Dua polis fitnah Musa akan didakwa

Oleh Hamidah Atan

PUTRAJAYA: Dua anggota polis, masing-masing berpangkat cif inspektor dan lans koperal, akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi kerana memalsukan dokumen dan tanda tangan yang membawa kepada siasatan rasuah terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menurut sumber, dua anggota itu yang masing-masing berusia 42 tahun dan sudah berkhidmat 20 tahun dalam pasukan itu, dipercayai mereka kenyataan polis serta memalsukan tanda tangan yang memaksa pihak berkaitan memulakan siasatan terhadap Musa.

"Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebaik menerima laporan dakwaan rasuah terhadap Musa oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum membuat siasatan menyeluruh Jun lalu.

"Siasatan BPR tidak menemui bukti wujudnya unsur rasuah, sebaliknya mendapati kesalahan jenayah (memalsukan kenyataan polis dan tandatangan) yang dipercayai dilakukan dua pegawai polis itu. Sehubungan itu, kes itu diserahkan kepada polis," katanya di sini, semalam.

Akhir Julai lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan BPR menutup siasatan terhadap Musa yang dikatakan menerima rasuah RM2 juta bagi membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat.

Abdul Gani dilaporkan berkata siasatan BPR melalui saksi dan dokumen berkaitan mendapati tiada keterangan yang boleh mengaitkan Musa dengan tohmahan terhadapnya.

Musa sebelum ini dilaporkan berkata, beliau percaya ada pegawai polis cuba menjatuhkannya dengan menuduh beliau terbabit dalam rasuah, menyalahgunakan kuasa dan bersekongkol dengan penjenayah.

Sumber itu berkata, pegawai polis berpangkat cif inspektor itu kini bertugas di Pahang, manakala lans koperal itu bertugas di Johor.

Difahamkan mereka akan didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen di Johor. � NST

0 comments: