Urutan lembut tetapi bertenaga

Urutan lembut tetapi bertenaga

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my



Bukan calang orang terima khidmat di pusat refleksologi OKU

PELANGGAN yang mendapatkan khidmat urutan di Nuri Reflexology The Rapy, terletak di tingkat dua Medan Mara, Kuala Lumpur bukan calang orang, daripada orang biasa sehinggalah kepada menteri Kabinet dan personaliti popular.

Sekali mendapat khidmat mereka pasti akan datang lagi. Keupayaan 15 tukang urut melakukan tugas mengurut, refleksologi atau bekam angin mungkin jika dilihat secara fizikal tidak akan mempercayai ia dilakukan di kalangan orang buta.

Latihan dan pengalaman yang diterima secara intensif di syarikat berkenaan menjadikan perkhidmatan mereka setaraf dan mampu memberi kepuasan pelanggan seiring yang dikendalikan pengusaha di kalangan orang normal.

Paling menarik, suasana sentiasa nampak meriah dengan gelagat tukang urut orang buta yang suka berjenaka memecah suasana di pusat urutan itu. Walaupun mereka buta, tetapi tingkah laku mereka seperti orang normal dan sekali gus, orang yang berkunjung mendapatkan khidmat mereka turut terhibur.

Pengurus yang juga pemilik Nuri Reflexology The Rapy, Norimah Ahmad, 56, yang juga mempunyai masalah penglihatan benar-benar memahami dan merasai hati nurani orang yang buta yang sekali gus menjadikan beliau berazam untuk membantu golongan istimewa itu sebagai insan berguna serta diperakui masyarakat terhadap kemahiran tertentu.

NURI Reflexology The Rapy turut sedia khidmat bekam angin.

Norimah yang dilahirkan buta sebelah mata kanan dan hanya mampu melihat menggunakan mata kiri (kurang 20 peratus kadar penglihatan berbanding orang normal), memang sejak dari peringkat awal sudah terbabit dalam bidang urutan ketika menyertai Persatuan Orang Buta Malaysia.

Katanya, dengan wujudnya pusat urut ia memberi peluang kepada OKU khususnya yang buta untuk mendapat peluang pekerjaan.

“Walaupun negara ini sudah maju dalam pelbagai bidang, tetapi masih ada mentaliti majikan rendah dan tidak berminat mengambil OKU bekerja. Inilah puncanya peluang pekerjaan di kalangan OKU amat terhad.

“Saya memahami situasi ini. Saya ambil orang buta itu dan latih mereka menjadi tukang urut. Mengajar mereka tidak susah kerana mereka mudah menerima apa yang diajar. Saya anggap sebagai khidmat sosial untuk membantu OKU teruskan hidup dengan mempunyai pekerjaan sempurna,” katanya.

Beliau mengakui, masih ada pihak yang memandang rendah terhadap kebolehan OKU dan menyifatkan mereka sebagai golongan yang tidak menyumbang kepada sosio ekonomi negara ini.

Namun, lebih 10 tahun dalam bidang itu, orang ramai yang datang ke pusat urutan berkenaan berpuas hati dengan khidmat diberikan.

“Ramai di kalangan mereka yang datang untuk mengurut seluruh badan, mendapatkan rawatan urutan, refleksologi, bekam untuk membuang angin, akupuntur bagi kencing manis, strok, sakit kepala dan sebagainya.

“Setiap orang yang datang kita juga akan kenal pasti dulu apa jenis sakit mereka sebelum mengurut mereka. Bagi sesetengah penyakit, kombinasi urutan dan kaedah lain akupuntur dan refleksologi diperlukan bagi mengurangkan sakit mereka.

“Ada sesetengah yang datang di sini akan rasa sakit mereka berkurangan dengan teknik urutan yang dibuat,” katanya yang juga berbangga kerana seorang daripada dua anaknya, iaitu Noraini Azlin, 27, yang ada masalah penglihatan turut berminat menjadi tukang urut serta mendapatkan latihan di Jepun dalam bidang sama.

Norimah berkata, walaupun tidak ada asas bidang urutan, namun, semangatnya untuk menonjol tetap bersemarak di jiwanya.

Katanya, menerusi latihan yang diterima daripada tenaga pengajar dari Royal Commonwealth Society For Blind, akhirnya beliau mahir dan dilantik sebagai tenaga pengajar bidang urutan di Pusat Latihan Orang Buta, Brickfields, pada 1984 hingga 1994.

“Ketika mengajar di sini, saya juga mengambil kursus separuh masa untuk mendalami teknik urutan di China dan Jepun. Belajar mengurut tidak begitu susah, cuma perlu mengetahui teknik dan mengenal sistem dalam anggota badan.

“Teknik yang betul perlu dipelajari iaitu bagaimana mahu menggunakan tapak tangan, ibu jari serta jari lain untuk mengurut dengan berkesan. Menggunakan urutan yang lembut tapi penuh bertenaga. Setiap jenis sakit ada teknik tersendiri.

“Saya sendiri belajar selama 15 bulan iaitu masing-masing lima bulan bagaimana teknik urutan Indonesia, Thailand, Switzerland, selain dilengkapi kaedah urutan tempatan,” katanya.

Dengan latihan, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh itu Norimah kemudian nekad membuka perniagaan sendiri secara kecil-kecilan sebelum memperluaskan perniagaan di Medan Mara (pusat urutan utama), Putrajaya, Bazar Rakyat (Seri Kembangan) dan Bazaar@maeips, Serdang, Selangor.

Beliau berkata, secara purata sebanyak 20 orang yang menghadapi pelbagai masalah kesihatan datang ke pusat urutan di Medan Mara.

0 comments: