Oleh: MUHD. NIZAM ABD. HAMID dan ROSMAWATI MION
ALOR STAR 22 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tradisi hidup berjiran yang saling membantu dan mengambil tahu antara satu sama lain perlu dihidupkan semula bagi memastikan kejadian yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, tidak berulang lagi.
Menurut Perdana Menteri, tradisi itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan masyarakat tetapi secara tidak langsung mewujudkan kawalan dan pemerhatian di kalangan mereka sekali gus dapat menjamin keselamatan masyarakat terlibat.
“Dengan ada kawalan seperti itu, kita harap tidak berlaku kes penculikan, rumah diceroboh dan rompakan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon di sini, hari ini.
Malangnya, kata beliau, masyarakat hari ini tidak lagi mengamalkan sistem hidup berjiran yang baik malah jiran sebelah rumah pun tidak dikenali.
Menurutnya, sikap individualistik dan tidak mempedulikan orang lain hanya akan menyebabkan ikatan masyarakat menjadi longgar dan mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko jenayah.
Sehubungan itu katanya, permuafakatan seperti Rukun Tetangga (RT) perlu diwujudkan di setiap penempatan penduduk supaya hubungan antara mereka dapat diperkukuhkan dan pada masa sama wujud jalinan kawalan keselamatan di tempat berkenaan.
Abdullah berkata, jika masyarakat mahu hidup aman dan tidak bimbang dengan soal keselamatan, setiap daripada mereka perlu mengamalkan sistem hidup kejiranan yang baik iaitu saling membantu dan mengambil tahu.
Tambah Perdana Menteri, kes pembunuhan Nurin Jazlin merupakan peristiwa sedih bagi negara ini dan semua rakyat berharap agar pihak berkuasa dapat mencari pembunuh kanak-kanak tidak berdosa itu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mengingatkan ibu bapa agar melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak dan sentiasa mengetahui pergerakan mereka.
Sudah menjadi lumrah di kalangan kanak-kanak, katanya, mereka bergerak cergas dan sentiasa mahu tahu sesuatu tetapi tidak menyedari mudarat yang bakal menimpa mereka.
“Anak-anak adalah satu pemberian Allah kepada kita, jadi kita kena menjaga dan memberi didikan yang sempurna kepada mereka,” ujarnya.
Pada majlis itu juga, Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada rumah-rumah anak yatim di negeri ini serta berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih bersama kira-kira 2,000 tetamu yang hadir.
Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim serta para pemimpin politik dari negeri ini dan Perlis.
0 comments:
Post a Comment