Bukan Melayu perlu insaf pengorbanan kaum Melayu

Bukan Melayu perlu insaf pengorbanan kaum Melayu

APABILA perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani hasil muafakat Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Tan Siew Sin dan Tun V. T. Sambathan, peranan dan sumbangan kaum pendatang bukan Melayu yang selama ini menjadi antara tenaga penting dalam menggerakkan ekonomi Tanah Melayu diberi pampasan berupa pemberian status kerakyatan kepada lebih dua juta orang bukan Melayu.

Hak kerakyatan membawa implikasi besar sama ada hak untuk berpolitik dan apa juga hak sivil seperti mana yang dimaktubkan dalam konteks Perlembagaan Negara bagi memenuhi apa jua hak warganya.

Kesannya, bukan Melayu meskipun minoriti, dibuka laluan untuk menguasai ekonomi, diberi peluang terlibat sama dalam penggubalan dasar kerajaan menerusi konsep perkongsian kuasa seperti yang dilestarikan oleh Perikatan, kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional (BN).

Hak mengundi, bersuara, berpersatuan, bebas mengembang dan mempertahankan adat, budaya, amalan agama dan malah pendidikan melalui bahasa ibunda masing-masing.

Inilah uniknya Malaysia di antara sekian banyak negara di dunia. Meskipun usia kemerdekaan telah 52 tahun, namun majoriti penduduknya yang diwakili 67 peratus Melayu tidak pun pernah berasa iri hati di atas penguasaan ekonomi bukan Melayu dalam kekayaan negara.

Lantaran itulah sebagai seorang minoriti bukan Melayu berbangsa Siam, saya kira dalam usaha mengekalkan kestabilan dan keamanan, golongan bukan Melayu yang menjerit dan mendesak perkara yang bukan-bukan harus memahami inti pati dan kunci kepada soal kestabilan dalam sebuah negara masyarakat majmuk seperti Malaysia. Mesti wujud kesedaran untuk memahami dan menginsafi sensitiviti Melayu.

Dalam situasi aman seperti sekarang, sewajarnya elemen chauvinis, radikal bukan Melayu, isu menghina Islam, tuntutan melampau yang dilihat cuba mengambil hak Melayu, tunjuk perasaan atas nama ketidakpuasan hati tidak berlaku. Ini kerana banyak sudah yang diberikan kerajaan kepada bukan Melayu.

Saya sarankan penduduk bukan Melayu tidak menjadi alat bagi mana-mana pemimpin yang cuba memanipulasi perasaan mereka hanya untuk kepentingan kaum berkenaan. Inilah pentingnya meneladani dan memahami sejarah Malaysia.

Ironinya kunci kestabilan negara bangsa ini akan hanya bertahan selama mana hak majoriti tidak diusik dan dalam masa yang sama jaminan kepada minoriti tidak diambil balik.

Prinsip pentingnya rangka Perlembagaan Malaysia sudah termaktub dengan jelas, pelbagai hak istimewa yang diberikan kepada Melayu adalah hak mereka yang sudah pun berlangsung sebelum penjajahan kuasa besar dunia. Malah apabila kolonialisasi berlaku, peruntukan ini dimantapkan misalnya skim MCS (Malays Civil Service) dan Tanah Simpanan Melayu yang digazetkan oleh British pada November 1913.

Bukan Melayu harus berfikir di luar kotak, membuat analisis bandingan, apa nasib minoriti di negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Myanmar?

Apakah taraf jaminan hidup mereka lebih baik berbanding bukan Melayu sebagai minoriti di Malaysia? Seperkara lagi, persoalan dominasi Melayu juga tidak harus timbul. Dominasi Melayu bukan bermaksud kaum bukan Melayu sebagai warga kelas kedua di negara ini.

Akan tetapi ia bermaksud kesinambungan apa jua legasi, kedaulatan yang dimiliki oleh kaum Melayu meliputi kemuliaan institusi rajanya, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, affirmative action dalam bidang ekonomi akibat terpinggirnya Melayu dalam arus pembangunan semasa penjajahan, kemuliaan Islam dan institusinya, serta peranan budaya Melayu sebagai teras yang mencorakkan landskap kehidupan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Saya kira, jika sejarah dijadikan iktibar, muafakat pimpinan terdahulu yang dijelmakan atas nama kontrak sosial difahami, maka masyarakat bukan Melayu di negara ini akan lebih insaf, menghayati malah akan berasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan pimpinan Melayu sebagai tonggak yang semenjak Merdeka mentadbir negara ini dan memastikan keamanan berterusan.

Lantaran itu manifestasi kepada kesemua usaha baik pimpinan Melayu sebagai teras kerajaan adalah melalui gagasan 1Malaysia. Sebagai satu bukti bahawa hak minoriti bukan Melayu akan tetap terpelihara, terjaga, selama mana mereka mampu dan mahu menginsafi serta menghormati hak-hak yang telah pun dipersetujui untuk diberikan kepada majoriti kaum Melayu.

Maka jika ini kesudahannya, tidak akan timbul lagi isu sensitif, cakap-cakap berhubung soal perpaduan, perkauman, chauvinis, elemen radikalisme yang boleh menyentuh sensitiviti kaum-kaum lain.

Hakikat yang harus diterima ialah Malaysia adalah negara majmuk unik di mana 'penyatuan rakyatnya' berteraskan prinsip dan falsafah unity in diversity.

Oleh itu, sebagai salah seorang anggota masyarakat minoriti Siam di negara ini, saya menyeru kepada kaum bukan Melayu yang lain, insaflah akan kebaikan pimpinan negara dan lebih berterima kasih kepada kerajaan sedia ada, kerana pimpinan ini sentiasa memikirkan kaedah terbaik dalam menjaga hak dan keperluan semua, sama ada anda minoriti mahupun majoriti.


Siam Kedah">

0 comments: