Kes Nurin: Ganjaran RM35,000

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Nahar Tajri


MOHON DOA: Bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil (dua dari kanan) bersama jemaah Madrasah Assa'adah Seksyen 1 Wangsa Maju membaca Yasin pada majlis tahlil dekat rumahnya, malam tadi.

Hadiah diharap bantu usaha tangkap pembunuh kejam

KUALA LUMPUR: Ganjaran kepada pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang menjadi mangsa penderaan seksual meningkat kepada RM35,000 semalam.

Rakyat yang marah dengan tragedi yang menggemparkan negara itu, berharap ganjaran berkenaan akan membantu usaha menangkap pembunuh sadis itu.

Terbaru, Pengerusi Jawatankuasa Kejiranan Selamat yang juga Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Robert Pang menyerahkan sumbangan peribadi RM5,000 bagi tujuan itu.

"Saya berharap dengan ganjaran ini masyarakat akan tampil menyalurkan maklumat supaya pembunuh Nurin Jazlin, binatang yang bertopengkan manusia itu dapat ditangkap dan dihukum sekeras-kerasnya.

"Kami mengutuk pembunuhan sebegini kejam dan kita perlu memastikan pembunuh yang tidak berhati perut ini menerima hukuman setimpal dengan perbuatannya.

"Saya melihat kes jenayah seksual kanak-kanak ini seperti satu trend dan kita perlu mengenal pasti bagaimana untuk membasmi perbuatan kejam ini.

"Kami tidak sanggup lagi dengar pembunuhan kanak-kanak tidak berdosa berlaku lagi, biarlah peristiwa ini yang terakhir dan tidak berulang lagi," katanya pada sidang akhbar di pejabat YPJM, di sini, semalam.

Sebelum ini, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong turut mengumumkan seorang individu yang tidak mahu namanya didedahkan menawarkan RM20,000.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Restoran Ali Maju kelmarin masing-masing menukar ganjaran RM5,000 untuk mencari Nurin Jazlin kepada tawaran kepada pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh kanak-kanak itu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis bekerja keras untuk menyelesaikan siasatan kes ini berdasarkan petunjuk yang ada.

"Polis sudah ada sedikit petunjuk yang boleh membantu tetapi ketika ini siasatan sedang dijalankan, kita tidak mahu mengganggu proses itu kerana khuatir memberi ruang kepada penjenayah melarikan diri," katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, berkata polis akan menggunakan semua sumber bagi memburu pembunuh Nurin Jazlin.

Wan berkata, ketika polis meningkatkan profesionalisme bagi menangani pelbagai kes jenayah, polis sedar penjenayah juga semakin licik termasuk menghapuskan bukti bagi mengelak mereka dikesan.

Katanya, polis meminta kerjasama semua pihak yang mempunyai maklumat mengenai beg sukan yang memuatkan mayat Nurin Jazlin di Taman Petaling Utama supaya tampil membantu polis.

Polis sebelum ini meneliti maklumat mengenai seorang wanita yang dilihat berada di kawasan beg berkenaan ditemui. Kelibat wanita itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik premis bersebelahan beg berkenaan ditemui, Isnin lalu.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini turut melaporkan rakaman CCTV juga menunjukkan seorang lelaki bermotosikal membawa beg sukan dan meninggalkannya di Taman Petaling Utama, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes Nurin Jazlin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang diminta mengulas kelibat lelaki itu meminta pihak media tidak mengganggu siasatan polis.

"Polis sedang siasat, jangan ganggu siasatan," katanya ketika dihubungi semalam.

Nurin dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Seksyen 1 wangsa Maju pada 20 Ogos lalu.

Pada Isnin lalu, negara digemparkan dengan penemuan mayat seorang budak perempuan yang disumbat dalam sebuah beg yang ditinggalkan di premis di Taman Petaling Utama.

Berikutan penemuan mayat itu, polis melakukan ujian DNA dan hasilnya, sampel diambil pada mayat itu dan ibu bapa Nurin, 99.99 peratus sepadan.

0 comments: