Hafaz Quran 30 Juzuk Dibayar Elaun RM1,000 Sebulan

KUALA TERENGGANU, 23 Sept (Bernama) -- Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan menganjurkan Ujian Hafazan Al-Quran Terbuka Terengganu selepas Aidilfitri ini dan peserta yang berjaya menghafaz 30 juzuk akan diberi imbuhan RM1,000 sebulan.

Pesuruhjaya JHEAT Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ujian hafazan itu hanya terbuka kepada rakyat Terengganu.

Bagi ujian hafazan tujuh juzuk, pemohon perlu berumur sekurang-kurangnya 18 tahun dan tidak melebihi 29 tahun manakala tahap hafazan sehingga 30 juzuk terbuka kepada yang berumur 30 tahun ke atas.

"Tujuan ujian hafazan itu diadakan ialah bagi mencungkil bakat dan minat orang ramai terhadap budaya menghafaz Al Quran serta menghayati isi kandungannya yang akan diadakan selepas hari raya nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata mereka yang berjaya menghafaz pada tahap tujuh juzuk pula akan diberikan imbuhan RM250 sebulan dan imbuhan itu akan ditambah bergantung kepada jumlah juzuk yang mereka hafaz.

Katanya, mereka yang layak menghafaz sehingga 30 juzuk pula akan diminta mengajar kelas al-Quran, Fardhu Ain, menjadi imam atau bilal, mengajar Bahasa Arab, ilmu tafsir Al-Quran, Tajwid dan Fekah.

Mereka yang berminat bolehlah mendapatkan borang di semua jabatan agama seluruh negeri. Tarikh tutup permohonan 15 Okt.

-- BERNAMA

0 comments: