, dan mereka mahu definisi tepat diberi tentang apa dimaksudkan oleh menteri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Seorang kakitangan kerajaan Nur Hidayat Shafie, 48, khuatir cadangan itu membawa kesan negatif dalam masyarakat terutama apabila ibu bapa disabit kesalahan.

"Jika ibu bapa didakwa, apa akan terjadi kepada nasib anak-anak mereka... bagi saya kebanyakan ibu bapa telah menjalankan tanggung jawab sebaik mungkin dalam membentuk peribadi serta mendidik anak-anak.

"Kita harus faham jika ibu bapa bekerja, masa yang diperuntukkan untuk anak-anak agak terbatas...waktu terluang itulah digunakan untuk mendisplin serta bersama anak-anak," katanya.

Pekerja swasta Nor Apni Safri, 23, pula berpendapat ibu bapa harus diberi motivasi serta bimbingan dan bukan mengheret mereka ke mahkamah.

"Bagi kes adik Nurin, saya tidak nafikan mungkin ada sedikit unsur kecuaian kerana membiarkan dia keluar berseorangan pada waktu malam walaupun berhampiran rumah tetapi tidak semua kes melibatkan ibu bapa cuai," kata beliau.

Seorang pesara kerajaan, Mohamad Abdullah, 57, berpendapat pihak berwajib perlu memperincikan apa yang dimaksudkan sebagai cuai itu sebelum mendakwa ibu bapa ke mahkamah atas sebab kehilangan anak mereka.

"Ini perlu kerana kadang-kadang jika tak bagi keluar rumah, mereka keluar juga untuk bermain dan sebagainya. Kita tak boleh `merantai' anak-anak di rumah dan hanya membenarkan mereka bermain di luar rumah mengikut kelapangan kita," katanya.

Katanya, jika ibu bapa berkenaan dikenakan tindakan undang-undang ini akan hanya mengeruhkan lagi keadaan yang memang sudah rumit bagi keluarga berkenaan.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi pusat membeli-belah dan taman rekreasi sekitar ibu negara mendapati masih ada ibu bapa yang leka serta membiarkan anak-anak berkeliaran terutama sewaktu sedang sibuk membeli barangan.

Dalam reaksi berbeza, seorang pekerja keselamatan Norehan Sulong, 47, berkata tanggungjawab mendidik serta memerhatikan gerak-geri anak-anak adalah hak ibu bapa, masyarakat hanya dapat membantu.

"Jika mereka benar-benar cuai, mendera anak-anak, maka wajarlah mereka didakwa," katanya.

Guru sekolah rendah Rafidah Mohd Nor, 37, berkata ibu bapa haruslah memantau aktiviti anak-anak dan melarang mereka ke mana-mana berseorangan terutama pada waktu malam walaupun ke pasar malam atau gerai berhampiran kediaman tanpa ditemani.

"Kanak-kanak sekarang bukan macam dulu, mereka semakin berani dan ibu bapa pula tidak sepatutnya lepas tangan walau anak mereka sudah agak besar," katanya.

-- BERNAMA

0 comments: