Mangsa Pernah Ditetak Sebelum Ini

ALOR STAR, 23 Sept (Bernama) -- Mangsa yang putus empat jari akibat ditetak oleh seorang lelaki di Kampung Padang Nyoir, Kubur Panjang dekat sini semalam pernah diserang dan ditetak oleh lelaki yang sama tahun lepas.

Fatimah Sulong, 39, isteri kepada Senawi Ahmad, 45, berkata suaminya pernah ditetak di kepala oleh lelaki terbabit yang dikenali sebagai Bedon pada Disember tahun lepas.

Dalam kejadian 11 pagi semalam pula, lelaki yang sama dikatakan telah menetak Senawi di kepala ketika pulang dari menoreh.

"Ini kejadian kedua menimpa suami saya. Saya berharap pihak polis dapat mengambil tindakan untuk menangkap lelaki terbabit dengan segera," kata Fatimah kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Fatimah suaminya telah membuat aduan di Balai Polis Pendang selepas kejadian pertama tetapi tiada tangkapan dibuat.

Lelaki yang sama juga didakwa turut menetak seorang lagi mangsa Syamsuddin Shafie, 54, di Kampung Belat pada Februari lalu.

Fatimah berkata lelaki berkenaan yang masih berada di kampungnya pernah mengugut untuk mencederakan dia dan suaminya.

Menurutnya lelaki itu adalah kenalan suaminya.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supt Abdul Aziz Ahmad berkata polis masih memburu lelaki berkenaan dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu dan mengetahui di mana suspek berada supaya menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

0 comments: