Daripada: RAMLI ABDUL KARIM
|
|
BENGKULU 22 Sept. – Ratusan ribu penduduk Mukomuko, Sumatera Selatan dan Pesisir Selatan, Sumatera Barat, dua daerah paling teruk dilanda kemusnahan akibat gempa bumi 10 hari lalu, masih dibelenggu ketakutan dan belum bersedia menyambung aktiviti harian ekoran gegaran susulan yang berterusan.
Ekoran itu, aktiviti ekonomi di kawasan terbabit terhenti apabila perniagaan tidak beroperasi dan kebun serta sawah tidak lagi dipeduli.
Keadaan itu berbeza sama sekali dengan situasi di kota Padang, Sumatera Barat yang mana aktiviti harian penduduknya pulih satu dan dua hari selepas gempa berkenaan yang dianggap penduduk sebagai kiamat kecil.
Semua itu disebabkan gegaran susulan yang masih berterusan pada setiap hari termasuk dengan kekuatan 4.8 pada skala Richter pada pukul 11.35 pagi ini (12.35 tengah hari Malaysia) yang berpusat di 21 kilometer ke barat daya Muaraaman, Bengkulu.
Gempa itu walaupun kecil tetapi cukup membuatkan para penduduk keluar dari rumah atau khemah masing-masing dan ia turut dirasai oleh wartawan dan jurugambar Mingguan Malaysia yang berada di sebuah hotel murah berbumbung zink dan siling kayu di Mukomuko.
Ekoran gegaran yang berterusan itu, penduduk Mukomuko yang terletak kira-kira 280 kilometer dari bandar ini terus berada dalam keadaan trauma dan tidak dapat meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.
Mereka kini menjadi penghuni khemah-khemah sementara bersebelahan dengan runtuhan rumah masing-masing.
Kebun dan sawah terus terabai sejak gempa berukuran 7.9 dan 7.7 mengikut skala Richter pada 12 dan 13 September lalu kerana masing-masing kini hanya memikirkan bagaimana untuk memastikan nyawa mereka selamat.
Paling tidak, mangsa terbabit sekadar keluar bermotosikal atau berjalan kaki ke pusat pengagihan bantuan tidak jauh dari khemah-khemah mereka untuk mengambil bekalan beras, mi segera dan juga barangan kebersihan diri.
Selebihnya mereka berehat di dalam khemah masing-masing sambil ‘meratapi’ kejadian yang menimpa diri, keluarga dan harta benda mereka.
“Kami bukan saja trauma malah buntu untuk berfikir kecuali mahu selamat, itulah yang paling penting. Sebab itulah kami lebih senang berehat dalam atau di luar tenda (khemah).
“Apa gunanya kami keluar bekerja sedangkan hati runsing memikirkan keselamatan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan.
“Tanyalah sesiapa pun, belum ada orang yang berani keluar kerja.
“Kiamat kecil kami belum berakhir, kami takut sebab gempa dan gegaran susulan masih berlaku pada setiap hari, kadang-kadang dua atau tiga kali, siapa berani keluar,” demikian kata Sumardi Zen, 53, penduduk pekan kecil Lubuk Pinang.
Lubuk Pinang terletak 25 kilometer dari Mukomuko, iaitu pemukiman terdiri enam kampung yang paling dahsyat mendapat kemusnahan selepas kedua-dua gempa besar pada malam dan pagi 1 Ramadan lalu.
Menceritakan kejadian itu, Sumardi berkata, dia dan isterinya, Kasniwara Sahar, 45, saling berpelukan bersama-sama dua daripada lapan anak mereka berusia empat dan enam tahun yang tidak henti-henti menangis ketakutan.
Katanya, salah seorang anak mereka, Reka, murid tahun satu sekolah rendah, berterusan melaungkan ‘Allahuakbar’ saat mereka berempat menyaksikan dengan mata sendiri dua rumah besar tiga tingkat bergoncang kuat dan kemudian salah satu daripadanya tumbang.
“Kami cuma fikir tentang mati ketika itu, rumah-rumah terutama yang dua atau tiga tingkat bergoyang macam pokok kelapa ditiup angin kuat.
“Seumur hidup saya, inilah gempa paling besar dan menakutkan pernah saya rasai. Buat masa ini memang tak terfikir lagi nak turun kebun,” katanya sambil membawa penulis dan jurugambar meninjau bahagian dapur dan belakang rumahnya yang runtuh.
Di pekan Lubuk Pinang itu sendiri, dua gempa tersebut telah meranapkan 147 rumah.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati rumah-rumah di situ kosong malah sebahagian besar premis termasuk kedai-kedai tidak lagi didiami menyebabkan aktiviti ekonomi terhenti.
Ketua Pasukan Koordinasi Bantuan Gempa Lubuk Pinang, Mursal Kuntum berkata, gempa itu bukan saja merosakkan 98 rumah malah mengorbankan dua nyawa, termasuk seorang ibu baru bersalin yang terperangkap dalam runtuhan rumahnya.
Selain itu, secara keseluruhannya di mukim Lubuk Pinang, 10 masjid dan surau rosak teruk termasuk Masjid Al-Hidayah, Desa Ranah Karya yang runtuh hampir keseluruhan dindingnya.
Lapan buah sekolah turut menerima kesan daripada gempa tersebut.
Sementara itu di Sungai Sirah Hilir, Hilalang Panjang yang bersempadan dengan Mukomuko fenomena sama berlaku yang mana penduduknya masih enggan menyambung kegiatan ekonomi mereka.
Pada masa yang sama, kerosakan pada Jalan Padang-Bengkulu yang menyebabkan penduduk di Desa Sungai Kasai dan mukim Lunang Selaut terputus hubungan dengan dunia luar sudah dibaiki dan dibuka tengah malam tadi.
– Mingguan
0 comments:
Post a Comment